terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, December 29, 2009

Murid istimewa tidak wajar diasing

SAYA tertarik dengan surat Ibu, Alor Setar, Kedah bertajuk 'Rombak sistem pendidikan anak istimewa', dalam ruangan ini kelmarin dan ingin memberi sedikit pandangan serta pengalaman ketika bertugas sebagai guru khas di Malaysia dan kini di Amerika Syarikat.

Pada mulanya, guru khas untuk pelajar buta dan pekak diberi elaun khas kerana mereka mempunyai kemahiran Braille dan bahasa isyarat, kemudian semua guru khas masalah pembelajaran dan lain diberi elaun khas. Namun persoalannya, apakah mereka mempunyai kemahiran khas seperti membantu murid berkerusi roda, mengangkat dan menyalin kanak-kanak istimewa cerebral palsy, menggunakan peralatan terapi untuk membantu mereka?

Saya bersetuju dengan cadangan beliau supaya sistem pendidikan anak istimewa dirombak. Di Amerika Syarikat, murid istimewa dihantar ke sekolah awam bersama murid biasa. Mereka dikategori mengikut kecacatan dan kelayakan IQ.

Bagi yang mempunyai kecacatan fizikal teruk, tidak dapat bertutur dan mengurus diri di kategori EN2.

Bagi yang tiada masalah fizikal, IQ rendah dan tidak dapat mengurus diri dikategori sebagai EN 1 dan kumpulan murid ada masalah tingkah laku serta autisme.

Murid ini ditempatkan dalam satu kelas khas mengikut kategori masing-masing. Bagi yang bermasalah pembelajaran atau penglihatan ditempatkan di kelas biasa dengan dibantu guru khas. Menerusi sistem integrasi seperti ini murid istimewa tidak rasa terasing dan murid biasa juga tidak memandang rendah kepada mereka.

Kebanyakan murid EN1 dan autisme seperti murid lain bersekolah pada usia empat tahun, tidak dapat mengurus diri tetapi apabila bersekolah, mereka pada peringkat awal dilatih mengurus diri seperti ke bilik air.

Apa yang saya perhatikan di sini, sama ada murid biasa atau istimewa, guru membawa satu kelas murid ke bilik air contohnya, jam 9.30 pagi. Ia satu daripada cara mendisiplin murid ke bilik air.

Di Amerika, summer school diadakan bagi murid istimewa dan yang pencapaian akademik rendah untuk membantu mengurangkan jurang perbezaan antara mereka.

Ketika saya bertugas di summer school yang lalu, saya dapati ramai murid istimewa ini masih memakai lampin pakai buang. Itu tidak dijadikan satu isu. Pada masa tertentu mereka dibawa ke bilik air dan latih mengurus diri selain pembelajaran akademik. Jika setiap hari dilatih ia akan menjadi kebiasaan.

Oleh itu, murid istimewa tidak perlu dipisahkan dengan murid biasa atau menempatkan mereka di Pusat Dalam Komuniti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

BEKAS GURU KHAS MALAYSIA,
School Dist. U-46,
Amerika Syarikat.


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...