terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 29, 2009

TEKUN komited tingkatkan prestasi


DENGAN hormat dan takzimnya, pihak TEKUN Nasional ingin memberikan jawapan kepada aduan yang dikemukakan oleh Nor Hoda Haji Tarseh dari Puchong, Selangor, yang disiarkan dalam ruangan ini pada 23 April 2009.

Terlebih dahulu, selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, saya ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh Nor Hoda atas kelewatan mendapatkan pembiayaan pinjaman dari TEKUN Nasional seperti mana yang diadukan.

Untuk makluman saudara dan semua pemohon yang telah mengemukakan permohonan untuk mendapat pembiayaan pinjaman dari pihak TEKUN Nasional masa kini, terdapat kelewatan dalam urusan memproses permohonan tersebut disebabkan oleh jumlah permohonan pinjaman yang diterima oleh TEKUN Nasional mulai awal tahun ini adalah di luar jangkaan.

Dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja tahun 2009, pihak TEKUN Nasional telah meluluskan dan mengeluarkan pembiayaan pinjaman sebanyak RM162 juta kepada 14,391 orang usahawan. Dalam masa yang sama juga, sehingga 15 April 2009 TEKUN Nasional sedang memproses permohonan pembiayaan pinjaman daripada 8,904 orang pemohon dengan nilai permohonan sebanyak RM221 juta.

Untuk maklumat semua pihak, pembiayaan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh TEKUN Nasional pada tahun 2008 adalah berjumlah RM358 juta berbanding dengan pembiayaan yang dikeluarkan pada tahun 2007 adalah hanya RM127 juta.

Pada tahun ini jumlah permohonan pembiayaan dijangka terus meningkat disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang mendorong ramai rakyat negara ini menceburi bidang usaha niaga bagi menjana pendapatan mereka, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang diberhentikan kerja. Oleh yang demikian TEKUN Nasional telah menjadi institusi tumpuan bagi mendapatkan pembiayaan pinjaman perniagaan.

Di samping itu, dalam kesempatan ini, saya ingin merayu kepada para peminjam dan usahawan TEKUN yang sedia ada, supaya dapat membuat bayaran balik pinjaman mereka seperti yang dijanjikan kerana wang bayaran balik tersebut yang diterima oleh TEKUN Nasional akan disalurkan pula kepada pemohon-pemohon yang baru. Sekiranya bayaran balik ini lambat diterima oleh TEKUN Nasional, maka ia juga akan menyebabkan kelewatan menyalurkan pembiayaan pinjaman kepada pemohon-pemohon baru yang memerlukan.

Sekiranya para usahawan TEKUN menghadapi masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka disebabkan kegawatan ekonomi, maka mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai TEKUN di pejabat-pejabat TEKUN yang mereka berurusan di seluruh negara untuk menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

Sehubungan dengan ini, TEKUN Nasional ingin memaklumkan bahawa semua permohonan yang diterima oleh pejabat TEKUN di seluruh negara akan diproses dan diberi pertimbangan yang sewajarnya secepat mungkin.

Berbalik kepada aduan Nor Hoda, saya sendiri telah menghubungi beliau untuk memohon maaf dan berjanji untuk mengatasi kesulitan yang dihadapinya dengan segera.

Sekiranya saudara dan saudari mempunyai sebarang masalah dan kesulitan berhubung dengan permohonan pembiayaan dengan TEKUN Nasional harap dapat hubungi Unit Pengaduan Awam di bawah Jabatan Pemantauan dan Tugas-Tugas Khas TEKUN Nasional di talian 03-90588550 atau email terus kepada Mohd. Yusri Mohd. Yusob, ketua jabatan berkenaan menerusi yusri@tekun.gov.my.

Bagi pihak TEKUN Nasional, saya ingin memohon maaf kepada semua pemohon yang terlewat mendapatkan pembiayaan pinjaman mereka. Insya-Allah, saya dan warga kerja TEKUN Nasional di seluruh negara akan mempertingkatkan lagi kecekapan kami dari semasa ke semasa bagi memantapkan sistem penyampaian TEKUN Nasional, selaras dengan amalan penambahbaikan berterusan TEKUN Nasional.

Kami juga komited untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Insya Allah.

DATUK ABDUL RAHIM HASSAN

Pengarah Urusan & Ketua

Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...