terima kasih buat kalian semua..

Monday, December 21, 2009

Hutang..bila member makan member..


ADA wang abang sayang, tak ada wang abang pun melayang! Itulah kata-kata yang sering kedengaran apabila dikaitkan dengan kehidupan wanita 'si pisau cukur' yang gemar mengikis harta dan wang ringgit lelaki berada.

Bukan senang hendak senang, begitulah ibaratnya hidup. Terperangkap di dalam masalah hutang dan tidak dapat keluar daripada cengkamannya merupakan bencana yang amat besar dalam hidup seseorang.

"Berhutang jangan, memberi hutang pun jangan," itu pesanan Shakespeare.

Tetapi dalam beberapa perkara dan hal kita perlu berhutang. Tidak dapat dielakkan terutama ketika dihimpit kesusahan.

Tentu anda tertanya-tanya kenapa saya mengaitkan isu hutang pada minggu ini. Sebabnya sebahagian dari kita perlu berhutang untuk terus hidup. Tidak kira apa jenis hutang sekalipun. Tapi awas, jangan terperangkap dalam hutang sebagai penjamin. Akibatnya anda tidak akan lena tidur.

Apa kata kita ikuti kisah yang dikirimkan oleh seorang lelaki yang menamakan dirinya Karim (bukan nama sebenar) kepada saya untuk berkongsi pengalamannya menjadi penjamin kepada seorang kenalan. Begini kisah Karim.

"Saya telah menjamin seorang rakan yang saya namakan Ali (bukan nama sebenar)yang memang dalam kesusahan. Di peringkat memujuk, memang janjinya amat manis. Dia berjanji akan melangsaikan semua hutang-hutang tersebut mengikut perjanjian dengan pihak bank dalam tempoh yang ditetapkan.

"Saya amat terharu apabila Ali sanggup bersumpah di hadapan saya untuk mengotakan janjinya itu sebaik dia menerima cek pinjaman tersebut.

"Malangnya apa yang dia kata tidak dikotanya. Dia hilang entah ke mana setelah enam bulan pinjaman diperoleh.

"Masuk bulan ke tujuh saya mula menerima panggilan daripada bank menyatakan Ali tidak membayar ansuran seperti yang ditetapkan.

"Saya mula susah hati. Saya mencarinya di mana-mana tetapi tidak dapat dikesan. Di tempat kerja lamanya dia dimaklumkan sudah berhenti kerja. Ke alamat rumahnya diberitahu oleh jiran dia sudah berpindah.

"Dalam tempoh itu keadaan saya kecoh seketika. Fikiran terganggu, mana tidaknya jika dia tidak terus membayar ansurannya saya terpaksa mengorbankan wang saya sebanyak RM680 sebulan untuk membayarnya.

"Bulan berganti tahun hutangnya juga tidak dilangsaikan. Puas saya berusaha dan akhirnya dengan bantuan beberapa orang rakan yang bersimpati saya telah dimaklumkan ada seorang kenalan akrab Ali yang tahu di mana dia berada.

"Saya pun bertemu dengan empunya diri, tetapi saya kecewa kerana dia enggan membantu saya. Alasannya dia tidak mahu campur urusan Ali.

"Saya amat kecewa kerana lelaki itu sanggup bersubahat dengan Ali. Hari ini mungkin anda terlepas, tapi di akhirat habuan pasti menunggu.

"Amat memalukan sekali, lelaki yang cukup sifat dan berpendidikan seperti Ali tidak boleh berfikir secara waras, sedangkan orang luar yang datang mencari rezeki di tempat kita hidup mewah dengan pendapatan yang halal.

"Setelah dua tahun dikejar bank dan letih mendapat surat amaran akhirnya saya bertindak membayar hutang tersebut kerana tidak tahan diganggu. Mana lagi isteri asyik membebel setiap kali surat amaran sampai ke rumah.

"Mujur berkat kesabaran saya telah selamat melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh yang singkat. Dalam hati saya berdoa agar satu hari Ali akan sedar akan perbuatannya menganiaya saya.

"Doa saya telah didengar oleh Allah SWT tapi dalam bentuk yang di luar kehendak saya. Khabar daripada seorang kenalan yang saya terima mengatakan Ali telah meninggal dunia kerana sakit kanser hati. Dia menderita sakit itu hampir enam bulan.

"Innalillah…saya terkedu seketika. Jika inilah ujian-Mu kepadaku, aku reda. Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan bersimpati dengan nasib Ali. Saya juga mengampunkan segala dosa Ali dan menghalalkan hutangnya.

"Saya juga turut kesal kerana sehingga ke saat akhir, saya tidak dapat berjumpa dengan Ali. Tapi saya sudah melupakan semua yang berlaku itu.

"Saya tidak ada prasangka buruk terhadap Ali dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir dan secara kebetulan. Saya amat insaf akan kejadian ini. Saya harap kisah saya ini menjadi teladan kepada orang lain yang berhutang supaya mengambil tanggungjawab untuk melangsaikan hutang mereka.

"Bersimpatilah dengan rakan-rakan yang sanggup mengorbankan kepentingan lain untuk membantu anda. Fikirkan juga masa depan kawan-kawan yang juga mempunyai tanggungjawab dan keluarga.

"Jika ingin berhutang, fkir dulu risikonya, jangan sembarangan berhutang kerana mengikut nafsu.

"Sebaliknya, insya-Allah Impian dapat dicapai apabila kita ikhlas dalam semua urusan dunia dan akhirat," demikian Karim menutup ceritanya.

Ukurlah baju di badan sendiri, itulah pepatah yang saya rasa sesuai untuk dijadikan panduan sebelum kita melakukan sesuatu.

Sematkan azam untuk melangsaikan hutang sekiranya ada tanpa menyusahkan orang yang pernah membantu kita ketika dalam kesusahan.

Seperti anda, juga seorang insan yang begitu kerdil bukan sahaja di hadapan Allah, juga di dalam kumpulan sesama manusia.

Tapi saya menyeru diri saya dan anda juga supaya yakin dengan izin-Nya untuk memperoleh sesuatu yang lebih baik dalam meniti kehidupan yang berliku pada hari muka.

Pesanan saya, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senanglah kemudian.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...