terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 29, 2009

Pelajar histeria nampak makhluk rambut panjang


Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my


WARIS seorang pelajar SMKL membawa anak pulang bagi mendapat rawatan selepas diserang histeria, semalam.

18 lagi mangsa dakwa wanita berkain putih kelilingi SMKL

ALOR SETAR: Lapan belas pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria, semalam, iaitu kejadian kedua selepas 50 pelajarnya diserang histeria, Ahad lalu.

Kejadian semalam berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yassin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain.

Nasroh Abdul Rahim, 14, berkata dia tidak sanggup lagi bersekolah di situ selepas kali kedua diserang dalam masa tiga hari.


"Saya berhasrat bertukar sekolah kerana tidak sanggup lagi mengalami kejadian itu yang menjejaskan tumpuan saya terhadap pelajaran," katanya ketika ditemui di luar sekolah itu, semalam.

Nasroh mendakwa, dalam kejadian semalam dia ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.

"Pengalaman itu paling menyeramkan dan saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya nampak dengan jelas kehadiran makhluk halus itu di depan mata.

"Makhluk itu seperti menyuruh kami mengikutnya tetapi mujur ketika itu ada beberapa bomoh yang dipanggil pihak sekolah untuk meredakan keadaan. Jika tidak sudah tentu keadaan lebih buruk lagi," katanya.

Waris pelajar, Awang Kechik Darus, 72, berkata beliau bimbang kerana cucunya, Nor Atikah Abdul Wahab, 14, sudah dua kali diserang histeria sehingga mereka sekeluarga terpaksa membawanya untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman, berkata hanya 18 pelajar disahkan diserang histeria di sekolah itu dan pihaknya akan berusaha mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, pihak sekolah membenarkan pelajar yang belum pulih sepenuhnya akibat kejadian itu supaya bercuti.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...