terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 3, 2009

Gawat jejas kedudukan bilionair


KESAN kegawatan ekonomi yang melanda dunia kini semakin dirasai. Berjuta-juta penduduk dunia telah hilang pekerjaan akibat krisis ini. Malah ini juga mengakibatkan keadaan panik di kalangan mereka.

Bagaimanapun kesan krisis ini bukan sahaja melibatkan orang awam yang kebanyakan mereka menyara hidup dengan makan gaji. Malah kesan krisis ekonomi ini turut menjerat orang -orang kaya dunia yang kebanyakan mereka mempunyai harta dan wang tunai lebih dari AS$1 bilion (RM3.6 bilion). Dalam erti kata lain golongan bilionair ini turut "jatuh miskin" seperti kebanyakan kita di dunia.

Pada tahun lepas sebanyak 1,125 bilionair berjaya melonjakkan kedudukan mereka sebagai antara orang kaya di dunia. Bagaimanapun jumlah tersebut merosot dengan mendadak kepada hanya 793 orang pada tahun ini.

Jumlah keseluruhan kekayaan bilionair dunia juga merosot RM7.2 trilion kepada RM8.6 trilion berbanding RM15.8 trilion tahun lepas.

Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, apa yang berlaku kepada golongan bilionair dunia ini sememangnya tidak boleh dielakkan. Kejatuhan sistem kapitalis yang begitu diagung-agungkan oleh ahli korporat di seluruh dunia kini menjerat diri mereka sendiri.

Kesan krisis ini telah dijangka berdasarkan kedudukan pasaran kewangan, pasaran saham, komoditi serta hartanah. Ditambah pula dengan keupayaan berbelanja yang terjejas teruk serta penurunan kadar mata wang. Inilah yang semakin menyesakkan bukan sahaja orang kebanyakan dan ahli perniagaan sahaja tetapi kini ia semakin menghimpit kebanyakan negara sehingga hampir muflis.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan majalah Forbes, kedudukan teratas senarai bilionair dunia masih diterajui oleh tiga tokoh perniagaan dunia iaitu Bill Gates, Warren Buffett dan Carlos Slim Helu.

Namun kedudukan orang terkaya dunia kembali ke tangan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan jumlah kekayaan RM144 bilion. Namun jumlah ini susut dengan ketara jika dibandingkan tahun lepas di mana beliau memperoleh RM208 bilion, susut RM64.8 bilion.

Orang terkaya dunia pada tahun lepas, Warren Buffett menduduki tempat kedua menerusi syarikat pelaburan Berkshire Hathaway dengan kekayaan berjumlah RM133.2 billion susut RM90 bilion berbanding tahun lepas.

Jutawan telekomunikasi dari Mexico, Carlos Slim Helú menduduki tempat ketiga melalui syarikatnya Telmex, América Móvil dengan kekayaan RM126 billion berbanding RM216 billion tahun lepas.

Orang terkaya yang paling terjejas teruk akibat dari kegawatan ekonomi pada tahun ini ialah Anil Ambani dari India yang hilang RM115.2 billion iaitu 76 peratus dari kekayaannya. Beliau yang juga pemilik Anil Dhirubhai Ambani Group yang menguasai Reliance Communications, Reliance Power and Reliance Capital kini menduduki tempat ke 34 orang terkaya tahun ini dengan jumlah kekayaan RM36.3 bilion walaupun menduduki tempat ke enam tahun lepas.

Nasib yang sama turut dilalui oleh jutawan besi dari India, Lakshmi Mittal pemilik Ancelor Mittal yang kehilangan RM93.6 bilion akibat dari kejatuhan harga besi di pasaran dunia serta pembayaran denda yang banyak setelah didapati bersalah memanipulasi harga besi di pasaran Eropah. Bagaimanapun nasibnya lebih baik berbanding Anil Ambani kerana masih lagi menduduki tempat ke lapan orang terkaya dunia.

Namun di sebalik kegawatan ekonomi masih terdapat mereka yang berjaya mengaut keuntungan besar untuk menduduki tempat antara orang terkaya dunia.

Antara mereka ialah ahli keluarga diraja Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mansour bin Zayed Al Nahayan yang berjaya memperoleh RM17.64 billion. Berusia 39 tahun, beliau muncul untuk kali pertama dalam senarai orang terkaya dunia. Beliau juga merupakan pemilik kelab bolasepak Manchester City serta antara pemilik saham terbesar dalam Bank Barclays.

Bekas tukang jahit yang kini menjadi taikun dalam industri fesyen China, Zhou Chengjian juga muncul buat kali pertama dalam senarai orang kaya dunia. Kekayaan lelaki berusia 44 tahun ini dianggarkan berjumlah RM9.36 billion. Beliau kini mempunyai 2,600 outlet, 9,000 pekerja dan melancarkan 3,000 rekaan setahun melalui syarikatnya, Metersbonwe.

Veteran perang AS, John Paul Dejoria pernah hidup di jalanan serta tidur di dalam kereta namun kini kekayaan beliau dianggarkan berjumlah RM9.72 bilion. Kejayaan beliau mengeluarkan produk penjagaan rambut John Paul Mitchell Systems pada 1980 serta beberapa perniagaan lain seperti minuman keras membolehkan beliau menduduki antara orang terkaya dunia untuk tahun ini.

l Wanita terkaya

Bagi kedudukan wanita terkaya dunia, pengacara televisyen terkenal Oprah Winfrey menduduki tempat pertama dengan kekayaan RM9.72 billion. Beliau merupakan antara mereka yang berjaya menambah kekayaan ketika dunia berada dalam krisis ekonomi terburuk. Oprah juga terkenal dengan sifat pemurah dan telah menyumbangkan sejumlah dana kepada 55 buah sekolah di 12 negara.

Dalam pada itu, wanita terkaya Israel, Shari Arison yang mengawal bank terbesar negara itu, Bank Hapoalim berkongsi jumlah kekayaan yang sama dengan Oprah,

Ahli perniagaan dari Hong Kong, Chu Lam Yiu yang mengasaskan syarikat Huobao International turut menjadi antara wanita terkaya dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak RM5.4 billion. Beliau yang bermula dari bawah merupakan pengeluar wangian untuk dibekalkan kepada syarikat kosmetik, minuman dan produk tenusu di seluruh dunia.

Penulis buku Harry Potter, J.K. Rowling turut tersenarai antara orang terkaya dunia dengan harta berjumlah RM3.6 bilion. wanita ini yang pernah hidup di jalanan menjadi bilionair setelah tujuh siri bukunya dijual sebanyak 400 juta naskah di seluruh dunia

Dalam pada itu, bagi orang terkaya Asia ia kini dipegang oleh Mukesh Ambani pemilik Reliance Industries dengan jumlah kekayaan RM70.2 billion. Beliau yang menduduki tempat ke lima tahun lepas dalam senarai orang terkaya dunia kini menduduki tempat ke tujuh dan hilang sebanyak RM84.6 bilion tahun ini. Tempat kedua diduduki oleh Lakshmi Mittal manakala jutawan Hong Kong, Li Ka Shing yang memiliki syarikat Hutchison Whampoa menduduki tempat ketiga di Asia dan ke 16 dunia dengan harta berjumlah RM58.3 bilion berbanding RM95.4 bilion tahun lepas.

Bagi orang terkaya dari Asia Tengah, kedudukan tersebut masih dipegang Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud dari Arab Saudi yang menduduki tempat ke 22 dunia dengan kekayaan RM47.8 bilion. Bagaimanapun kekayaan beliau merosot berbanding RM75.6 bilion tahun lepas. Mohammed Al Amaudi juga dari Arab Saudi menduduki tempat kedua dengan jumlah kekayaan sebanyak RM32.4 bilion. Beliau yang menguasai Corral Petroleum Holdings menduduki tempat 43 tahun ini dalam senarai orang terkaya dunia berbanding 99 tahun lepas.

Bagi senarai orang terkaya Eropah, Ingvar Kamprad dan keluarga yang juga pengasas dan pemilik syarikat perabot terkenal dari Sweden, Ikea menduduki tempat ke lima dunia meningkat dari tangga ke lapan tahun lepas dengan jumlah kekayaan sebanyak RM79.2 bilion. Pemilik pasar raya terbesar di Jerman, Aldi Sud, Karl Albrecht menduduki tempat ke enam orang terkaya dunia dengan jumlah kekayaan RM77.4 bilion.

Pemilik syarikat fesyen Inditex Group dari Sepanyol, Amancio Ortega yang mengeluarkan jenama pakaian terkenal seperti Zara, Massimo Dutti dan Bershka menduduki tempat ke 10 orang terkaya dunia dengan kekayaan terkumpul berjumlah RM65.8 bilion. Beliau hanya menduduki tempat ke 23 tahun lepas dengan kekayaan RM72.7 bilion.

Pemilik syarikat fesyen terkenal Louis Vuitton, Bernard Arnault dari Perancis menduduki tempat ke 15 susut satu anak tangga berbanding tahun lepas dengan kekayaan berjumlah RM59.4 bilion. Beliau memperoleh kekayaan sebanyak RM91.8 bilion tahun lepas.

Dua belas bulan lepas senarai bandar bilionair dunia didominasi oleh Moscow dengan 74 orang berbanding New York, 71 orang. Namun untuk tahun ini senarai tersebut kembali didominasi oleh New York dengan 55 orang berbanding 27 orang dari Moscow.

London merupakan bandar di Eropah yang paling ramai menempatkan bilionair di dunia dengan jumlah 28 orang manakala Hong Kong pula merupakan bandar di Asia yang paling ramai menempatkan golongan bilionair dengan 21 orang.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...