terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 28, 2009

Siti Hajar menemui telaga Zamzam - melayau


SITI Hajar merupakan seorang hamba di negara Mesir yang dihadiahkan oleh Raja Mesir kepada Sarah, isteri nabi Ibrahim sewaktu mereka berhijrah ke negara Mesir.

Selepas itu, Sarah menghadiahkan Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim dan dinikahi supaya mereka mendapat seorang anak hasil perkahwinan mereka. Nabi Ibrahim bernikah dengan Siti Hajar di atas permintaan isterinya di Baitulmuqaddis.

Tidak berapa lama kemudian, Siti Hajar hamil dan dia berasa gembira dengan kehamilannya. Siti Hajar berasa lebih dihormati daripada Sarah dan ia menimbulkan kecemburuan pada diri Sarah. Sarah tidak dapat menahan perasaan cemburunya itu lalu dia terus berjumpa nabi Ibrahim bagi meluahkan perasaannya.

Kelahiran Ismail membuatkan cemburu Sarah semakin kuat dan dia menuntut nabi Ibrahim supaya membawa Siti Hajar jauh dari pandangan matanya. Permintaan Sarah membuatkan nabi Ibrahim memohon petunjuk dari Allah lalu turunlah wahyu dari Allah yang meminta Siti Hajar dan Ismail dibawa ke Mekah.

Nabi Ibrahim akur dengan perintah Allah lalu membawa Siti Hajar bersama Ismail keluar dari negara Baitulmuqaddis menuju Mekah. Mekah pada ketika itu masih belum berpenghuni dan tiada sumber bekalan air yang dapat diperolehi di sekitarnya.

Mereka bertiga terus berjalan dengan menunggang unta, sehingga tiba di suatu kawasan berhampiran dengan Baitullah di Mekah. Nabi Ibrahim meminta Siti Hajar yang mendukung Ismail duduk di bawah sebatang pokok besar yang tumbuh di sana.

Nabi Ibrahim menyerahkan bekalan di tangannya kepada Siti Hajar yang kelihatan terkejut dan tergamam melihat kawasan sekelilingnya yang kering kontang tanpa penghuni.

Nabi Ibrahim kelihatan mahu meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di kawasan itu lalu pulang ke Baitulmuqaddis. Siti Hajar bangkit dari duduknya lalu mengejar Ibrahim bagi menanyakan sesuatu yang tersimpan di hatinya.

"Ibrahim, kamu mahu ke mana? Mengapa kamu meninggalkan kami berdua di lembah yang tiada penghuni dan kering kontang?" tanya Siti Hajar dengan nada mahu tahu.

Namun pertanyaan Siti Hajar tidak mendapat maklum balas dan nabi Ibrahim terus melangkah meninggalkan Siti Hajar yang mengejarnya tanpa menoleh ke arahnya. Tiba-tiba Siti Hajar bertanya lagi dengan soalan lain pula supaya dia mendapat jawapan dari nabi Ibrahim.

"Adakah ini perintah Allah?" meluncur soalan lain dari mulut Siti Hajar.

"Ya," balas nabi Ibrahim yang terus melangkah tanpa menoleh kepada Siti Hajar dan Ismail.

"Seandainya begitu, kami tidak akan dipersia-siakan..." Siti Hajar kembali ke tempat duduknya di bawah pokok kerana mengetahui Allah akan menjaganya dan anaknya.

Nabi Ibrahim terus berjalan dan terus berjalan meninggalkan lembah itu sehingga tiba di sebuah kawasan bernama Saniyyah.

Kemudian beliau menadah tangan berdoa kepada Allah, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya saya meninggalkan sebahagian keturunan saya di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman berhampiran rumahmu (Baitullah) yang dihormati.

bersyukur

"Ya Tuhan kami, jadikanlah keturunan ku mereka yang mendirikan solat, dan jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur".

Siti Hajar duduk keseorangan sambil memandang wajah anaknya yang sedang menyusu. Apabila Ismail sudah habis menyusu, tekak Siti Hajar berasa kering lalu diambilnya bekas berisi air bagi membasahkan tekaknya.

Oleh kerana cuaca terlalu panas, rasa dahaganya tidak hilang walaupun Siti Hajar sudah beberapa kali meneguk air dari bekasnya. Akhirnya bekalan air dalam bekas itu habis diminum. Rasa dahaganya masih belum hilang lagi. Ini membuatkan Siti Hajar menghentak kakinya ke tanah sebagai tanda kesal bekalan airnya sudah habis.

"Mungkin ada orang di kawasan bukit itu," detik hati Siti Hajar yang melihat bukit Safa, bukit yang paling dekat dengan tempat dia duduk.

Siti Hajar bangkit dari tempat duduknya lalu berjalan pantas menuju ke bukit Safa. Namun, dia berasa kecewa kerana tiada sesiapa pun di kawasan itu. Kemudian, dia turun dari bukit itu lalu berjalan pantas menuju ke bukit Marwah dan melihat sekeliling seandainya ada orang lalu di situ.

Hatinya sedih apabila melihat tiada sesiapa di sana. Siti Hajar berulang kali berlari-lari anak di antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dan kini ia menjadi amalan dalam rangkaian ibadah haji.

Siti Hajar terdengar suara seseorang semasa menaiki bukit Marwah, lalu dia mengadu kepada Allah. Dia takut seandainya terdapat jin atau benda lain yang mengganggunya di kawasan yang tidak berpenghuni itu.

"Ya Allah! Engkau memperdengarkan suara kepada saya. Bantulah saya dan jauhilah kami daripada perkara yang tidak diingini," doa Siti Hajar kepada Allah supaya melindungi dirinya dan anaknya.

Jibrail melihat Siti Hajar dan anaknya dahaga kerana tiada bekalan air. Jibrail menghentakkan sayapnya ke tanah lalu terpancutlah air mata air dari tanah. Air mata air itu terpancut kuat dan laju memenuhi kawasan sekelilingnya sehingga membentuk satu kolam kecil. Siti Hajar dan anaknya meminum air mata air itu sepuas-puasnya bagi menghilangkan dahaga mereka.

"Kamu tidak akan dahaga di Mekah kerana sesungguhnya zamzam merupakan air mata air yang dianugerahkan sebagai minuman tetamu Allah. Ibrahim akan kembali ke sini dan membina rumah Allah bersama Ismail nanti," jelas Jibrail sebelum menghilangkan diri dari pandangan Siti Hajar dan Ismail.

Sumber air itu membuatkan golongan bangsa Jurhum yang selalu lalu-lalang di kawasan Mekah singgah bagi membuat penempatan di sekitar air mata air zamzam.

Walaupun ramai orang berbangsa Jurhum berduyun-duyun berhijrah ke Mekah bagi memulakan penghidupan, namun mereka menghormati Siti Hajar yang pertama tiba di kawasan itu.

l Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...