terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 13, 2009

Sagun kudapan nostalgia



Mazairi Marizan menunjukkan bungkusan sagun berbentuk kon yang ditempah untuk majlis kenduri-kendara. - UTUSAN/Faizal Abu Hassan


KANGAR 12 Jun - Sekiranya ditanya mengenai sagun kepada golongan kanak- kanak atau remaja zaman ini mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah itu sagun?

Populariti sagun yang menjadi makanan tradisional satu ketika dahulu boleh dikatakan semakin dilupakan oleh generasi sekarang kerana kewujudan pelbagai makanan kudapan lain sepeti keropok.

Sekitar era 60-an di sesetengah kawasan, sagun yang berbentuk serbuk dicicah dengan pisang bagi menambahkan keenakkan dan dimakan pada waktu petang.

Bagi golongan kanak-kanak pula, selain menjadi makanan kudapan atau makanan ringan, sagun boleh memberikan kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Apa tidaknya, ketika menikmati sagun kadangkala pasti ada kawan-kawan yang nakal menyemburkan sagun untuk berseloroh.

Ketika menikmati sagun, pantang yang perlu dipatuhi ialah jangan bercakap. Jika tidak, pasti bersembur sagun yang ada di dalam mulut.

Menyedari sagun kian terpinggir, seorang pemuda dari Santan di sini, mengambil peluang untuk mengembalikan nostalgia zaman dahulu dengan mengusahakan sagun secara kormesial.

Mazairi Marizan, 26, berkata, idea untuk membuat sagun secara komersial diperolehi apabila arwah neneknya, Chik Shaari merupakan salah seorang pembuat sagun yang terkenal di kampungnya.

Katanya, berbekalkan resipi turun temurun daripada arwah neneknya itu dia berazam untuk mengembalikan makanan nostalgia tersebut agar kembali diminati ramai.

''Dahulu saya membantu arwah nenek memasak sagun dalam belanga secara tradisional. Ketika itu sagun dibuat hanya untuk dimakan seisi keluarga.

''Sagun ini sangat disukai oleh kanak-kanak kerana ketika memakannya pasti ada perkara lucu terjadi," katanya, di sini hari ini.

Menurut Mazairi, sagun dibuat menggunakan adunan kelapa, tepung beras dan gula yang perlu dimasak dengan teliti.

Perusahaan sagon dimulakan secara serius pada tahun 2001 dengan memasaknya menggunakan belanga yang besar.

Proses memasak sagun memerlukan ketelitian apabila ia perlu digaul sepanjang masa kira-kira 40 minit memasaknya.

''Jika terlalai atau tidak menggaulkan dalam beberapa minit sahaja, sagun ini akan hangit dan bau yang harum tidak dapat diperolehi.

''Pemilihan kelapa juga penting kerana jika yang terlalu tua baunya kurang harum," ujarnya.

Mazairi memberitahu, sebelum ini dia membuat pelbagai kuih-muih untuk dipasarkan tetapi kurang mendapat sambutan.

''Sebelum ini pelbagai kuih tradisional saya usahakan termasuk loyang, baulu, kuih sepit dan pelbagai jenis kekacang tetapi kurang mendapat sambutan.

''Kemudian saya cuba membuat sagon secara kecil-kecilan untuk dijual sekitar Kangar. Ia mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai sehingga saya bertekad untuk menjadikannya sebagai perniagaan komersial," jelas beliau.

Kini, Mazairi menghasilkan antara 40 sehingga 100 kilogram sagun setiap hari mengikut permintaan semasa.

Bagi memenuhi permintaan tersebut, usahawan muda itu menggunakan mesin khas membuat sagun dan dibantu oleh lima pekerja.

Selain di Perlis, Sagun kini dipasarkan ke Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang.

''Sagun juga kini dibungkus dengan elok dan kemas dalam plastik berwarna warni untuk dijadikan sebagai cendera mata.

''Permintaan juga menggalakkan apabila sejak beberapa tahun lalu sagun yang dibungkus dalam bekas berwarna-warni dipilih menggantikan bunga telur ketika kenduri kahwin," jelasnya.

Tambahnya, melalui cara ini diharap populariti sagun akan terus berkekalan sebagai salah satu makanan tradisi sejak berzaman dahulu.

- masa aku kecik dulu kat tempat kami panggei sagon..depa buat boh dalam plastik aiskrim tu..juai sekupang..mak aku pun pernah buat..ada jugak kawan2 yang bawak juai disekolah..memang skrg ni kalo nak cari memang susah la...budak2 sekarang pun tak tau menda makan ni apa..nanti bulan depan aku balik sana aku nak cuba cari sagon..mungkin kat gerai2 kampung ada la kot..bebudak tabuk pun tak kenai apatah lagi buda pekan..

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...