terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, December 30, 2009

KWSP perlu perubahan minda laksana tugas


SAYA amat tertarik dengan luahan oleh Pencarum Kecewa dan maklum balas daripada pihak KWSP serta ulasan Pedang Bertuah berkenaan dengan prosedur pengeluaran KWSP untuk tujuan perubatan seperti yang tersiar dalam ruangan ini masing-masing pada 21 Disember, 25 Disember dan 29 Disember 2009.

Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut, ingin saya tegaskan, dana yang terkumpul berbillion-billion ringgit di dalam KWSP adalah wang pencarum sepenuhnya. Simpanan ini merupakan hasil titik peluh mereka. Memang benar, wang tersebut adalah simpanan untuk hari tua mereka. Inilah yang sering dilaung-laungkan oleh pihak tertinggi pengurusan KWSP dan tiada siapa pun menafikannya.

Namun begitu, KWSP tidak seharusnya bersikap jumud. Hanya al-Quran sahaja yang tidak boleh diubah serta dipinda. Janganlah kita sempitkan hati dan minda kita. Ada kalanya akal fikiran kurniaan Allah perlu digunakan sebaik-baiknya dalam hal-hal yang memerlukan kepada budi bicara, terutamanya perkara yang melibatkan soal hidup dan mati.

Jumud, kaku dan beku. Itulah kesimpulan saya terhadap Jawatankuasa Rayuan KWSP yang menolak permohonan Pencarum Kecewa serta Pedang Bertuah, dan mungkin ramai lagi di luar sana yang tidak mampu mereka luahkan di sini, untuk mengeluarkan simpanan mereka bagi tujuan perubatan ibu bapa mereka.

Benarkah hanya terdapat 13 penyakit kritikal di dunia ini? Apakah takrifan penyakit kritikal? Mengapakah sesetengah syarikat insurans menyenaraikan sebanyak 39 penyakit kritikal dan bukannya 13 ?

Sekiranya penyakit lain yang tidak tersenarai tetapi boleh mengancam nyawa pesakit terutama warga tua, apakah ia tidak kritikal? Sepatutnya inilah yang berlegar-legar di kepala Jawatankuasa Rayuan KWSP. Jadilah pemikir dan pemudah cara kepada rakyat dan bukannya hanya menjalankan tugas secara stereotype.

Wahai kakitangan kerajaan sekalian, terutamanya KWSP, institusi agama, Lembaga Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya, bangunlah! Bangkitlah dan usah terus terbuai dengan kehidupan selesa sebagai penjawat awam. Keluarlah dari zon selesa.

Masa untuk bersantai telah berlalu. Sekarang masa untuk berkhidmat kepada rakyat. Mulakan kerja anda dengan berfikir: "Apakah yang terbaik yang boleh saya lakukan kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan saya?" Janganlah terlalu terikat dengan prosedur kerja sehingga membataskan ruang perkhidmatan kita kepada rakyat jelata Saya cukup yakin inilah juga hasrat murni para pemimpin negara, terutamanya Perdana Menteri kita.

Kepada pihak kerajaan, sekiranya benar ingin mendengar denyut nadi rakyat, maka inilah dia denyut nadi rakyat yang sebenarnya. Ubahlah pemikiran dan cara kerja para penjawat awam agar kerajaan yang ada pada hari ini akan terus dikenang sebagai kerajaan yang benar-benar mesra rakyat dan prihatin dengan masalah yang mereka hadapi.

RAKYAT MARHAIN

Dungun, Terengganu

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...