terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 3, 2009

Kecil ditinggalkan besar dicuri


KISAH minggu lalu tentang masalah seorang ibu dan harapannya agar anak-anak lelakinya tidak mengikut jejak langkah suaminya yang tidak suka membantu isteri ke dapur dan pembengis, menarik perhatian Puan Noralina untuk menceritakan masalah yanglebih kurang sama yang dihadapinya, tapi bukan kerana anak lelaki sebaliknya anak perempuan yang diracun oleh ayahnya sendiri.

Namun Noralina tidak menyalahkan anaknya seratus peratus kerana masalah yang timbul ada kait mengait dengan keracunan fikiran dan hasutan oleh bekas suaminya, yang bukan sahaja tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ayah, malah menghasut anaknya menjadi jahat dan melawan ibunya sendiri.

''Saya tak faham perangai lelaki khususnya suami zaman ini, mereka cuma pandai bercakap, mahukan layanan terbaik malangnya tidak tahu menjalankan tugasnya sebagai ayah yang baik. Tambahan pula setelah dia ada kekasih, berkahwin baru atau berpoligami.'' Demikian kata Noralina setelah dua kali menghubungi penulis.

Noralina juga memberitahu, yang dihadapinya hari ini berkaitan dengan masalah yang dilaluinya kira-kira enam tahun setelah dia diceraikan oleh suaminya. Sebenarnya saya pernah bertemu dengan Noralina di pejabat kira-kira enam tahun lalu, ketika itu beliau bertanyakan peguam untuk mengendalikan kesnya yang tertangguh kerana perbicaraan kes cerai yang terbantut.

Ketika itu beliau menghadapi masalah dengan suaminya yang bukan sahaja tidak menjalankan tugas sebagai suami, tetapi suka menganiayanya dari segi fizikal dan mental. Isteri mana tak menderita kalau suami tak suka balik rumah. Bila ditanya kena pukul, sungguh serik. Tapi kerana sayangkan suami kita tunggu juga. Hinggalah kisah nya bahawa dia ada kekasih.

''Macam biasalah, suami kita hanya akan sayang ketika dia susah, tetapi setelah hidupnya berjaya, bisnesnya maju dan duit pun banyak, bertambah lagi bila kawan-kawan mula ramai sekeliling pinggang dia akan lupakan keluarganya.

''Jadilah macam nasib saya, puas saya merayu supaya ingatkan anak-anak, yang masih kecil, tetapi dia lebih sayangkan kekasihnya seorang GRO Indonesia yang bekerja di kelab malam. Dia lupa keluarganya apa lagi menjalankan suruhan Allah, malah dia tidak takut membuat maksiat.

''Kita yang sayangkan suami ini ikut saja perintahnya dengan harapan dia akan berubah. Fikirkan dia sudah jadi baik maka kita pun ikut pujukan untuk membuat pinjaman bank mengadaikan rumah kali kedua, mengadai kereta kali kedua, dan macam-macam lagi termasuk menjual rumah kedua kami.

''Pendek kata dia tinggalkan saya dengan hutang keliling pinggang. Dalam pada itu hidup kami anak beranak jadi buruan along, kerana dia tidak membayar hutang along. Dia buat hutang hidup kami yang susah.

''Di makamah semasa menceraikan saya dia janji bagi mutaan RM50,000, nafkah tiga anak RM4,000 sebulan, tetapi itu semua janji kosong, akhirnya dia saya dapat tau dia kahwin dengan GRO Indonesia yang ada dua orang anak daripada dua orang suami.

''Selama lima tahun dia menghilang tak dapat dikesan, hinggalah awal tahun ini apabila anak bongsunya ditawarkan belajar ke sekolah berasrama penuh. Saya memang tak ada duit, entah macam mana kakaknya Zalina terjumpa nombor telefon lama ayahnya. Sengaja nak mencuba nasib dia berjaya menjejaki ayahnya.

''Dalam pada itu Zalina yang sedang menunggu keputusan SPM dapat kerja sementara di KL. Masa mula-mula bekerja saya beri dia duit tambang bas dan duit makan . Lepas dapat gaji dia masih mengadu tak cukup duit belanja dan minta saya terus tanggung. Kerana kesiankan anak, saya bagilah duit poket.

''Baru sebulan dua bekerja saya lihat perubahan dalam diri anak saya, bukan saja balik rumah lewat tapi dia sudah mula suka dengan gaya hidup bebas. Saya fikirkan tentu pasal teman lelaki, saya nasihat dia baik-baik, ingat masa depan, kerana kita orang susah, jangan percaya dengan pujuk rayu lelaki, nanti hidup sendiri merana.

''Rupa-rupanya dia bukan sahaja ada teman lelaki, tetapi ayahnya jadi dalang menggalakkan dia pulang lewat malam. Bukan setakat itu sahaja, Zalina dipujuk rayu supaya tinggal di rumahnya bersama anak-anak ibu tirinya. Alasannya kalau duduk di rumahnya tak jauh ke tempat kerja, boleh naik satu bas saja dan boleh balik rumah bila-bila suka, sebab emak tiri tak marah.

''Cita-citanya dulu nak sambung belajar masuk kolej atau IPTA terus hilang dari fikirannya. Malah katanya buat apa belajar kalau dah bekerja. Begitu katanya bila saya pujuk dia supaya balik ke rumah.

''Sedangkan dulu semasa menunggu keputusan SPM dia bercita-cita sangat nak sambung belajar, katanya sijil SPM tak sampai ke mana. Kerana dia terlalu bercita-cita nak sambung belajar, saya galakkan dia supaya berjimat cermat bila dapat gaji boleh dijadikan belanja bila masuk kolej nanti . Tapi sekarang semuanya hancur.

''Zalina langsung tak mahu cakap pasal nak sambung belajar. Malah bercakap dengan saya pun dia tak mahu, kecuali dengan adik-adiknya melalui telefon. Bila saya ambil telefon kerana nak bercakap denganya, lekas-lekas dia tutup telefon.

''Bila teringat kata-kata Zalina saya segera teringat kata-kata ayahnya dahulu, katanya jiwa, perasaan dan hatinya lebih senang dan tenang bila di rumah kekasihnya. Pandai sungguh GRO itu mengenakan bekas suami saya dan kini anak saya jadi mangsa.

''Saya amat kesal dengan kejahatan manusia seperti ini yang boleh membuat manusia berubah dalam sekelip mata. Lupa pada janji dan keluarganya.

''Apa yang saya lebih kesalkan kenapa baru sekarang dia pandai nak cari anaknya, kalau betul-betul mahukan anak-anaknya, kenapa tak ambil yang dua orang lagi yang masih bersekolah yang masih tinggal dengan saya ini.

"Agaknya sebab itulah dia pujuk Zalina supaya duduk dengan dia. Hari ini duduk dengan dia esok lusa jadi kuli ayah dan isterinya. Saya tak mahu Zalina menghabiskan masanya dengan pekerjaan yang gajinya tak seberapa.

''Saya tak mahu dia jadi macam saya, terlepas peluang mempunyai pekerjaan yang baik. Memang hari ini dia ada kerja, tapi apakah itu mencukupi setelah berumah tangga nanti, lebih malang kalau dapat suami macam ayahnya yang tidak bertanggungjawab sebaliknya lebih pentingkan nafsu daripada anak-anak.

''Enam tahun lamanya dia menghilang dan melarikan diri daripada saya, takut saya minta duit nafkah seperti yang dijanjikan dalam mahkamah dahulu. Dia lebih suka tengok anak-anaknya hidup susah, makan tak sempurna, pergi sekolah berjalan kaki, tak ada duit belanja dan duduk rumah sewa yang kecil berhimpit-himpi. Yang mereka tak pernah bayangkan ketika kami belum bercerai dulu.

''Tapi anak-anak saya sabar, kerana mereka kesian tengok saya bekerja keras untuk menyara hidup mereka. Namun mereka gembira kerana kami dapat bersama dan saya mengambil mereka ketika mahkamah membuat penentuan dahulu.

''Saya juga bersyukur kerana ayah mereka dengan terus terang memberitahu mahkamah syariah bahawa dia tidak berminat untuk mengambil apa lagi memelihara anak-anaknya, dia serahkan kepada saya. Ketika itu Zalina baru berusia 12 tahun, kedua 10 tahun dan ketiga umur tujuh tahun.

''Kini bila Zalina sudah bekerja walaupun cuma kerja sementara dia mula jalankan peranan menghasut dan meracun fikiran Zalina supaya tinggalkan saya. Apakah ini adil? Di mana dia ketika saya membanting tulang membesarkan anak-anak dulu?

''Kenapa semasa Zalina minta wang dari ayahnya untuk menampung perbelanjaan adiknya ke sekolah berasrama penuh awal tahun ini dia tidak menjawab ataupun membalas SMS yang dihantarkan.

''Ini balasanya kepada saya setelah membesarkan ank-anaknya, bukan ucapan terima kasih yang saya dapat, sebaliknya dia menambah menyakitkan hati saya dengan menghasut dan meracun fikiran anak-anak membenci dan meninggalkan saya. Perbuatannya benar-benar mengecewakan saya.

''Salahkah saya berkahwin lagi setelah enam tahun diceraikan dan selama lima tahun sebelumnya dia menyakiti badan dan merosakkan mental saya. Saya baru berkahwin akhir tahun lalu, sedangkan dia berkahwin sebelum menceraikan saya lagi.

''Apakah tak cukup penyeksaan yang telah dilakukan kepada saya selama ini? Hendak ditambah lagi dengan meracun fikiran anak-anak supaya tinggalkan saya dengan mereka pebagai tomahan dan pembohongan membersihkan dirinya.''

Demikian cerita Noralina yang kecewa ditinggal anaknya kerana diracun fikirannya oleh bekas suaminya. Entahlah, sebenarnya banyak lagi cerita yang tak masuk akal dilakukan oleh suami untuk menyakiti hati bekas isterinya. Namun ada juga isteri yang lebih terus daripada itu. Siapa tahu kalau suami tak bercerita.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...