terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 30, 2009

Hati-hati mansuh syarat ekuiti Bumiputera


MEMBACA pandangan pelbagai pihak mengenai pengumuman kerajaan berkaitan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan (lebih tepat pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera) dalam akhbar, terutama media cetak bukan bahasa Melayu, adalah satu pengalaman yang amat menghinakan.

Walaupun terdapat beberapa kebenaran pada fakta yang diketengahkan tetapi keseluruhannya pandangan mereka menjurus kepada tuduhan bahawa syarat khas ini telah membantut perkembangan ekonomi dan menghalang negara daripada maju ke hadapan.

Seolah-olah syarat istimewa ini yang menjadi asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat dan negara.

Walaupun saya cuba bersikap rasional dengan mengambil kira dan memahami bahawa negara ini perlu mematuhi syarat keahlian dalam Komuniti Ekonomi ASEAN, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan tidak boleh lari daripada persaingan dalam era globalisasi dan pasaran terbuka sekarang, saya masih berpendapat bahawa pemansuhan syarat ekuiti tersebut akan membawa lebih banyak kesan kepada bangsa Melayu sekarang.

Saya khuatir dengan sikap pihak tertentu, setelah berjaya mendesak pemansuhan kuota Bumiputera, mereka akan menggandakan tekanan kepada kerajaan untuk terus meliberalisasi bukan sekadar sektor ekonomi tetapi juga semua aspek kehidupan termasuk bidang pendidikan, pertahanan dan agama.

Perkara ini tidak mustahil kerana telah kedengaran suara-suara sumbang berupa tuntutan untuk memenuhi matlamat tersebut.

Adalah menghairankan kerana sebelum ini semua pihak dikatakan bersetuju bahawa inisiatif yang dianjurkan oleh DEB itu adalah perlu bagi mengagihkan kekayaan negara supaya dinikmati secara adil oleh semua kaum demi perpaduan rakyat di negara ini.

Mereka dikatakan cuma tidak berpuas hati kerana dasar tersebut telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Jika itulah pendirian ikhlas semua kaum, kenapa pula perlu dimansuhkan syarat ekuiti tersebut sekarang?

Bukankah lebih baik pihak yang bertanggungjawab memperbetulkan kesilapan lepas dan mengambil tindakan yang pragmatik termasuk memberi fokus kepada pemantauan yang rapi bagi memastikan kuota 30 peratus Bumiputera itu tercapai?

Saya berpendapat keputusan memansuhkan syarat khas ini dibuat kerana orang Melayu sekarang sudah berpecah-belah dan menyebabkan kuasa politiknya telah terhakis.

Pemimpin Melayu menghadapi tekanan yang kuat untuk memenangi semula kepercayaan kaum lain dan terpaksa mengambil tindakan yang populis walaupun mendatangkan risiko kepada orang Melayu.

Bagi mengatasi keadaan ini, orang Melayu wajar bersatu semula sebagai satu bangsa yang teguh dan berjuang secara ikhlas dengan berpaksikan agama Islam.

Saya juga berpendapat bahawa orang Melayu yang secara keseluruhannya masih ketinggalan dalam bidang ekonomi tiada kekuatan untuk menahan desakan kaum lain yang mahukan ekuiti 30 peratus dimansuhkan segera.

Bangsa Melayu menjadi lemah kerana terdapat ramai yang tamak serta malas bekerja dan rela menjadi sleeping partner sahaja. Tindakan mereka yang mengaibkan itu telah menyebabkan orang Melayu gagal memenuhi aspirasi DEB walaupun ia sudah dilaksanakan hampir 40 tahun.

Sewajarnya golongan yang mengkhianati bangsa ini dihukum agar mereka insaf atas kesalahan yang dilakukan. Bagaimanapun, bukan semua orang Melayu perlu dipersalahkan kerana kesilapan golongan tersebut.

Apabila syarat ekuiti ini dimansuhkan, adakah kita yakin kaum lain dan juga bangsa asing yang mempunyai tradisi berniaga yang jitu dan jaringan yang mantap akan berkongsi pengalaman dan peluang perniagaan dengan bangsa Melayu?

Adakah orang Melayu yang masih kekurangan dalam segenap aspek perniagaan terutama keperluan untuk mengadakan modal kewangan, mampu bersaing atas padang yang rata dengan bangsa lain?

Kita bukan takut pada bayang-bayang atau menolak perubahan tetapi kita perlu realistik mengenai kekuatan diri dalam keadaan semasa. Janganlah kita dibuai oleh kata-kata manis dan janji kosong oleh pihak yang berkepentingan tanpa menganalisisnya dengan terperinci.

Pengalaman silam telah mengajar orang Melayu supaya sentiasa berhati-hati, bekerja keras, bersatu padu dan memberi perhatian khas kepada pendidikan generasi muda agar kita menjadi satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Kita sangat berharap para pemimpin negara akan mengkaji dengan sehalus-halusnya keputusan mengenai ekuiti ini dan melaksanakan inisiatif-inisiatif lain yang lebih konkrit agar orang Melayu tidak terus ketinggalan di tanah airnya sendiri.

ZAMRI MAHMUD

Wangsa Melawati, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...