terima kasih buat kalian semua..

Monday, December 28, 2009

Taiping Kebanggaanku


Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Taiping, pasti menyedari tentang ciri-ciri dan keunikan di bandar ini.

Taiping yang juga dikenali sebagai bandar warisan dan bersejarah, pernah menjadi ibu negeri Perak sebelum bandar raya Ipoh.

Taiping bermaksud 'aman' dalam bahasa Hakka dan dulunya dikenali sebagai Klian Pauh. Bandar ini menjadi tumpuan setelah penemuan bijih timah oleh Long Jaafar.

Sebelum kedatangan British, daerah ini dikenali sebagai jajahan Larut. Ia ditadbir oleh Long Jaafar yang diberi kuasa oleh Sultan Perak.

Ketika penjajahan British dan setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 1874, Larut ditadbir oleh Kapten Speedy sebagai Penolong Residen British.

Akibat kaya dengan bijih timah, Taiping menjadi tumpuan pendatang China sehingga mencetuskan pertelingkahan dua kumpulan - Ghee Hin dan Hai San.

Menyedari kedudukannya sebagai sumber pendapatan utama ketika itu, British telah membangunkan Taiping menjadi sebuah bandar pentadbiran yang serba lengkap.

Namun pada 1937, kedudukannya sebagai ibu negeri telah berpindah ke Ipoh.

Hakikatnya, keistimewaan Taiping sebagai bandar warisan dan bersejarah jelas dilihat kerana terdapat kira-kira 31 bahan sejarah pertama di negara ini.

Disebabkan kebanyakan sejarah bermula di sini, Taiping mampu menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri untuk mengunjunginya.

Landasan kereta api antara Taiping dan Pelabuhan Kuala Sepetang (dulu Port Weld) yang dibina pada tahun 1885 misalnya, adalah yang pertama di negara ini.

Ketika itu, tujuan British membina landasan tersebut adalah untuk memudahkan mereka mengangkut bijih timah ke Pulau Pinang.

Taman Tasik Taiping (1880) yang merupakan bekas lombong pula dicatatkan sebagai taman riadah dan rekreasi pertama dibuka.

Berada di taman ini, pengunjung dapat menikmati pemandangan landskapnya yang cantik, dihiasi pokok-pokok berusia ratusan tahun selain terdapat 10 kolam besar lengkap dengan kemudahan tandas, laluan berjoging dan pondok berehat.

Selain itu, Bukit Peranginan Maxwel atau Bukit Larut (1870) juga menyamankan. Untuk sampai ke puncak yang ketinggiannya 1,250 meter dari paras laut, pengunjung perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan.

Kota Ngah Ibrahim yang terletak di Matang (dulu dikenali sebagai Permatang) telah dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Beliau adalah anak kepada Long Jaafar yang merupakan orang Melayu pertama membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840.

Selain itu, terdapat New Club (1880), Lapangan Terbang Tekah (1870) dan Rumah Residen Inggeris (1870), yang semuanya tercatat sebagai yang paling awal dibuka.

Bagi yang meminati sejarah, Muzium Perak (1886) merupakan muzium tertua negara yang masih boleh dikunjungi. Diasaskan oleh Residen British Perak, Sir Hugh Low, di sini tersimpan lebih 10,000 bahan pameran pelbagai spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu selain lebih 5,000 bahan rujukan sejarah.

Penjara Taiping (1883) dan Maktab Perguruan Matang (1913- 1922) yang merupakan maktab perguruan pertama beroperasi di Kota Ngah Ibrahim juga terletak di bandar tersebut.

Selain itu, balai bomba pertama yang dibuka pada tahun 1886 dan kini sudah tidak beroperasi, masih boleh ditatap oleh generasi hari ini apabila bangunannya diubah menjadi menara jam besar dan pusat menjual cenderamata.

Pengunjung juga berpeluang melawat Zoo Taiping dan 'Night Safari' yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah.

Zoo ini menempatkan 1,300 ekor haiwan daripada lebih 200 spesies burung, reptilia dan mamalia yang dipamerkan dalam suasana semula jadi.

Lokasinya yang terletak di kawasan Taman Tasik Taiping dan berhampiran kaki Bukit Larut, memberi ruang kepada para pengunjung untuk 'bermesra' dengan alam.

Secara amnya, terdapat kira-kira 83 buah rumah kedai dan 34 bangunan awam di Taiping yang masih mengekalkan bangunan yang mempunyai ciri-ciri warisan ini.

Justeru, Taiping yang juga terkenal sebagai kawasan paling lembap berikutan menerima hujan hampir setiap hari berbanding kawasan-kawasan lain, perlu mengekalkan kedudukannya sebagai bandar warisan 'di sini bermula segalanya.'

Oleh ANI AWANG


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...