terima kasih buat kalian semua..

Monday, December 28, 2009

Ada alternatif lain kepada penumpang bas ekspres

SELURUH Malaysia dikejutkan lagi dengan kemalangan maut melibatkan bas ekspres di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Seramai 10 orang terkorban dalam nahas terbaru ini.

Pemandu bas dilaporkan terlelap sebelum kejadian dan ini secara jelas memberitahu kita kecuaian pemandu adalah punca kepada kemalangan yang berlaku. Secara peribadi, saya sentiasa meletakkan bas ekspres sebagai pilihan terakhir untuk pulang ke kampung ataupun untuk pergi ke mana-mana dari Kuala Lumpur.

Oleh itu saya menyeru agar para penumpang segera beralih untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana bagi saya, perkhidmatan tren adalah yang selamat dan jarang kita dengar kemalangan maut melibatkan perkhidmatan kereta api.

Dari sudut lain, pihak KTMB perlu memperbaiki dan mempertingkat mutu perkhidmatan mereka sejajar dengan matlamat untuk menggalakkan penumpang menaiki tren seperti ketepatan masa berlepas dan ketibaan, memperbaiki mutu dan perkhidmatan di dalam tren dan sebagainya.

Selain itu, alternatif yang ada adalah dengan menaiki pesawat. Sehingga hari ini, kita mempunyai Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia.

Saya menyeru agar MAS dan AirAsia menawarkan harga yang lebih kompetitif bagi membolehkan para penumpang beralih kepada perkhidmatan pesawat. Seperti yang kita ketahui, perkhidmatan penerbangan di Malaysia adalah yang paling selamat.

Terdapat persepsi yang menyatakan hanya mereka yang 'berada' sahaja mampu menaiki kapal terbang. Namun, persepsi ini perlu diubah segera kerana kita mahu menggalakkan rakyat Malaysia memilih menggunakan kapal terbang sebagai alternatif.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia untuk tidak memilih bas ekspres sebagai cara pengangkutan utama kerana saya yakin dan percaya, kemalangan terbaru ini bukanlah yang terakhir sebaliknya akan ada lagi yang akan menyusul jika syarikat-syarikat bas terus mengabaikan aspek menjaga keselamatan penumpang.

Para pemandu yang cuai wajar dikenakan hukuman maksimum iaitu memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. Nyawa orang yang tidak bersalah tidak boleh digadaikan oleh para pengusaha syarikat bas yang hanya mementingkan keuntungan untuk diri sendiri dan syarikat mereka.

Pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersama-sama Kementerian Pengangkutan perlu mengambil langkah drastik bagi memberi pengajaran kepada syarikat-syarikat bas yang terlibat dengan kemalangan maut.

Amaran semata-mata tidak lagi mampu memberikan kesedaran kepada mereka. Sebaliknya, penalti atau denda yang lebih tinggi perlu dikenakan dan wang penalti ini boleh disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan.

Sebagai kesimpulan, saya menyeru kepada seluruh warga Malaysia agar segera bangun dan berfikir untuk keselamatan diri sendiri dan keluarga. Jangan biarkan pihak pengusaha bas yang tamakkan keuntungan terus mengambil kesempatan atas diri kita dan keluarga kita.

Hanif Mohsein Mohd. Fauzi

Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...