terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 30, 2009

Bila surcaj tambang bas akan dihapus?


SAYA sebagai pengguna pengangkutan awam ingin bertanya kepada pihak kerajaan, sampai bila tambang bas dikenakan surcaj bahan api 30 peratus?

Ia sangat membebankan kami dan dirasakan sudah tidak munasabah surcaj bagi kami menanggung beban tersebut sampai sekarang.

Sebagai contoh, tambang bas dari Pasir Puteh, Kelantan, ke Kuala Lumpur sekarang ialah RM42.30, termasuk surcaj 30 peratus iaitu RM9.80. Tanpa surcaj harganya RM32.50. Bayangkan tambang bas dari Perlis ke Johor.

Kita semua maklum kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus daripada harga asal yang dicetak pada tiket berlaku akibat keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api pada 5 Jun 2008. Ia menjadikan harga diesel meningkat kepada RM2.58 seliter.

Tetapi pada hari ini, berapakah harga diesel? Adakah ia masih membebankan pihak pengusaha sedangkan kerajaan telah memberikan subsidi bagi mengurangkan harga diesel?

Dengan kelembapan ekonomi sekarang yang membebankan, mengapa kami masih perlu membayar surcaj tersebut?

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada masa itu pernah membuat kenyataan yang perkara ini akan dikaji secepat mungkin.

Persoalannya, adakah ia benar-benar dikaji dan adakah keputusannya mengutamakan rakyat? Atau ia hanya dikaji di atas kertas?

Apa pun, pengguna sudah terbeban dengan masalah ini.

Diharapkan kepimpinan baru dan pihak terlibat mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu kepenggunaan ini. Kasihanilah penuntut universiti, pekerja kilang dan pekerja bawahan. Hapuskan surcaj.

WAKIL RAKYAT

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...