terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, December 29, 2009

Syor Panel Rayuan KWSP tidak perlu diwujudkan

SAYA ingin merujuk luahan Pencarum Kecewa (21 Disember 2009) dan jawapan balas daripada KWSP bertarikh 25 Disember 2009.

KWSP memaklumkan bahawa permohonan Pencarum Kecewa ditolak kerana penyakit ibu beliau tidak termasuk dalam senarai 13 penyakit kritikal yang diluluskan KWSP.

Persoalan saya di sini, apakah gunanya KWSP mempunyai Panel Rayuan kalau tugasnya sekadar untuk memenuhi formaliti dan mengesahkan balik bahawa penyakit tersebut memang tidak tersenarai dalam 13 jenis penyakit kritikal yang disenaraikan?

Sepatutnya Panel Rayuan berfungsi memberi pertimbangan dan penilaian atas dasar kemanusiaan berhubung penyakit-penyakit yang tidak tersenarai, bukan sekadar mengesahkan keputusan asal menolak permohonan tersebut yang dibuat oleh pegawai. Kalau 13 penyakit tersebut adalah muktamad, dan permohonan mesti meliputi kategori 13 penyakit itu sahaja, maka tidak perlulah ada Panel Rayuan kerana apa juga kes keputusannya tetap sama, ditolak!

Jelas Panel Rayuan hanya sebagai badan mengesahkan keputusan terdahulu, bukan badan yang menilai sebarang keputusan sekiranya perlu memberi pengecualian terhadap penyakit-penyakit lain yang melibatkan hidup mati, walaupun tidak tersenarai sebagai kritikal.

Saya bersimpati dengan Pencarum Kecewa kerana saya pernah mengalami situasi yang sama pada 2005 apabila ibu saya dimasukkan ke Hospital kerana usus besar bocor dan batu di hempedu.

Situasi ketika itu memerlukan pembedahan kerana jangkitan yang serius dan menyebabkan ibu saya kekuningan.

Seperti juga Pencarum Kecewa, permohonan telah dibuat dan rayuan juga kononnya telah dipertimbangkan. Saya juga telah menulis luahan saya dalam ruangan ini dan KWSP telah menjawab luahan tersebut dalam ruangan ini juga dengan skrip yang sama.

Saya mencadangkan tidak perlulah mewujudkan Panel Rayuan kerana ia hanyalah satu formaliti dan memberi harapan palsu kepada pemohon.

Kesimpulan saya secara peribadi, nampaknya hanya 13 penyakit yang tersenarai itu sahaja merupakan penyakit kritikal di dunia ini.

Sebarang penyakit lain, walau pun melibatkan hidup mati, adalah tidak penting atau tidak kritikal selagi ia tidak termasuk dalam senarai penyakit kritikal KWSP.

PEDANG BERTUAH

Shah Alam, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...