terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 8, 2009

Kenabian bukan khusus untuk Yahudi


Sheikh Sya'rawi berkata: "Allah SWT bertanya kepada mereka kenapa perdebatan mereka berkenaan Ibrahim yang menjadi kekasih Allah? Sebenarnya Yahudi di kalangan kamu berbangga menisbahkan diri mereka kepada Musa a.s. Nasara pula berbangga menisbahkan diri mereka kepada Isa a.s. Sebaliknya Ibrahim a.s tidak mungkin menjadi Yahudi atau Nasara kerana ia mendahului mereka, lantas turunnya ayat ini.

Ayat ke-72

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah segolongan dari ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula".

Sebab Nuzul

Ibn Ishaq meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya: "Abdullah Ibn Shayf dan 'Adiy Ibn Zayd serta Harith Ibn Awf saling berkata antara satu sama lain, marilah kita beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Muhammad dan sahabat-sahabatnya pada waktu pagi dan pada waktu petang pula kita kembali kafir, agar mereka berasa bingung terhadap agama mereka, mudah-mudahan mereka akan mengikut seperti apa yang kita lakukan sehingga mereka kembali menjadi kafir. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tentang perangai mereka itu".

Ibn Jarir meriwayatkan daripada Mujahid, katanya, "Orang Yahudi sembahyang subuh bersama Nabi Muhammad SAW tetapi pada waktu petang mereka kafir semula kerana ingin melakukan tipu daya. Oleh hal yang demikian manusia telah melihat bahawa mereka telah mengetahui kesesatan agama Islam selepas mereka mengikutnya. Bukannya suatu hal yang pelik, bila mana segolongan di antara mereka menggunakan tipu daya seperti ini kerana mereka sudah tahu, bahawa salah satu tanda kebenaran ialah orang yang telah mengetahuinya tidak akan mahu melepaskannya".

Hal ini dapat ditunjukkan oleh kata-kata Hercules, Raja Romawi kepada Abu Sufian, ketika beliau bertanya kepada Abu Sufian tentang diri Muhammad SAW pada waktu beliau menyebarkan agama Islam, "Adakah terdapat orang yang terkeluar daripada agama itu (Islam) setelah dia memasukinya?" Jawab Abu Sufian: "Tidak ada".

Iktibar dan fiqh ayat:

lAl-Alusi berkata: "Zahir ayat menunjukkan berlakunya perkara sebahagian mereka dengan yang lain untuk berkata-kata. Adapun arahan mengikut perintah maka didiamkannya".

lAl-Maraghi berkata: "Allah SWT telah mengingatkan Nabi SAW tentang tipu daya mereka, membongkar rahsia, supaya tipu daya mereka itu tidak mempengaruhi hati orang mukmin yang lemah. "Perbuatan mereka yang keji itu belum pernah ada orang lain yang melakukannya sebelum itu sehingga peringatan Allah SWT ini menjadi penangkal buat mereka. Ayat ini mengandungi berita ghaib yang dianggap sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW".

lSheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Mereka yang sesat dan menyesatkan telah dikuasai oleh hasad dengki sehingga sanggup menzahirkan Islam untuk melenyapkan yang mencari kebenaran".

lHamka berkata: "Kepalsuan itu nescaya diketahui Tuhan, dan turunlah ayat ini memberi peringatan bahawa ada orang-orang tidak jujur seperti ini akan masuk Islam pura-pura di waktu pagi dan kembali kafir di petang hari. "Namun pada zaman Rasulullah SAW hal seperti ini sangat jarang berlaku, hanya sekali dalam 100,000. Atau kerana murtadnya Musailimah al-Kazzab (pendusta) kerana dia ingin jadi Nabi sendiri pula. Kemudian diterangkan lagi perkataan ahli Kitab yang lain".

Ayat ke-73

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (Mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya".

Sebab Nuzul

Kata-kata ini merupakan ucapan kaum Yahudi yang menganggap bahawa kenabian hanya dipilih di kalangan mereka. Bahkan mereka bersikap melampau dan menghina golongan yang lain.

Mereka berkeyakinan bahawa yang dipilih daripada golongan mereka adalah yang terbaik, sedangkan pilihan daripada golongan lain adalah sebaliknya. Pendek kata, janganlah kamu beriman secara formal itu.

Apabila datang waktu siang kamu menyatakan beriman tetapi berimanlah seperti orang yang mengikut agama kamu sejak dari awal lagi. Mereka yang beriman secara formal iaitu sebahagian orang Yahudi yang menganut agama Islam dengan tujuan untuk keluar kembali.

Mereka bersukacita dan penuh semangat untuk keluar daripada Islam dan sebaliknya mereka berasa marah dan benci terhadap keislaman mereka dahulu.

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata: "Allah sahaja yang memberi hidayah kepada hati orang yang beriman sehingga sempurna iman".

lAl-Alusi berkata: "Ayat ini sebagai bangkangan dan pembatalan di atas sangkaan apa yang mereka dakwa dengan sejelas hujah dan dikehendaki dengan kelebihan ialah Islam".

lIbn Jauzi berkata: "Maksud segala kurniaan di tangan Allah dengan menukilkan pendapat Ibn Abbas r.a iaitu kenabian, kitab dan hidayah. Di mana maksudnya, hai orang Yahudi jangan kamu bercita-cita bahawa seorang yang lain tidak mungkin diberi kurniaan seperti kamu."

lAl-Maraghi berkata: "Ayat ini mengisyaratkan bahawa kaum Yahudi sentiasa menyempitkan kurniaan Allah Yang Maha Luas dengan anggapan mereka bahawa kenabian itu hanya dikhususkan untuk mereka sendiri, dan bersikap bodoh terhadap kepentingan dan kemaslahatan pemberian kenabian oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya".

lHamka berkata: "Inilah kesan dari fanatik golongan yang selalu kita dengar ucapan orang yang hanya memandang pihak yang benar. "Apa saja kata Muhammad SAW itu jangan dipercayai. Pendeknya bagaimana juga bagusnya dan enaknya perkataan mereka jangan diikut. Kalau bukan perkataan gurumu sendiri, nanti kamu akan tertarik. Sebab orang pintar bercakap".

Ayat ke-74

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Jauzi menukilkan tiga pendapat berkenaan dengan maksud rahmat:

nPertama: Islam. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Maqatil.

nKedua: al-Nubuwah. Inilah pendapat Mujahid.

nKetiga: al-Quran dan Islam. Inilah pendapat Ibn Juraij.

lAl-Qurtubi berkata: "Iaitu dengan kenabian dan hidayahnya dan seperti kata Ibn Juraish dengan Islam dan al-Quran. Adapun maksud (siapa yang dikehendakinya) kata Abu Uthman: "Sebaik-baik kenyataan ialah kekal bersamanya, harapan yang mengharap dan takut yang merasa takut".

lAl-Maraghi berkata: "Kurniaan Allah Yang Maha Luas dan rahmat-Nya yang meliputi segalanya, kedua-duanya akan dianugerahkan menurut kehendak-Nya, bukan sebagaimana anggapan Ahli Kitab bahawa kurniaan dan rahmat Allah SWT semata-mata ditujukan kepada Bani Israel sebagai bangsa pilihan. "Bahkan Allah SWT berkuasa mengutus seorang rasul atau nabi daripada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Mereka yang telah ditentukan oleh Allah SWT untuk menerima rahmat-Nya, akan dikurniakan kemurahan daripada-Nya dan keagungan pemberian-Nya, bukan disebabkan oleh usaha yang telah dipersia-siakannya atau kerana kemuliaan keturunannya."Allah SWT tidak memihak kepada mana-mana pihak, sama ada sebagai individu atau bangsa, Maha Tinggi Allah SWT daripada perbuatan yang seperti itu".

lHamka berkata: "Sekarang rahmat itu jatuh kepada Bani Ismail, tapi dia bukan diutus khusus untuk Bani Ismail dan Arab sahaja melainkan untuk seluruh dunia".Berdasarkan kepada ayat-ayat di atas jelas bahawa kaum Yahudi sengaja menyempitkan kurniaan Allah yang Maha Luas dengan anggapan mereka bahawa kenabian itu hanya dikhususkan untuk mereka sahaja. Di samping itu bersikap bodoh terhadap kepentingan dan kemaslahatan kenabian oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala limpahan rahmatnya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...