terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, June 3, 2009

Apa kata kaum Tionghua..??

BN tidak perlu tanding di Manek Urai?

RENCANA bertajuk "Pilihan Raya Kecil Lagi? Apa Kata Barisan Nasional Tarik Diri Juga" dalam akhbar mingguan Nanyang Siang Pau hujung minggu lalu memberi pandangan mengenai kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Ismail Yaacob. Kematian itu menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya kecil sekali lagi.

Akhbar itu membangkitkan soal pilihan raya kecil yang dianggap semakin membosankan. Menurut akhbar itu, ketika negara sibuk berpolitik dan terlibat dengan pelbagai pilihan raya kecil, negara lain sibuk mengejar perkembangan ekonomi.

"Ada orang mengatakan menjadi hakim memilih ratu cantik begitu memenatkan, tetapi rakyat kita pula penat mendengar kisah pilihan raya kecil.

"Malah ada di antara pilihan raya kecil itu bukan kerana keadaan memaksa ia diadakan tetapi hanya memenuhi cita-cita ahli politik, demi memuaskan agenda individu tertentu,'' tegas akhbar itu.

Malah Nanyang Siang Pau turut mengemukakan cadangan agar Barisan Nasional tidak bertanding di Manek Urai. Sama seperti yang dilakukan sewaktu Pilihan Raya Kecil DUN Penanti minggu lalu.

Akhbar itu "berhujah'' bahawa Manek Urai di Kelantan itu adalah kubu kuat PAS. Jadi buat apa membazir duit untuk bertanding?

"Kita percaya satu hari nanti BN mampu menggerakkan langkahnya seperti yang dilakukan di Perak.

"Rakyat Malaysia memang cukup menderita, yang ingin mereka lihat tidak muncul-muncul. Tetapi yang tidak mahu didengar pula asyik berulang-ulang, sudah tujuh kali pilihan raya kecil.

"Selepas ini kita harap semua Ahli Parlimen dan ADUN menjaga kesihatan. Jangan jadikan pilihan raya kecil itu mimpi buruk rakyat."

Begitulah hujah akhbar tersebut tanpa mengambil kira pilihan raya kecil di Manek Urai terpaksa diadakan kerana kematian ADUNnya. Sedangkan kematian bukan urusan atau percaturan manusia.

Akhbar itu berhujah tanpa mempedulikan sensitiviti sedangkan situasi di Manek Urai dan Penanti ternyata sangat berbeza.

"Orang Malaysia sungguh hebat"

Rencana dalam kolum Pena Berdakwat tulisan C. K. Tay dalam akhbat Kwong Ming Daily pada Sabtu lalu bertajuk "Orang Malaysia Sungguh Hebat" menyifatkan rakyat kita tidak kisah dengan duit.

Tulisan itu mengaitkan laporan mengenai Kawasan Bebas Cukai Pelabuhan Klang yang melibatkan puluhan juta ringgit. Pihak berkuasa pelabuhan dikatakan membuat pinjaman sebanyak RM46.32 juta. Faedah ke atas pinjaman tersebut selama 20 tahun ialah RM25.6 juta. Jumlah kos penambahan seluruhnya meningkat kepada RM74.53 juta dan pada tahun 2051 nanti, ia akan menjadi RM124 juta.

Selain itu, pihak berkuasa Pelabuhan Kelang juga dikatakan perlu membayar faedah sebanyak RM14 juta kepada syarikat KBSB kerana urusan berkaitan tanah.

Menurut penulis itu, kalau gaji bulanannya sebanyak RM10,000 maka beliau akan mendapat RM120,000 setahun.

Dia mencongak dengan mengabaikan soal makan minum, bayar cukai, rumah, petrol dan sebagainya.

Katanya, jika semua duit gajinya disimpan tanpa dibelanja walaupun sesen, maka dia akan mendapat RM1.2 juta dalam tempoh 10 tahun. Maka dalam tempoh 100 tahun baru dia mendapat RM12 juta.

Sebagai rakyat golongan kerdil, RM1 juta adalah angka yang wujud dalam mimpi sahaja.

Tetapi angka itu biasa-biasa sahaja kepada negara. Pasaran saham jatuh boleh hilang beberapa ribu juta. Tol tidak dinaikkan pun boleh hilang puluhan juta ringgit.

"Nampaknya bina Menara Berkembar Kuala Lumpur juga tidak bermanfaat kepada rakyat kebanyakan. Apa kata duit itu dibahagi-bahagikan sahaja?

"Jumlah penduduk Malaysia kira-kira 26 juta. Tanpa mengambi kira usia - tua atau bayi - jika semua orang diberi RM50, baru berapa juta sahaja duit yang dibelanjakan itu,'' tegas C. K. Tay

Kelolaan HAFIZAH MOHD. YUSOF

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...