terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 13, 2009

Realiti Adnan


Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my




Ekspres Rakyat jam delapan akan berangkat... Gerabak, rel dan stesen kereta api menjadi rencah hidupnya hari-hari. Adnan Osman berkongsi cerita di sebalik ruang pemandu atau cab koc Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

GEMA lagu 'Ekspres Rakyat' dendangan Kembara cukup menyerlahkan nostalgia antara pengangkutan awam terawal negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Mendengar saja lagu evergreen itu, pasti terbayang gerabak kereta api menyusuri bendang, tasik dan ladang kelapa sawit menghubungkan pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia.

Hari ini - dengan kepantasan pembangunan sektor pengangkutan awam, mungkin ramai di kalangan kita tidak lagi menaiki kereta api pulang ke desa. Namun, KTMB terus berinovasi meniti arus pemodenan, sekali gus mahu terus dianggap relevan.


Mencipta kelainan, XY - Ikon Lelaki mendekati personaliti ini yang duduk di barisan saf paling depan dalam tren KTMB. Tiga belas tahun mengemudi lokomotif KTMB, sudah pasti banyak kenangan dan warna-warni kehidupan ditempuhi Adnan Osman.

Memikul tanggungjawab sebagai pemandu tren KTMB Antara Bandar, Adnan tidak jemu berulang-alik mengemudi tren dengan pelbagai kisah suka duka dilaluinya.

“Pastinya rasa berdebar-debar sentiasa menghantui biarpun sudah 13 tahun memandu kereta api. Sukar ditepis, perasaan gusar tetap ada sebelum bertolak ke destinasi dituju. Bagaimanapun, bagi saya komitmen terhadap tugas mengatasi segala-galanya,” kata Adnan.



Di dalam cab, suis dan puluhan butang terbentang di depan mata. Semuanya bagai memberi peringatan kepada Adnan supaya komited dalam tugas. Bukan mudah, kepercayaan dan keselamatan penumpang bagai terbeban di bahunya.

Bagi si empunya diri, tiada yang lebih diutamakan selain memastikan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang pada tahap tertinggi. Selain perlu mengejar ketepatan masa ke destinasi, kualiti dan kepuasan penumpang menjadi ukuran prestasi KTMB.

“Mungkin ramai menganggap mudah mengendalikan kereta api kerana sekadar menyusuri laluan sendiri. Hakikatnya, lokomotif dipandu secara manual ke setiap destinasi,” katanya.

Selain bertanggungjawab mengemudi gerabak kargo yang panjangnya melebihi satu kilometer, Adnan tidak terlepas berdepan situasi dipercayai kes orang awam membunuh diri di landasan kereta api.


Bagai tidak mahu mengenang detik cemas itu, Adnan yang juga berkhidmat sebagai anggota sukarelawan askar Wataniah ini mengakui berdepan lapan kejadian seumpamanya.

“Bukan mudah untuk melupakan setiap kejadian itu. Mereka bukan haiwan kerana memiliki akal, tetapi sayang memilih jalan singkat untuk mati. Perasaan itu terbawa-bawa hingga saat menjamu selera,” kata Adnan.

Ikuti luah bicara Adnan...

Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai skop kerjaya anda?

Saya berjawatan pemandu tren KTMB Antara Bandar. Destinasi perjalanan saya merangkumi Kuala Lumpur ke Singapura, Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur ke Ipoh dan perjalanan di sekitar Lembah Klang.

Bagaimana anda memilih menjadi pemandu KTMB?

Memang sejak kecil lagi kereta api sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sekeluarga. Selain ayah yang juga berkhidmat dengan KTMB, rumah saya terletak berhampiran dengan landasan kereta api.

Ini menjadikan gerabak dan landasan kereta api bagai mainan hidup. Tidak sangka sekarang saya meneruskan legasi perjuangan ayah.

Apakah agaknya cabaran mengemudi gerabak besar?

Cabarannya tidaklah banyak dan sukar andai kita fahami tanggungjawab dan komitmen bekerja. Apa yang lebih penting dan menjadi keutamaan adalah soal ketetapan masa. Kita juga perlu pastikan keselamatan penumpang termasuk barangan yang dibawa.

Kita perlu pastikan destinasi yang dituju selamat dan memberi keselesaan kepada semua.

Apa agaknya pengalaman bermakna yang anda tempuhi sepanjang berkhidmat sebagai pemandu KTMB?

Banyak pengalaman ditempuhi sepanjang 13 tahun bersama KTMB. Saya cukup berbangga kerana diberi kepercayaan mengemudi kargo yang menempatkan sebanyak 60 gerabak dari Ipoh ke Kuala Lumpur tahun lalu.

Bukan mudah untuk mengendalikan kereta api sepanjang kira-kira satu kilometer ini... Ini menjadi satu pengalaman berharga buat saya.

Bagaimana pula pengalaman anda dengan penumpang?

Tahun lalu, saya sekali lagi diberi kepercayaan membawa 25 gerabak tren penumpang dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Perasaannya jika hendak saya ceritakan, memang sukar kerana tanggungjawab cukup berat.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sepanjang tempoh berkhidmat tiada lagi sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Apakah syif pekerjaan anda berlarutan sepanjang hari dan memerlukan pemerhatian setiap minit?

Setiap perjalanan tren KTMB membabitkan dua krew iaitu seorang pemandu dan pembantu. Setiap perjalanan tidak berlarutan atau lama kerana ada destinasi transit yang membolehkan pemandu bertukar tugasan. Ini membolehkan kami berehat.

Sukar atau tidak mengendalikan lokomotif?

Tidak sukar jika kita memahami cara mengendalikannya. Mungkin, dalam tempoh sehari pun boleh mahir jika kita benar-benar fahami. Tetapi untuk layak bergelar pemandu, seseorang itu perlu memiliki lesen pengendalian yang mengambil masa selama dua tahun.

Ceritakan serba sedikit mengenai diri anda pula?

Saya seorang yang sederhana dan gemarkan aktiviti sukan. Jika ada waktu terluang, saya suka melancong.

Bagaimana dengan waktu bekerja?

Jadual waktu bekerja tidak menentu dan mengikut tugasan ditetapkan. Ada ketikanya sebelah pagi, tengah hari dan malam.

Apa pandangan anda mengenai pengangkutan nostalgia kereta api?

Apa yang boleh saya katakan, kereta api adalah antara pengangkutan paling selamat dan selesa untuk penumpang. Kereta api terus popular terutama kepada penggemarnya.

Jangan tidak tahu, ada penumpang menaiki kereta api semata-mata kerana asyik dengan bunyi dan keseronokan suasana di dalam koc gerabak. Itulah keistimewaan kereta api (tersenyum).

Secara peribadi, bagaimana anda melihat sambutan masyarakat terhadap perkhidmatan kereta api?

Biarpun pengangkutan sudah makin moden, kereta api terus popular dan relevan sebagai kaedah pengangkutan paling popular.

Anda juga naik kereta api, maksud saya sebagai penumpang pada waktu cuti atau santai?

Saya pernah bercuti menaiki kereta api hingga ke Padang Besar serta Haadyai di Thailand. Hampir saban hari menaiki kereta api, tidaklah terlalu taksub untuk asyik untuk naik kereta api.

Tetapi, dalam setahun kami diberi dua kali tiket percuma ke mana-mana destinasi. Selain itu, kami juga berpeluang menikmati diskaun tiket sebanyak 75 peratus untuk perjalanan tambang kereta api.

Sasaran masa depan?

Semestinya saya mahu yang terbaik, setidak-tidak pun mempunyai kedudukan dan jawatan lebih baik di KTMB... Insya Allah.

Profil

Nama: Adnan Osman

Umur: 38 tahun

Tarikh lahir: 16 Februari 1971

Tempat lahir: Alor Star, Kedah

Tinggi: 167 sentimeter

Berat: 78 kilogram

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...