terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 29, 2009

Abdul Hamid peladang jaya - melayau



ABDUL Hamid Shariff (kiri) bersama pembantunya mengumpul buah mempelam sala di ladangnya untuk dijual kepada FAMA di Kampung Bilal Udoh, Chuping, Perlis, baru-baru ini.


PADANG BESAR 28 April - 'Bakti disemai bukti dituai'. Itulah kesimpulan paling layak dipadankan buat seorang peladang jaya mempelam sala di Kampung Bilal Udoh, Chuping di sini.

Jadual harian bagi peladang itu, Abdul Hamid Shariff, 62, cukup ringkas. Selepas solat subuh bersama isterinya, Hasnah Dahaman, 57, mereka bersarapan.

Sesudah itu, Abdul Hamid mula menabur bakti di ladangnya. Antara kerja tani yang dibereskan termasuk meracun, membaja dan memerangi musuh tanaman.

Begitulah kerja rutin yang dilakukan oleh peladang itu sejak 19 tahun lalu. Ia dibuat bagi memastikan dua hektar ladangnya yang dipenuhi 460 pokok mempelam sala membawa pulangan berganda.

Hasil keringat tanpa mengenal jemu selama ini, ladang tersebut telah mengeluarkan kira-kira 60 tan mempelam sala setiap tahun.

Sehingga kini, 60 tan buah itu dijual mengikut harga borong ladang. Bagi mempelam muda RM1.20 sementara yang tua RM1.40 sekilogram.

Pemborong utama hasil ladang itu setiap tahun ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Selepas membeli dari ladang, FAMA memunggah ke pusat pembersihan untuk proses 3P iaitu pembungkusan, penggredan dan pelabelan sebelum dipasarkan.

Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan, bagi musim 2009, beliau mula menuai hasil ladang sejak Mac lepas.

''Ini semua hasil titik peluh kami sekeluarga selama ini. Antara kerja harian dalam kebun selama ini termasuk penjagaan cabang pokok, pembajaan, merumput, meracun dan memerangi makhluk perosak.

''Musuh nombor satu tanaman terutama sewaktu musim buah ialah monyet," ujarnya yang kini turut dibantu oleh seorang daripada tiga anaknya, Hafizi, 22.

Perlu disebut, ladang miliknya itu merupakan projek perintis pengeluaran mangga terancang Kampung Bilal Uguh, Chuping yang diselenggarakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis.

Projek yang bermula Disember 2001 hingga Disember 2003 yang meliputi keluasan satu hektar itu kemudian dijadikan ladang contoh setelah ia berstatus cemerlang.

Abdul Hamid berkata, kejayaannya dalam projek berkenaan berpaksikan kepada bantuan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian dan MARDI.

''Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa membantu selama ini. Tanpa bantuan dan bimbingan berkenaan, tentu hasil ladang saya tidak seperti yang dinikmati sekarang.

''Setelah mengecapi hasil mempelam sala, saya mahu juga mengisi ladang ini dengan tanaman mempelam harumanis,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...