terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 3, 2009

Isu lama dan ‘bom jangka’


Jika ada perkara yang paling menuntut post mortem besar-besaran ia tidak lain daripada isu kebanjiran warga asing.

Pergilah ke mana sahaja, anda akan jumpa ramai warga asing berlegar, sebahagiannya dipercayai berstatus haram iaitu menipu dokumen masuk dan tinggal lebih tempoh.

Jumlah mereka bukan kecil, jauh mengatasi saiz kakitangan awam termasuk pasukan keselamatan seperti tentera dan polis.

Sama ada suka atau tidak untuk diakui, Malaysia menjadi negara yang paling diambil mudah oleh warga asing. Malah ada laporan terbaru mengaitkan negara ini menjadi transit kepada warga asing sebelum ke negara lain.

Isu kebanjiran warga asing di negara ini telah lama menimbulkan keresahan rakyat tetapi setakat ini kerajaan gagal menanganinya dengan berkesan sehingga mencetuskan masalah sosial yang serius.

Jika ada tindakan sekalipun, ia dilihat bermusim. Tiada langkah menyeluruh diambil. Maka tidak hairan jika bercakap mengenainya, ramai akan sinikal. Awang pun sudah tidak larat geleng kepala.

Berdasarkan satu kajian menjelang pilihan raya umum lalu, isu tersebut merupakan antara perkara utama yang rakyat tidak puas hati selain ancaman jenayah, sentimen perkauman, rasuah dan pengurusan krisis yang lemah.

Keputusan pilihan raya umum itu juga sepatutnya menjadi mesej yang amat bernilai kepada kerajaan khususnya agensi-agensi yang bertanggungjawab.

Kegagalan ini lebih-lebih lagi aspek penguatkuasaan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan mewujudkan persekitaran lambakan warga asing yang lebih buruk. Awang melihat isu ini jika tidak ditangani segera umpama bom jangka menanti letusan besar kerana ia kini merupakan ancaman keselamatan yang serius.

Lebih mengganggu fikiran Awang ialah peluang pekerjaan rakyat tempatan terutama generasi muda yang makin mengecil disebabkan majikan lebih ghairah mengambil warga asing untuk mengurangkan kos mereka. Apabila sukar mendapat pekerjaan mereka menjadi peragut, mat rempit dan pekerja industri pelacuran.

Tinjaulah ke restoran-restoran makanan segera dan francais yang sepatutnya mengutamakan orang tempatan kini sudah dikuasai oleh warga asing dari Indonesia, Thailand, Myanmar, Filipina, Nepal, India, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam.

Itu belum warga China yang banyak memenuhi pusat hiburan termasuk premis urut dan warga Afrika dengan aktiviti penipuan serta warga Amerika Selatan yang aktif melakukan pecah rumah.

Peluang pekerjaan di kilang-kilang yang berdekad-dekad didominasi oleh pekerja tempatan kini beralih kepada warga asing. Apa makna ini semua? Maka tidak menghairankan jika golongan muda menolak parti pemerintah dalam pilihan raya, yang antaranya berkait dengan soal peluang pekerjaan.

Ada isu lain yang turut menjadi kekhuatiran. Tahun lalu, negara kehilangan RM17 bilion apabila pekerja asing daripada pelbagai sektor menghantar pulang wang ke negara masing-masing. Ternyata ia jumlah yang besar dan bayangkan kesannya kepada negara terutama ketika suasana ekonomi suram. Apa sahaja langkah kerajaan termasuk pakej rangsangan ekonomi akan mengalami ketirisan dengan aliran wang keluar yang besar.

Dalam kita menghargai peranan pekerja asing kepada pembangunan negara, kita perlu lebih realistik menangani cabaran dengan mendahulukan kepentingan rakyat. Inilah antara cabaran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Memang besar harapan rakyat kepada beliau termasuk dalam isu lama ini yang penyelesaiannya juga di takuk lama.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...