terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, December 29, 2009

Merokok sukar dibendung selagi bekalan meluas

PENETAPAN harga minimum rokok yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini dilihat sebagai satu lagi usaha serius kerajaan untuk membendung tabiat yang merosakkan itu di kalangan masyarakat negara ini. Dengan pelaksanaan peraturan itu, semua syarikat rokok dikehendaki menjual produk berkenaan pada harga lebih tinggi daripada paras minimum ditetapkan iaitu 32 sen bagi setiap batang. Serentak itu, peraturan Larangan Promosi Harga juga akan dikuatkuasakan bagi memastikan harga minimum itu sentiasa dipatuhi dan kerajaan mengarahkan semua syarikat rokok mengisytiharkan senarai harga jualan produk mereka sebelum 15 Januari. Pihak yang ingkar boleh didenda hingga RM10,000 dan dipenjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selepas sekian lama kerajaan berusaha menangani tabiat merokok, mekanisme harga minimum dilihat sebagai antara langkah paling bermakna ke arah itu. Dulu kita mempunyai kempen 'Tak Nak' tetapi ia kini semakin sepi. Gambar ngeri akibat merokok yang wajib dicetak pada kotak rokok juga kini sudah tidak lagi kelihatan kerana perokok membeli sarung menutup imej itu. Walaupun belum tentu harga minimum akan mengurangkan jumlah perokok, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebolehcapaian dan kanak-kanak, remaja dan mereka yang berpendapatan rendah terhadap produk berbahaya itu. Lebih penting lagi ialah ia mampu membendung aktiviti promosi rokok menerusi pemberian diskaun berlebihan.

Selain itu, cadangan kerajaan menguatkuasakan peraturan supaya rokok hanya boleh dijual dalam pek yang mengandungi minimum 20 batang, menjelang pertengahan tahun ini juga harus disegerakan. Langkah itu penting untuk menjamin keberkesanan mekanisme harga minimum yang dilaksanakan. Pada pihak pengeluar pula, kita tentu berharap mereka menunjukkan komitmen kepada usaha itu dengan tidak menjadikan harga minimum terbabit sebagai alat untuk mengadakan persaingan harga bagi menarik pembeli kepada rokok premium mereka, yang kini dijual pada harga jauh lebih tinggi.

Dalam keghairahan kerajaan membendung tabiat merokok dengan memberi tekanan kepada pembeli dan pengeluar, usaha juga harus ditumpukan kepada penyeludupan rokok. Sejak sekian lama, hakikat bahawa kenaikan harga rokok di pasaran akan menyumbang kepada pertambahan kemasukan rokok seludup tidak dapat disangkal lagi. Sama ada keretek atau rokok putih, kemasukannya menerusi pelbagai saluran haram ke negara ini semakin menjadi-jadi. Kita pastinya tidak mahu pelbagai langkah yang diambil dalam usaha mengekang tabiat itu 'disabotaj' kemasukan rokok seludup kerana ia akan hanya menyebabkan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...