terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 10, 2009

57 tahun menyokong Ratu


Oleh Shamsiah Sanin
bminggu@bharian.com.my


Putera Philip

Suami Ratu Elizabeth II catat sejarah lelaki paling lama beristerikan ketua monarki di Britain

PADA 20 April lalu, genaplah 57 tahun usia perkahwinan Putera Phillip Duke of Edinburgh dengan Ratu Elizabeth ll Britain, sekali gus menjadikan beliau lelaki paling lama beristerikan seorang ratu dalam sejarah diraja negara itu, selain memecahkan rekod yang dimulakan Ratu Charlotte, 191 tahun lalu.

Memang mengagumkan untuk menyaksikan perkahwinan pasangan diraja ini kekal selama 57 tahun, tetapi bagi Putera Phillip sendiri, cabaran yang dihadapinya juga bukan mudah.


Beliau ialah lelaki yang sentiasa berada di samping wanita berpengaruh, profil tinggi dan terkenal di seluruh dunia, tetapi beliau sendiri tidak mempunyai sebarang peranan khusus. Dalam erti kata lain, tugas beliau hanya sebagai 'penyokong isteri' semata-mata.

Bagi seorang lelaki yang mempunyai ego tinggi seperti Putera Phillip, ia adalah satu cabaran besar dan sukar. Walaupun tanpa peranan yang jelas dan tidak kehilangan harga diri, beliau dapat mencapai kejayaan dalam caranya sendiri.

Begitulah kedudukan lelaki seperti Putera Phillip, di samping isteri yang menjadi ratu negara. Jika mereka melakukan sesuatu yang hebat, tiada siapa mempedulikannya, sebaliknya jika mereka merungut atau menimbulkan masalah sehingga menarik perhatian media, kesannya boleh dirasai dan menjadi perdebatan seluruh rakyat.

Putera Philip dan Ratu Elizabeth II.

Contoh jelas pernah menimpa Putera Henrik, suami kepada Ratu Denmark, Magrethe, apabila maruah dan harga dirinya benar-benar tercabar berikutan satu peristiwa yang berlaku pada 2002.

Ketika itu putera beliau, Frederik dilantik sebagai ketua sambutan malam tahun baru menggantikan bondanya yang mengalami kecederaan tulang rusuk dan tidak dapat menghadiri majlis itu.

Henrik membantah keras, merajuk dan membawa diri ke Perancis sambil mendakwa beliau berasa dirinya diketepikan, tidak dihargai dan dihina apabila diletakkan pada kedudukan ketiga dalam hierarki diraja.

Beliau berada di Perancis selama tiga minggu dan enggan pulang, sehinggalah Ratu Magrethe terbang ke Perancis menemui beliau dan memujuknya agar kembali semula ke Denmark.

Ratu Elizabeth II dan Putera Phillip bersama-sama keluarga diraja Britain.

Ego Putera Phillip juga tidak kalah dengan Henrik, tetapi beliau tidak pernah menyusahkan atau menyebabkan Ratu Elizabeth berasa sedih.

Tidak dinafikan sebagai manusia biasa, Putera Phillip mempunyai kelemahan dan terkenal dengan mulut celupar, malah sesetengah kenyataan yang beliau kemukakan dianggap tidak wajar.

Antara kenyataan paling teruk pernah dikeluarkan Putera Phillip ialah ketika beliau bercakap kepada pelajar Britain di China: “Jika anda berada di sini lebih lama, mata anda semua akan menjadi sepet.”

Pada awal perkahwinan, ramai tidak yakin putera itu mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab yang unik tetapi sensitif itu. Ia juga kelihatan sukar bagi putera itu terutama apabila keputusan diambil untuk mengekalkan nama Windsor sebagai nama keluarga diraja dan tidak ditukar kepada Mountbatten mengikut keturunan beliau.

Putera Phillip pernah merungut dan mengakui kemelut dihadapinya. “(Saya) satu-satunya lelaki di Britain yang tidak dibenarkan menggunakan nama keturunan untuk anak kandung sendiri.”

Pada awal 1950-an desas-desus sering kedengaran menyatakan bahawa Putera Phillips ialah lelaki yang tidak pasti dengan peranan dan tanggungjawab yang wajar beliau laksanakan di samping isterinya.

Namun beliau berjaya mengatasi masalah itu dengan terus berdiri teguh 'di belakang' ratu dan mengelak dirinya daripada menjadi berita akhbar yang memalukan. Sebaliknya, Putera Phillip melaksanakan peranannya sendiri yang mengagumkan.

Buktinya, skim Anugerah Duke of Edinburgh yang diasaskan beliau, berjaya membantu lebih enam juta orang di 123 negara. Beliau turut menjadi penaung kepada 800 pertubuhan, malah pada usia 87 tahun, Putera Phillip masih berupaya menghadiri 350 pertemuan umum.

Namun, orang yang paling layak untuk memberi penghargaan dan pujian kepada Phillip ialah Ratu Elizabeth sendiri yang sememangnya menghargai jasa dan pengorbanan suami tercinta itu.

“Putera Phillip menjadi sumber kekuatan saya selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...