terima kasih buat kalian semua..

Monday, December 28, 2009

Hospital kerajaan perlu beroperasi tanpa henti


SAYA ingin memberikan cadangan kepada kerajaan iaitu amat perlu dirombak semula jadual kerja atau perkenalkan semula sif-sif kerja bagi kakitangan kerajaan yang bertugas di bahagian hadapan seperti di hospital-hospital besar sama ada di bandar ataupun di luar bandar serta semua klinik kerajaan yang berjauhan dengan hospital daerah.

Ini berikutan daripada beberapa peristiwa yang berlaku terhadap rakan saya dan juga dari pengamatan laporan-laporan akhbar.

Baru-baru ini, seorang ayah kepada rakan rapat saya telah mengalami stroke tahap rendah namun hampir separuh badannya tidak dapat digerakkan.

Jiran-jiran kampung telah menghantar ayahnya ke hospital yang berdekatan iaitu Hospital Kluang, Johor.

Oleh sebab kejadian tersebut berlaku pada petang Jumaat, maka pihak hospital telah menahan ayah rakan saya ini untuk sementara waktu bagi menunggu hari Isnin untuk membuat tindakan selanjutnya iaitu membuat pengimejan (x-ray).

Alasannya, kakitangan yang bertugas (jabatan x-ray) tidak bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.

Kebetulan kesemua anaknya telah pun pulang dan berjumpa doktor yang bertugas bagi mendapatkan keputusan rawatan awal, namun doktor kerajaan tersebut tidak dapat membuat apa jua keputusan selagi tidak mendapat laporan x-ray dan terpaksa menunggu hari Isnin.

Atas nasihat doktor tersebut, keluarga telah membawa pesakit ke hospital swasta yang berdekatan bagi mendapat rawatan segera.

Hasil laporan x-ray, doktor menyatakan telah berlaku pembekuan darah di dalam otak dan masih sempat jika dibuat tindakan segera kerana masih baru.

Alhamdulillah, setelah beberapa tindakan segera daripada doktor swasta, maka tidak sampai tiga minggu ayah rakan saya dapat menggerakkan tangan serta sudah boleh bangun.

Jika tidak membuat tindakan segera, saya yakin akan berlaku kompilasi yang lebih teruk kerana doktor bertugas perlu mendapatkan laporan x-ray terlebih dahulu sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Apa yang ingin saya kongsikan daripada peristiwa itu ialah jika rakyat yang mengalami sakit tersebut adalah orang miskin atau orang kurang berkemampuan maka kemungkinan pesakit menghadapi masalah lebih teruk jika dia jatuh sakit pada hari cuti umum, sedangkan pesakit perlu diberi rawatan segera.

Oleh itu, saya merayu kepada pihak Kementerian Kesihatan supaya melakukan perubahan segera bagi memastikan semua jabatan berfungsi setiap masa.

Janganlah kerana ada seorang kakitangannya bercuti maka lumpuh operasi untuk menyelamatkan nyawa rakyat yang kurang kemampuan atau miskin.

Kemudahan-kemudahan hospital kerajaan yang berada di luar bandar haruslah dipertingkatkan dengan segera bagi keselesaan semua rakyat.

Masalah ini juga sering berlaku kepada pesakit jantung di sebuah hospital kerajaan di ibu negara. Jika mereka bukan orang kenamaan serta tidak membuat temu janji awal, sukar mereka mendapat tempat, sedangkan pesakit tersebut perlukan rawatan segera.

Suasana begini perlu diubah dan pastikan semua rakyat dilayan dengan sama rata dan adil.

MOHAMAD GHAZALI ZAINAL ABIDIN

Taman Nirwana, Ampang

1. perkara yang tidak boleh diswasta dan diniagakan: pendidikan dan kesihatan

2. nanti hanya org kaya saja yang dapat kemudahan

3. apa perasaan jika ianya berlaku pada keluarga anda

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...