terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 3, 2009

Melayu masih ketinggalan


Seperti yang dijangkakan, sekali lagi berlaku kejutan di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009. Sejumlah 999 juta unit saham yang diperuntukkan kepada masyarakat Cina habis terjual dalam masa 36 jam selepas pelancaran. Situasi yang sama pernah berlaku apabila satu bilion unit saham kuota bukan bumiputera dibuka dua tahun lalu habis dilanggan oleh masyarakat Cina dalam masa satu hari sahaja.

Seperti selalu juga, unit saham yang diperuntukkan untuk bumiputera Melayu mendapat sambutan dingin. Bayangkan daripada sejumlah 1.665 bilion unit untuk bumiputera hanya 7.65 juta unit saham atau 0.4 peratus sahaja yang berjaya dijual.

Apa yang boleh difahami daripada senario ini ialah orang Melayu terbukti masih tidak berupaya untuk memiliki tahap ekonomi yang baik. Mereka bukan sahaja tidak mempunyai wang lebihan bagi membeli unit-unit pelaburan malah ramai di antara orang Melayu tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk digunakan pada hari-hari ‘hujan’ mereka. Jauh sekali memiliki saham syarikat tersenarai atau simpanan tetap dalam jumlah yang besar.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai sokongan serta peluang untuk memajukan orang Melayu. Pelaksanaan DEB (1971-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan kini Dasar Wawasan Nasional (2001-2010). Walaupun dasar-dasar ini ditujukan untuk semua rakyat, tidak dinafikan orang Melayu merupakan fokus utama kepada pelaksanaan dasar-dasar ini.

Malangnya, semua dasar ini seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ sahaja. Malah kerajaan juga telah banyak mengeluarkan peruntukan bagi melaksanakan pelbagai program ekonomi untuk meningkatkan keupayaan ekonomi orang Melayu.

Antara tahun 2006 hingga 2010 sahaja, kerajaan telah membelanjakan jumlah wang yang besar kepada Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (RM4.4 bilion), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (RM340 juta), Skim Penanaman Semula Getah dan Kelapa Sawit (RM1 bilion), Program Pemulihan dan Penyatuan Tanah (RM1 bilion), Pembangunan Keusahawanan Tani (RM414 juta), Pembangunan Tanah Pribumi dan Adat (RM100 juta), Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (RM 2 bilion) dan Pembangunan Tanah Wakaf dan Bumiputera (RM250 juta). Manakala jutaan ringgit lagi program untuk orang Melayu diperuntukkan oleh MARA, TEKUN dan GLC utama negara.

Data-data daripada dokumen RMK-9 2006-2010 jelas menunjukkan orang Melayu masih dalam kemiskinan dan jauh ketinggalan dalam ekonomi berbanding bukan Melayu khasnya orang Cina di Semenanjung Malaysia. Di kalangan negeri yang tahap kemiskinan melebihi 5 peratus, semua negeri tersebut majoriti besarnya adalah orang Melayu. Negeri itu ialah Kedah 7 peratus, Kelantan (10.6 peratus), Perlis (6.3 peratus), Terengganu (15.4 peratus).

Manakala bagi negeri dominasi bukan Melayu menunjukkan tahap kemiskinan yang jauh lebih rendah seperti Pulau Pinang 0.3 peratus, Selangor (1 peratus) dan Kuala Lumpur (1.5 peratus).

Manakala perbezaan antara kemiskinan bandar dan luar bandar juga jelas menunjukkan betapa jauhnya orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Data pada tahun 2004 menunjukkan kadar kemiskinan di luar bandar (majoriti orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar ) adalah 14.8 peratus berbanding kemiskinan di bandar (majoriti penduduk adalah bukan Melayu) sekitar 3.3 peratus.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...