terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 31, 2009

Jawatankuasa Rayuan KWSP lulus 65 peratus kes rayuan sepanjang 2009

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merujuk kepada surat ‘Pedang Bertuah’ dan ‘Rakyat Marhain’ berhubung Pengeluaran Kesihatan KWSP seperti yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 29 dan 30 Disember 2009.

Untuk makluman penulis, hasil pertimbangan dan budi bicara Jawatankuasa Rayuan KWSP, sebanyak 65 peratus atau 362 kes rayuan daripada 557 kes rayuan yang diterima dalam tahun 2009 telah diluluskan.

Keputusan ini jelas menunjukkan keprihatinan KWSP untuk membantu ahli membiayai penyakit kritikal yang dihidapi.

Oleh itu, dakwaan penulis bahawa Jawatankuasa Rayuan KWSP hanya bertindak secara formaliti dan tidak menggunakan budi bicara dalam menimbang rayuan ahli adalah tidak benar dan tidak berasas.

Fungsi utama Jawatankuasa Rayuan KWSP adalah untuk menimbangkan semula permohonan Pengeluaran Kesihatan yang telah ditolak di peringkat kaunter perkhidmatan sewaktu ahli memohon untuk membuat pengeluaran kerana penyakit yang dihidapi tidak termasuk dalam penyakit kritikal yang diluluskan oleh Lembaga KWSP.

Jawatankuasa Rayuan dalam menerima setiap permohonan rayuan pengeluaran kesihatan akan menyemak secara terperinci rayuan ahli berdasarkan laporan perubatan yang dikemukakan.

Ini termasuk mengambil kira kesan penyakit tersebut kepada ahli walaupun penyakit ini tidak tersenarai dalam jenis penyakit yang diluluskan. Keputusan akan dibuat berdasarkan merit sesuatu permohonan berkenaan.

Di sini perlu ditegaskan juga bahawa KWSP dalam menimbangkan setiap rayuan yang diterima perlu bertindak dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelakkan ahli daripada mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kemudahan yang disediakan.

Tambahan pula, KWSP telah mengesan beberapa kes percubaan penipuan pengeluaran kesihatan oleh ahli yang tidak bertanggungjawab.

Peraturan dan prosedur yang ditetapkan ini sebenarnya untuk melindungi kebajikan ahli dalam jangka panjang selaras dengan fungsi utama KWSP sebagai dana persaraan yang memberikan jaminan asas kewangan semasa ahli bersara kelak.


Pengurus Perhubungan Media
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...