terima kasih buat kalian semua..

Sunday, April 26, 2009

Sekolah tak wajar bebankan pendidik - bharian



PENTADBIRAN sekolah tidak sewajarnya membebankan guru dengan meminta mereka mendahulukan wang sendiri bagi melaksanakan sebarang program sekolah sama ada untuk aktiviti kokurikulum atau kurikulum pada semua peringkat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom (gambar), berkata semua program yang dilaksanakan sama ada peringkat dalaman atau luaran yang membabitkan aktiviti rasmi perlu menggunakan sumber daripada peruntukan yang sudah disalurkan kementerian kepada setiap sekolah.

Justeru, katanya, adalah tidak munasabah apabila guru terpaksa menggunakan duit sendiri untuk program sekolah kerana peruntukan disalurkan mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan itu dan boleh dikeluarkan daripada pelbagai saluran.


Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap sekolah diwajibkan mempunyai wang tunai sebanyak RM500 dalam peti panjar runcit (petty cash) yang boleh digunakan pada bila-bila masa bagi tujuan rasmi dan jumlah itu mesti kekal pada setiap masa.


"Maksudnya, jika guru diminta melaksanakan apa saja program seperti membawa pelajar mengikuti sebarang aktiviti luar atau perlu membeli sesuatu untuk sekolah, wang itu boleh digunakan. Selepas digunakan, pentadbiran sekolah perlu menggantikan wang tunai itu supaya jumlahnya sentiasa genap RM500.

"Jika jumlah yang diperlukan melebihi nilai RM500, banyak kaedah lain lagi boleh digunakan seperti menggunakan pesanan tempatan (local order) atau mengemukakan resit bayar kemudian selepas sesuatu perkhidmatan seperti bas untuk menghantar pelajar digunakan.

"Peruntukan untuk semua aktiviti itu ada dan sekolah mempunyai banyak saluran untuk membayarnya. Paling tidak pun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh membantu dengan syarat aktiviti itu membabitkan kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan ramai guru mengenai tekanan yang dihadapi mereka akibat terpaksa mendahulukan duit sendiri bagi menampung aktiviti sekolah seperti membawa murid keluar untuk pertandingan sukan atau membuat persiapan sebarang sambutan yang diadakan di sekolah.

Bagaimanapun, Alimuddin mengakui kebanyakan guru yang menjadi mangsa 'keadaan' itu disebabkan pengurusan pentadbiran sekolah tidak cekap serta tidak mengikut prosedur sepatutnya dalam menguruskan perbelanjaan mereka.

Katanya, untuk menangani masalah itu, guru sewajarnya berterus terang mengenai jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan setiap kali mendapat arahan untuk menguruskan sesuatu aktiviti.

"Guru bagaimanapun bertanggungjawab dengan bidang tugas mereka. Jangan kerana alasan perlu mengeluarkan belanja sendiri, mereka tidak mahu melaksanakan tugas itu. Mereka perlu berterus terang dengan pihak pentadbiran dan menjadi kewajipan pentadbir pula untuk menyediakan perbelanjaan mencukupi sebelum mengarahkan guru melaksanakan tugas mereka.

"Dalam isu ini, soal keikhlasan sangat penting. Jika setakat perlu membeli sebatang pen, apa salahnya guru dahulukan duit mereka. Namun, jika ia terasa membebankan, guru perlu memaklumkan kepada pentadbir dan mereka berhak mendapat peruntukan sebelum aktiviti dijalankan.

"Pada dasarnya, kementerian tidak bersetuju jika pentadbir meminta guru mendahulukan duit mereka kerana ia tidak termaktub sebagai sebahagian daripada tugas guru. Gunakan peruntukan yang ada," katanya.

Beliau berkata, pentadbir sekolah juga perlu memahami bahawa tugas utama guru ialah melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan serta tidak terlalu membebankan guru dengan aktiviti yang tidak penting.

Lantaran itu, kementerian sudah mengurangkan aktiviti sampingan lain bagi memberi peluang kepada guru memfokuskan kepada aktiviti dalam kelas.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...