terima kasih buat kalian semua..

Thursday, December 31, 2009

Maksiat di rumah sendiri


Anak OKU bebas bawa masuk teman lelaki ke kediaman

MARANG: Ibu bapa mereka orang kurang upaya (OKU), tetapi kekurangan itu tidak sedikitpun membangkitkan rasa insaf kepada anak, sebaliknya mereka mengambil kesempatan di atas ketidakupayaan keluarga itu melakukan maksiat di rumah.

Kegiatan tidak bermoral itu berlaku di perkampungan Taman Rahmat, Pulau Kerengga di sini, yang menempatkan golongan OKU penglihatan, fizikal dan mental, apabila kebanyakan anak mereka menjadi orang yang ketagih pada kehidupan sosial hingga melupakan kecacatan dialami ibu bapa.


Lebih menyedihkan, kegiatan maksiat yang berleluasa di kawasan itu menyebabkan ramai anak golongan OKU di situ terlanjur bersama teman lelaki hingga melahirkan anak luar nikah.

Seorang gadis yang juga anak OKU di situ dikenali sebagai Liza yang ayahnya sudah meninggal dunia, berkata dia mengambil kesempatan di atas kecacatan ibunya yang sakit mental untuk membawa teman lelaki masuk ke dalam rumah, tetapi ditangkap khalwat sebelum sempat memadu kasih.

Dia yang sudah berkahwin dengan teman lelakinya itu berkata, kecacatan ibunya membuatkan gaya hidupnya sedikit bebas, namun tindakan pantas bapa saudaranya memaklumkan kegiatannya kepada pihak berkuasa menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke kancah maksiat.

TAMAN Rahmat, Pulau Kerengga yang menempatkan OKU penglihatan, fizikal dan mental.

“Nasib saya lebih baik berbanding adik yang kini berusia 20 tahun kerana dia juga terjebak dengan gejala sama sehingga melahirkan dua anak luar nikah. Saya akui pergaulan bebas serta mengambil kesempatan ke atas kekurangan ibu bapa OKU menyebabkan anak bebas melakukan perbuatan keji itu banyak terjadi di Taman Rahmat ini,” katanya.

“Saya tidak nafikan, ramai anak remaja di sini bebas keluar masuk ke rumah teman lelaki dan wanita masing-masing untuk melampiaskan nafsu. Kawan saya yang mempunyai ibu bapa cacat penglihatan, sering membawa teman lelakinya masuk ke rumah ketika ibu bapa keluar mengemis setiap hari,” katanya.

Liza berkata, dua bulan lalu adiknya sudah berkahwin dengan teman lelakinya selepas terlanjur melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan sehingga memperoleh dua anak.

“Tetapi saya sedih kerana dia (adik) meletakkan beban pada mak untuk menjaga anaknya, kerana suaminya tidak bekerja. Bayangkan mak saya yang cacat mental, terpaksa membela cucu dengan menggunakan duit elaun RM300,” katanya.

Terdahulu, beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memberi kaunseling kepada beberapa remaja dan golongan bermasalah terbabit, selain memberi dorongan dan motivasi supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

Seorang warga emas berusia 60 tahun, Sarinah (bukan nama sebenar) yang cacat penglihatan dan mencari rezeki dengan mengemis sejak 20 tahun lalu mengaku dia menjalin hubungan dengan pemandu kereta yang membawanya pergi meminta sedekah, sedangkan suaminya di rumah.

“Saya sering pulang lewat malam sehingga jam 3 pagi bersama pemandu itu dan tidak menghiraukan suami dan anak. Saya pun tidak tahu sampai bila saya harus berkelakuan begini, hanya masa yang akan menentukan,” kata ibu kepada tiga orang anak itu tanpa rasa bersalah.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Noor Hayati Zaman, berkata pihaknya maklum mengenai gejala sosial di perkampungan berkenaan dan sering mengambil tindakan, termasuk mengatur pelbagai program di perkampungan terbabit seperti kelas agama, kaunseling dan pendidikan bagi menerapkan ilmu berguna kepada penduduk di taman perumahan itu.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...