terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 16, 2009

jual telur itik, 20 sen dari guru

ESOK Hari Guru. Sempena hari penuh bermakna kepada para guru ini, ingin saya menyingkap kembali betapa besar jasa dan kasih sayang guru saya sewaktu di sekolah rendah di kampung awal tahun 1960-an dahulu. Menitis air mata apabila terkenang kembali.

Datang daripada keluarga susah, saya seringkali tidak mempunyai wang poket untuk berbelanja. Selalunya emak akan membekalkan nasi bungkus dan air teh dalam botol. Inilah bekalan seharian saya ke sekolah.

Menyedari kesusahan keluarga, saya tidak merungut. Malah saya bersyukur kerana masih ada rezeki nasi bungkus dan air teh.

Namun sekali sekala teringin juga membeli makanan di kantin. Waktu itu dengan hanya lima sen sudah boleh dapat nasi lemak. Untuk membolehkan saya mendapat sedikit duit ini, saya kerap membawa telur itik dari rumah untuk dijual kepada guru di sekolah. Ketika itu emak membela dua ekor itik telur.

Saya tahu ada guru yang bersimpati dengan saya. Beliau (kini sudah arwah) paling kerap membeli telur itik yang saya bawa. Kadang kala dua biji atau tiga biji. Saya boleh mendapat 20 sen hasil jualan itu. Jumlah itu sangat besar pada ketika itu.

Malah saya menyedari ada kalanya cikgu itu bukan sangat memerlukan telur itik itu. Tetapi kerana rasa simpati dia membelinya juga. Itulah jasa dan budi baik yang tidak saya lupakan, di samping ilmu yang diturunkan kepada saya.

Saya juga tidak lupa jasa seorang lagi guru (juga sudah arwah) yang kerap memberi saya duit poket apabila membaca doa. Pada perhimpunan pagi, saya sering dipanggil ke hadapan untuk membaca doa. Selepas membaca doa cikgu ini akan memberi saya wang 20 sen. Saya tahu ia bukan upah tetapi ia cara beliau memberi wang kepada saya kerana dia tahu saya susah.

Guru ini kemudian telah berpindah tempat mengajar. Saya bersyukur kerana setelah berpuluh tahun tidak bertemu, saya dapat menemuinya bersama keluarga saya. Sangat gembira hati saya bila bertemu dengannya. Begitu juga dengan beliau. Bertukar-tukar cerita lama sangat menyentuh kalbu. Dan bertambah sayu hati saya bila mendapat tahu guru ini telah kembali menghadap Ilahi beberapa tahun selepas saya bertemu dengannya.

Itulah guru. Jasa bakti bukan terbatas hanya untuk memberikan ilmu, tetapi juga meluahkan kasih sayang sesama insan, terutama kepada yang kurang bernasib baik. Itulah mulianya hati guru yang telah mendidik saya menjadi insan berjaya.

Kepada guru-guru saya yang telah pergi meninggalkan alam fana ini, saya berdoa semoga roh mereka dicucuri Rahmat dan diberi keampunan oleh Allah SWT. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

ANDALA,

Bagan Datoh, Perak

- hari guru ni aku ada memori tersendiri..aku ingat lagi masa tu darjah 6..malam 16hb tu rumah aku masuk maleng, hampa paham kot noo maleng tu ada dia. masa tu rumah aku 2 tingkat, semua family tidoq kat bahagian ataih, aku sorang ja tidoq kat bilik bawah..nak jadi cerita masa maleng tu masuk habis dia punggah almari dalam bilik yg aku tidoq tu..betoi2 sebelah aku ja lemari tu..aku lsg tak sedaq..memang tidoq mampuih ataupun aku kena pukau..tapi malam tu maleng tu tak dapat apa pun, duit syiling adik aku dalam bekas bedak ada la lam 3-4 ringgit ngan jam seiko rosak abah aku. abah aku dia letak wallet bawah tilam dia tidoq, jadi kalau nak amik wallet tu memang kena angkat abah aku dulu le..heheh, orang dulu2 cam mak aku barang kemaih simpan lam lipatan baju2 kat lam lemari..abih lemari ataih rumah pun dia punggah tapi nasib baik tak jumpak. maleng tu masuk dengan potong besi tingkap nako kat dapoq.

sejak malam tu abah aku wat alarm sistem dia sendiri, dia ikat benang ngan tin2 melo dan direntangkan keliling dapoq..kalau lam gelap sapa telanggaq memang bergelimpangan la tin2 melo tu..ernah sekali tu time malam2 aku mamai nak pi kencin, aku mana nak sedaq aku langgaq abih tin2 melo tu..abah turun ngan parang panjang..nasib baik la dia bukak lampu, kalo tak ngan aku2 kena libas..aku masih ingat tarikh tu sebab esok tu aku pi sekolah lambat untuk ari guru sebab tengok polis wat siasatan macam csi..heheh

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...