terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, December 30, 2009

Selaraskan cukai, PCB dan zakat sekarang


Di dalam mengelolakan ruangan Bicara Zakat di sebuah akhbar, antara persoalan yang pernah saya kupas ialah mengenai pelarasan zakat dan cukai yang akan dinikmati oleh seseorang individu Muslim yang menunaikan zakat.

Soalannya mudah sahaja, misalnya sejauhmanakah seseorang itu berhak mendapat rebat atau pengurangan cukai implikasi zakat yang ditunaikan?

Sebahagian daripada jumlah cukai atau sepenuhnya atau ada peratusan tertentu yang layak? Bagaimana pula mekanisme pelarasan dilaksanakan?

Apakah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf pelarasan ini dan bagaimana mereka tahu seseorang itu sudah berzakat? Berapa tahun kebelakang atau tempoh masa yang diizinkan? Dan banyak lagi soalan yang konotasinya hanya satu: Saya menginginkan rebat ke atas cukai saya, hasil zakat yang saya lunaskan.

Sebelum saya mengupas isu ini secara lebih rinci, berikut dipaparkan petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): "Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis."

Baiklah, selanjutnya sejauh manakah seseorang berhak mendapatkan rebat ke atas cukainya? Dalam hal ini, sesuatu yang wajib diketahui ialah, pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan. Ia bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2008, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

Tiada istilah boleh patah-balik atau back-ward bagi mengira zakat yang telah dilunasi pada tahun-tahun terdahulu. Oleh itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar; bukannya tarikh haul.

Jika tarikh haul seseorang sudah berlalu, katakanlah seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2007, maka di atas resit akan tertulis 'haul zakat 2007'; namun ia sebenarnya hanya akan dikira untuk rebat pada tahun 2008 juga.

Seterusnya, berapakah jumlah yang diizinkan oleh pihak LHDN untuk dibuat potongan atau rebat? Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak disebutkan jumlah amaun yang tertentu atau batas amaun yang tertentu. Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama - dalam konteks ini ialah zakat - maka ia masih dikira sah untuk memperoleh rebat ke atas cukai.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja, maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu adalah lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).

Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijak menggunakan keluwesan akta yang meletakkan 'bayaran wajib' bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja. Mereka boleh misalnya menunaikan zakat emas, zakat saham, zakat wang simpanan KWSP, hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi 'potongan zakat pendapatan' semasa dan ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Selain itu, apabila seseorang itu sudah menunaikan kewajipan zakat maka mereka harus menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan.

Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.

Contoh rebat ke atas cukai pendapatan Encik X pada tahun 2008:

Cukai patut dibayar RM5,000

Zakat pendapatan RM1,200

Zakat wang simpanan RM1,800

Qada Zakat RM1,000

Baki cukai perlu dibayar RM1,000

Sekarang, mari kita lihat pula apakah kesan pelarasan zakat dan cukai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut.

Keputusan ini memberikan implikasi yang sangat besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat khususnya menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, maka mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

Contoh 1: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Y bagi Januari 2009

PCB bagi Januari 2009 RM100

SPG bagi Januari 2009 RM70

Baki PCB yang perlu dipotong RM30

Contoh 2: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Z bagi Februari 2009

PCB bagi Februari 2009 RM55

SPG bagi Februari 2009 RM60

Baki PCB yang perlu dipotong RM00

Apa yang lebih menarik, dalam kes Contoh 2 di atas, lebihan zakat (SPG) sebanyak RM5 berhak di bawa ke bulan hadapan. Bagaimanapun, pelarasan sedemikian hanya tertakluk kepada tahun semasa sahaja, yakni tidak boleh dibawa sehingga melewati ke tahun berikutnya.

Dalam kes pelarasan di antara SPG dan PCB ini, para pekerja Muslim berhak memohon pelarasan agar dilakukan oleh pihak majikan mereka, sama ada majikan awam ataupun swasta. Pun begitu, ia masih tertakluk kepada kesediaan majikan itu sendiri.

Pelaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperoleh pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.

Kesimpulannya, pindaan pelarasan di atas, hakikatnya adalah satu rahmat kepada orang Islam khususnya mereka yang memang terlibat dengan cukai pendapatan. Ini kerana, ia memberikan lebih keluwesan kepada umat Islam dalam mematuhi peraturan agama Islam, iaitu berzakat.

Apa yang lebih penting, pematuhan syariat Allah SWT akan terlaksana tanpa perlu menidakkan undang-undang negara. Inilah namanya, syariat Allah dijunjung, undang-undang negara dikelek, sama-sama beroleh untung, demi menjadi warga negara yang baik. Wallahu a'lam.

Oleh Hamizul Abdul Hamid
Pegawai Dakwah Pena, Lembaga Zakat Selangor (LZS)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...