terima kasih buat kalian semua..

Friday, December 18, 2009

Menjamu mee udang Kuala Sepetang


BAUNYA sahaja sudah membuatkan anda terliur apatah lagi apabila melihat berekor-ekor udang terhidang di depan mata. Bagi penggemar udang, apa kata kali ini anda mengunjungi gerai Mak Jah di Kuala Sepetang, Taiping, Perak, untuk menikmati kesegaran serta keenakan mi udang yang disediakan.

Menjamu mi ini diibaratkan anda 'meratah' udang kerana sepinggan juadah ini dipenuhi dengan udang dan minya hanya sedikit.

Lazimnya untuk mi udang, keenakannya bukan sahaja terletak pada kuahnya tetapi ia sebenarnya bergantung kepada jenis udang yang disajikan.

Menurut salah seorang pemilik gerai Mi Udang Mak Jah, Sabri Sidan, 40, gerainya hanya menyajikan udang segar dan yang menjadikannya istimewa ialah kemanisan kuah yang terhasil daripada air rebusan udang berkenaan.

Menawarkan dua jenis udang, pelanggan boleh memesan mi udang special yang berharga RM11 ataupun mi udang biasa, RM7.

Jelas Sabri, yang membezakan kedua-dua jenis udang tersebut ialah untuk mi udang special, udang yang disediakan adalah bersaiz XL dan mi udang biasa menggunakan udang bersaiz sederhana.

''Resipi yang kami gunakan ialah resipi turun temurun dan untuk kepuasan pelanggan, kami menggunakan 100 peratus udang segar.

''Lazimnya untuk mi udang special, kami meletakkan lebih kurang tujuh ekor udang dalam satu pinggan, manakala untuk mi udang biasa lapan ekor.

''Kuahnya pula seakan-akan kuah mi bandung tetapi ia tidak pedas dan sesuai untuk kanak-kanak, '' ujarnya ketika ditemui.

Terletak di Kampung Menteri berdekatan dewan orang ramai, Mi Udang Mak Jah turut mempunyai keistimewaannya sendiri apabila mi yang dihidangkan adalah buatan sendiri.

Menurut Sabri, gerainya menyajikan mi yang dibuat sendiri oleh kakak iparnya dan itu secara tidak langsung membezakannya daripada gerai-gerai yang lain.

Tidak dinafikan, sepanjang jalan Kuala Sepetang anda akan melihat lebih daripada 10 buah gerai yang menjual mi udang tetapi ia terserah kepada anda untuk memilih mana satu gerai yang menjadi pilihan hati.

Bagi mereka yang datang dari arah Kuala Lumpur, anda boleh keluar melalui susur keluar tol Changkat Jering manakala mereka dari arah utara boleh keluar melalui susur keluar tol Taiping Utara.

Dari kedua-dua tol ini, ia hanya mengambil masa lebih kurang 15 hingga 20 minit untuk sampai ke Kuala Sepetang.

Tidak susah untuk mencari gerai Mi Udang Mak Jah kerana terdapat arca kepala bot diletakkan sebagai satu mercu tanda di hadapan kedai selain menyediakan pergola untuk pengunjung yang ingin menikmati suasana taman.

Jika dahulu Kuala Sepetang terkenal dengan jalan kereta api yang pertama tetapi kini ia bukan sahaja menjadi sejarah malah sudah menjadi tempat pelancongan yang terkenal dengan keindahan paya bakau tercantik di dunia serta keenakan mi udang.

Selain mi udang, gerai Mi Udang Mak Jah turut menawarkan pelbagai menu seperti nasi goreng, kuetiau goreng, mi goreng, udang goreng tepung, udang sambal dan udang kunyit.

Antara jenis-jenis minuman yang disediakan ialah panas dan sejuk serta air buah-buahan.

Apapun demi kepuasan pelanggan, Sabri mementingkan kualiti dalam menyajikan mi udangnya kerana mahu pelanggan-pelanggan mengingati selain berkunjung ke gerainya untuk menikmati sepinggan lagi mi udang.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...