terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 31, 2009

Bila hendak sebat Kartika?


KENAPA ada ‘gencatan’ terhadap pelaksanaan hukuman enam sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno setelah Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai 2009 menjatuhkan hukuman itu atas kesalahan minum arak di tempat awam?

Kini sudah masuk hampir setengah tahun sejak hukuman dijatuhkan tetapi masih belum dilaksanakan.

Dalam keadaan sekarang, bukan sahaja kita sukar untuk mendapat jawapannya, malah agak kabur ke arah siapakah patut ditujukan soalan tersebut, serta daripada siapa hendak ditagih jawapan.

Umum telah dijanjikan hukuman itu akan dilaksanakan selepas bulan Ramadan lalu, sebagai menghormati bulan puasa yang mulia ketika itu. Kini, bukan sahaja bulan puasa telah lama berlalu, hari raya pun sudah disambut, bukan setakat hari raya puasa tetapi raya haji sudah pun lama berlalu.

Ini juga di sebalik penjelasan yang sudah pun dapat diterima umum betapa sebatan bagi pesalah wanita adalah lebih ringan serta berbeza dibandingkan sebatan ke atas pesalah lelaki.

Dan, ini juga di sebalik pengakuan pesalah sendiri – Kartika – betapa beliau sudah insaf serta reda untuk menerima hukuman sebatan itu tanpa mahu merayu terhadap hukuman tersebut.

Justeru hakikat bahawa hukuman tersebut masih belum dilaksanakan sehingga kini telah menimbulkan lebih banyak persoalan.

Pada asasnya, keputusan itu disandarkan kepada undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang menerusi pindaan tahun 1987 kepada Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang menetapkan:

“Sesiapa jua orang Islam dalam mana-mana kedai atau tempat awam, menjual, membeli atau meminum arak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan”.

Kartika bernasib baik kerana hukuman yang boleh dikenakan ke atasnya turut meliputi ‘atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-

duanya’ tetapi hakim memilih untuk sekadar mengenakan ‘denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit’.

Hukuman sebat bagaimanapun, menerusi ‘dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan’, adalah bersifat mandatori yang tidak dapat tidak perlu dijatuhkan ke atasnya.

Kartika sudah pun dijemput serta menaiki van jabatan berkenaan dari rumahnya di Sungai Siput, untuk dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman sebatan. Tiba-tiba ada arahan dia dikembalikan ke pangkuan keluarganya.

Kini, setelah berbulan-bulan keputusan mahkamah dibuat, pelaksanaan enam sebatan itu pun belum dapat dilakukan.

Seharusnya hukuman ke atas Kartika segera dilaksanakan. Melengahkannya hanya terus mengundang persepsi negatif terhadap sistem dan undang-undang syariah kita yang tempiasnya tentu terkena kepada kerajaan yang ada juga.

Kita pula di pihak yang benar, jadi laksanakanlah hukuman sebatan ini. Sama-samalah kita bertanggung jawab ke atasnya dengan berpegang kepada prinsip berani kerana benar.


Kuantan

1 comment:

  1. berani ke kerajaan melaksanakan hukum sebat untuk ummat Islam atas kesalahan minun minuman keras??? Isu ini perlu diberikan perhatian yang maha serius, kalau dilaksanakan nanti maka ramai lah pemimpin dan orang besar yang menggelupur!!!!! semoga kartika diampuni oleh Allah diatas taubat dan keinsafan nya.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...