terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 7, 2009

Wanita Ohio jalani pembedahan pemindahan wajah



GAMBAR di atas (kiri) menunjukkan wajah Connie Culp sebelum wajahnya ditembak. Lima tahun lalu, kecederaan pada mukanya (tengah) meninggalkan 'lubang yang besar pada mukanya setelah hidungnya berkecai akibat tembakan. Lima bulan lalu, dia menerima wajah baru (kanan) daripada seorang wanita yang meninggal dunia. Sepasukan doktor pakar daripada pelbagai bidang di Klinik Cleveland melakukan pembedahan wajah hampir menyeluruh yang pertama di Amerika Syarikat. - AFP


WASHINGTON 6 Mei - Seorang wanita Ohio yang menjadi wanita pertama Amerika Syarikat (AS) menjalani pembedahan pemindahan muka, semalam mendedahkan hasil pembedahan tersebut yang berjaya memulihkan ciri-ciri penting pada wajahnya, selepas cedera teruk akibat ditembak suaminya lima tahun lalu.

Connie Culp, 46, yang kehilangan hidung, tulang pipi dan kelopak bawah mata selepas insiden itu pada tahun 2004, menjalani pembedahan selama 22 jam pada Disember lalu di Cleveland Clinic di Ohio.

Pasukan pakar bedah berjaya memulihkan 80 peratus wajah Culp menggunakan tisu muka seorang wanita yang sudah meninggal dunia dengan melekatkannya seperti topeng.

Hampir keseluruhan mukanya digantikan kecuali bahagian dahi, kelopak atas mata, bibir bawah dan dagu.

Kesemua 11 pakar bedah yang terlibat dalam pembedahan itu menyatakan bahawa Culp yang mengalami kehilangan tulang sokongan, selain masalah makan dan bernafas tanpa bantuan tiub pada leher, kini tidak lagi berhadapan dengan kesukaran tersebut.

"Kami rasa... prosedur ini telah mengubah hidupnya secara dramatik," kata pengarah penyelidikan pembedahan plastik klinik tersebut, Maria Siemionow pada satu sidang akhbar, di sini.

Walaupun klinik itu telah mengumumkan pembedahan itu Disember lalu, identiti Culp dan insiden yang dilaluinya masih dirahsiakan.

Culp dalam ucapannya berkata, tumpuan sebenarnya harus diberikan kepada keluarga penderma wajah barunya itu atas sumbangan besar yang mereka lakukan.

Semasa salah seorang pakar bedah plastik Cleveland Clinic, Risal Djohan melihat kecederaan Culp dua bulan selepas insiden tembakan itu, dia menyatakan kesediaan untuk mencuba sedaya termampu untuk memperbaiki muka wanita itu.

"Saya berdiri di sini, lima tahun kemudian. Dia (Djohan) menunaikan janjinya, saya kini mempunyai hidung," kata Culp sambil ketawa.

Siemionow berkata, pembedahan pemindahan muka itu adalah 'pembedahan pemulihan fungsi yang paling kompleks di dunia.'

Pembedahan pemindahan muka yang pertama di dunia dijalankan di Perancis pada tahun 2005. - AFP

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...