terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 1, 2009

Honda City - Terbaik dalam kelasnya





HONDA Malaysia mengotakan janjinya untuk terus memperkenalkan model kereta yang segar dengan teknologi terkini menerusi pelancaran Honda City.

Bukan sahaja reka bentuk pada City lebih menarik berbanding generasi sebelumnya, tetapi juga enjinnya adalah i-VTEC yang telah menjalani penambahbaikan serta transmisi automatik 5-kelajuan.

Pada sesi uji pandu khas dari Subang di Selangor ke Melaka baru-baru ini, Honda Malaysia turut membawa Ketua Jurutera Honda R&D Co. Ltd., Takeshi Nakamura yang merupakan orang yang bertanggung jawab membangunkan Honda City.

Menurutnya, reka bentuk City diilhamkan dari sebuah filem yang ditontoninya iaitu adegan lelaki menarik panah, sekali gus diserapkan dalam penciptaan keseluruhan badan City yang diistilahkan sebagai 'Arrowshot Form'.

Dari sudut tepi, ia memaparkan perwatakan dinamik dan lincah. Di sebalik garis bumbung yang biasa menghala ke bahagian belakang, City memiliki garis bumbung menaik dengan bahagian but yang tinggi, menawarkan bayangan tenaga yang dilepaskan.

Yang pastinya, reka bentuk depan City begitu menawan. Masih dengan konsep panah itu, terdapat dua garis pada penutup bonet yang menurun ke jeriji depan yang menghasilkan rupa yang maskulin. Pada masa yang sama, garis jeriji depan sejajar dengan lampu dan dari depan kelihatan membujur.

Dari arah belakang, ramai yang sudah mengaitkannya dengan BMW. But direka tinggi bukan sahaja memberi kelebihan daripada segi aerodinamik pemanduan tetapi menjamin ruang kargo yang besar di situ.

Honda City dijana enjin i-VTEC serba baru yang menepati standard pengeluaran asap Euro 4. Enjin berkenaan adalah enjin sama yang dipadankan pada Honda Jazz.

Nadi terbaru itu mampu memberi kuasa sehingga 120PS, menjadikan City enjin paling berkuasa dalam kelas 1.5L. Ia diperkasakan oleh transmisi automatik lima kelajuan, City begitu responsif ketika melalui selekoh mahu pun memecut di lebuh raya.

Bagi gred E, paddle shifter menjadikan pemanduan City lebih menyeronokkan.

Sistem gantungan daripada topang MacPherson dan penyerap hentak torsion beam berbentuk H memainkan peranan yang baik ketika mengharungi jalan berbonggol selain membantu pemandu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh.

Bagi ruang dalamannya pula, Honda mengekalkan ciri-ciri sporty yang wujud pada semua modelnya iaitu warna gelap dan diadun dengan kemasan krom atau perak.

Sebenarnya, City generasi sebelum ini sememangnya terkenal dengan ruang kabin yang luas, walaupun mungkin reka bentuknya menyerupai ikan dan tebal ciri Jepun. Keseluruhan panjang badannya ditambah hanya 5 milimeter menjadi 4,395mm. Paling penting - asas roda yang merupakan kunci kepada gaya yang bagus, telah ditambah sebanyak 100mm bagi mencapai imbangan reka bentuk yang optimum. Ini sekali gus menambahkan ruang dalamannya iaitu jarak antara kerusi belakang dan depan menjadi 25mm.

City ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Honda City 1.5S dan 1.5E. Secara ringkasnya, 1.5S adalah varian asas ditawarkan pada harga atas jalan termasuk insurans RM84,980 manakala 1.5E ialah RM89,980 yang merangkumi spesifikasi penuh seperti rim aloi saiz 16 inci dan paddle shifters iaitu penukar gear ala F1 pada stereng roda. Terdapat lima warna pilihan. Penulis sarankan warna coklat atau Bold Beige Metallic. Cantik!

Pengenalan City pada 18 Disember 2008 ke pasaran Malaysia, meletakkan Honda pada kedudukan teratas daripada segi jualan bulanan, malah mencatat jualan tertinggi pada Januari lalu iaitu 1,693 buah iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan jualan Honda sebanyak 3,815 buah.

Ini menjadikan Honda Malaysia seolah-olah tidak terjejas dalam pasaran automotif yang semakin mengecut di negara ini. Sebaliknya Honda Malaysia mencatat peningkatan 10 peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), yang mencatat penurunan sebanyak 17.5 peratus tahun atas tahun.

Berikutan sambutan hangat daripada orang ramai, Honda Malaysia meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 20 peratus untuk City dalam usahanya mengurangkan tempoh menunggu.

Bagi kelas 1.5 liter, Honda City mengatasi semua pesaingnya daripada segi reka bentuk dan prestasi. Jika tidak kisah menunggu lama, bolehlah anda membuat tempahan.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...