terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 24, 2009

Hari Ahad

Bila duduk sorang-sorang jauh-jauh ni, fikiran aku selalu melayang teringatkan nostalgia-nostalgia lama. Hujung minggu hanya bercakap dengan diri sendiri. Nasib baik la cuma 2 hari, kalau lama-lama boleh jadi mereng.

Bila pagi Ahad aku selalu terkenangkan "hari ahad" waktu aku kecil-kecil dulu. Hari ahad adalah hari yang paling best yang aku rasa bukan hanya pada aku, tapi untuk seluruh penduduk kampung. Kenapa? Sebab hari itu ada pekan sehari di Titi Serong. Orang sini panggil "tisegrhong". Orang banjar panggil "titi hirot".

Pekan sehari ini cukup istimewa dan sentiasa ditunggu-tunggu. Dulu cuma pada hari ahad kami sekeluarga dapat makan yang sedap-sedap sebab ada pekan sehari ni. Pada hari ahad la nak merasa makan daging, walaupun hanya daging ais (daging import). Hari ahad juga ikan yang dijual nampak lebih "mewah" berbanding hari biasa yang ada cuma ikan temenong (kembong) dan sardin. Hari biasa memang takkan dapat makan daging sebab susah nak dapat. Hari ahad la kalau nak harap abah sembelih ayam yang kami bela. Orang kampung memang jarang beli ayam. Kalau nak makan, sembelih ayam bela. Daripada ayam ni jugalah dapat telur ayam.

Masa tu umur aku mungkin dalam 4-5 tahun. Kalau abah ajak pergi pekan ahad memang aku seronok sangat. Abah akan bawa aku naik motor duduk dalam raga depan. Kadang-kadang abah lepas handle motor bagi aku control. Di pekan ahad ni selain dari ikan, sayur dan bawang cabai, ada juga orang jual makan-makan. Tapi yang wajib dibeli di pekan ahad ialah apom balik dan kacang kuda. Aku tak tahu kenapa tapi tanyalah semua orang, tak sah kalau balik dari pekan ahad kalau tak bawa dua benda makan ni.

Kat pekan ahad ini ada dua orang pembuat apom balik, Sani Apom Balik dan sorang lagi aku lupa nama. Dua-dua orang ni orang kampung aku dan dua-dua dah arwah. Aku selalu beli kat Sani Apom Balik sebab apom balik dia lebih tebal.

Dulu tok wan aku pun berniaga di pekan ahad. Jual peralatan sawah, bubu, tajak, kuku kambing, batu pengasah dll. Kadang-kadang ada jugak Pak Lang aku (Pak Lang Satar) jual buah mempelam. Selain tu hari ahad jugak orang ramai berkerumun membeli surat khabar Mingguan Malaysia sebab ada Pancaindera. Juga nak tengok keputusan bola Semi-Pro. Masa tu team Perak cukup kuat. Aku masih ingat Hassan Miskam adalah penjaga gol terbaik waktu itu merangkap penjaga gol kebangsaan.

Bila sampai dirumah biasanya aku, abah dan Amie (abang aku) akan melepak depan tv sebab siaran tv pagi baru start. Masa tu "perak" jugak sebab ada siaran pagi. Hari biasa waktu siaran cuma start jam 3 petang. Rancangan faveret ialah Sekapur Sirih dengan pengacara popular waktu itu Nurfarahin Jamsari dan Aziz Desa. Tak lama lepas tu RTM pun start dengan Selamat Pagi Malaysia dengan Hjh Wan Chik bersama Nor Nikman sebagai pengacara.

Menjelang tengahari perut dah lapar, mak biasanya akan masak istimewa hari ahad. Selalunya menu nasi daging dan air asam. Bila dah dekat-dekat waktu makan, aku akan pergi berjalan ke kedai Arwah Pak teh, selang 2 biji rumah je dari rumah aku. Aku akan mintak kat abah duit untuk beli "air lemened". Harganya cuma suku (25 sen). Macam-macam perasa ada, biasanya oren, sarsi dan aiskrim soda.

Dalam pukul 2 akan ada sorang cina dengan lori pikap round kampung jual aiskrim yang dijual dalam bekas plastik bulat. Lori pikap dia akan mainkan muzik yang boleh dengar dari jauh. Satu bekas tu boleh dicampur-campur perasanya. Aku suka rasa kopi dan nescafe. Aku dah lupa berapa harganya. Masa tu aku masih ingat lagi aku cukup suka tengok citer I Dream of Jeanie sambil makan aiskrim.

Sampai ke hari ini pekan ahad masih lagi beroperasi seperti biasa. Orang masih lagi ramai. Banggali yang dok menjual kain baju pun masih ada. Anak-anak depa la kot yang menyambung perniagaan. Dan masih ramai lagi orang kampung yang membawa anak-anak untuk cari baju sekolah dan sebagainya....

2 comments:

  1. saya pun baru balik dr pekan ahad tadi warganya, kedainya tetap mcm dulu meriahnya....

    ReplyDelete
  2. saya rasa macam tau ja pekan ahad ni, pekan ahad ni nadi orang titi serong.........

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...