terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 1, 2009

Lawatan, majlis rasmi patut dimansuhkan


PASTI ramai rakyat negara ini angkat tabik, serban, kopiah, songkok dan topi dengan langkah terbaru kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menetapkan majlis-majlis yang melibatkan pemimpin perlu diadakan secara berhemah dan tidak melebihi 10.30 malam.

Juga kena dipastikan majlis yang diadakan tidak membazir, lebih-lebih lagi daripada segi persiapan dan acara-acara tambahan. Malah sebutan orang kenamaan (VVIP) juga diringkaskan bagi tujuan menjimatkan masa.

Memang tidak dinafikan bahawa masa cukup berharga sehingga Allah berfirman tentang masa dan dijadikan pembuka kepada surah al-Asyr. Justeru wajar kalau masa benar-benar dihargai.

Ketetapan jemaah Kabinet dan diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu tentulah antara pembaharuan dan pendekatan kerajaan pimpinan Najib yang menggagaskan 'Satu Malaysia'.

Gagasan 'Satu Malaysia' itu sendiri sedang dan akan diberi penerangan dan kefahaman mengenainya kepada rakyat terbanyak melalui pelbagai saluran dan cabang komunikasi, terutama oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Sama ada ia boleh diterima sebagai relevan atau sebaliknya oleh rakyat terbanyak dan usaha-usaha untuk memberi penerangan dan kefahaman sampai atau tidak ke sasaran, segalanya akan dapat dilihat berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 atau pada pilihan raya-pilihan raya kecil yang diadakan.

Pada pandangan saya, seandainya pendekatan inilah yang digunakan sebagai teras, formula utama, tiang seri, pasak dan tunjang kepada pendekatan kepimpinan kerajaan sejak kira-kira lima puluh tahun yang lampau, kerajaan yang ada akan sukar digugat, malah akan terus mantap.

Lawatan dan majlis rasmi tidak patut ada kerana ia secara tidak langsung akan terdedah kepada barisan kepimpinan menerima maklumat-maklumat berbentuk bodek dan ampu yang disediakan secara rasmi oleh para pegawai yang pastinya ada kepentingan.

Kalau didedahkan yang tidak baik dan kurang sempurna sebagai bahan taklimat umpamanya, pemberi taklimat dan jabatan/agensi yang diwakili akan menerima padah dari sudut prestasi dan reputasi. Kerana itu dalam penyampaian taklimat, segala kelemahan dan kegagalan disorok manakala kejayaan yang sedikit akan diperbesarkan.

Bahananya setiap rangka dan kerangka pelaksanaan sesuatu program atau dasar untuk kepentingan rakyat banyak yang melencong dan songsang, berbanding yang selari dengan keperluan rakyat terbanyak. Kesannya imej, prestasi dan reputasi kerajaan rosak di mata rakyat.

Rasanya belum terlambat untuk pimpinan kerajaan mansuhkan majlis atau lawatan rasmi, sebaliknya kena lebih banyak ikut resam kepemimpinan Khalifah Umar Ibnu Al- Khattab yang memikul sendiri guni gandum mencari rakyat jelata yang susah untuk dibantu tanpa menonjolkan diri siapa beliau sebenarnya.

Apa salahnya kalau Najib tanpa menonjolkan dirinya sebagai Perdana Menteri - bebas daripada lensa kamera tv dan jurugambar media cetak menaiki kereta api, LRT, bas, kereta sewa dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat secara langsung tentang kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

Tidak salah kalau beliau menyamar sebagai pekerja ladang getah, ladang kelapa sawit, buruh binaan bangunan untuk dapatkan maklumat mengenai sektor berkenaan. Juga beliau boleh menyamar sebagai nelayan, petani, pelanggan yang berurusan dengan kaunter jabatan sektor awam, badan berkanun dan syarikat-syarikat swasta.

Tanpa memperkenalkan statusnya, beliau juga patut cuba berurusan dengan bank-bank perdagangan untuk mendapatkan pinjaman, malah kena juga cuba berurusan dengan ceti atau ah long.

Para menteri, timbalan menteri, menteri besar, timbalan menteri besar, anggota exco serta wakil-wakil rakyat juga patut berbuat demikian dalam mendapatkan maklumat sebenar secara terus untuk kemudiannya dibentang atau dibahaskan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Dengan berbuat demikian ia tidak akan melibatkan kos yang tinggi, maklumat yang diperolehi pula dapat dikumpul secara terus yang nantinya bolehlah dikesan sama ada pemberi taklimat atau cadangan yang dikemukakan oleh kalangan tertentu, termasuk pihak kementerian atau jabatan benar-benar tulus dan telus dalam melaksanakan tugas atau pun bersifat membodek dan mengampu.

RAMLI ABDUL HALIM

Kota Bharu, Kelantan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...