terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 30, 2009

Jadilah isteri yang disenangi suami


Ahmad Baei Jaafar

Hayat sesuatu perkahwinan umat Islam pada akhir-akhir ini tidak lama, paling lama boleh bertahan ialah selama lima tahun tetapi yang paling singkat ialah 7 hari. Ketidakserasian dikatakan punca berlakunya perpisahan mereka.

Persoalannya bagaimana perkahwinan itu boleh terjalin kalau tidak serasi. Adakah sebelum berkahwin mereka tidak melihat keserasian itu? Mengapa pula selepas berkahwin baru didapati hubungan mereka tidak serasi?

Barangkali benarlah kata orang tua-tua, “cinta itu buta”. Sewaktu bercinta mereka tidak nampak cacat celanya. Waktu bermadu kasih, semua yang buruk nampak cantik dan indah belaka. Jadi, keserasian tidak dapat dikesan kerana manusia dikatakan boleh berlakon melindungi watak sebenar.

Walau bagaimanapun hujah keserasian itu tidak begitu kuat untuk diterima kerana keserasian boleh datang selepas berkahwin. Jadi, punca sebenarnya ialah pasangan itu tidak pandai membina keserasian. Suami dan isteri gagal memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam ruangan yang terbatas ini saya ingin membawa pembaca untuk menghayati sebuah hadis iaitu Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al-Imam Bazzar).

Menurut hadis di atas, dua perkara yang sering diabaikan oleh isteri ialah; mentaati suami dan mengakui hak suami. Lazimnya selepas pasangan pengantin diijabkabulkan mereka enjoy dengan kebebasan yang mereka peroleh. Mereka terlupa untuk mengenali secara lebih mendalam isi hati masing-masing atas alasan sudah kenal lama.

Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.

Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya. Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.

Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.

Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?

Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.

Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.

Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.

Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.

Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?

Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya. Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.

Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam.

betul bos..tak tipu..

adab memotong kuku

Struktur gaji pengetua, penolong kanan perlu disemak


Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my


Penstrukturan gaji pengetua dan penolong kanan perlu mengambil kira sumbangan mereka mengurus kecemerlangan pendidikan di sekolah menengah seluruh negara. - Foto Supian Ahmad

Pendapatan pegawai pengurusan sekolah masih rendah berbanding gred khas Guru Cemerlang DG52 KUP

PERKHIDMATAN lebih lima tahun Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pelajaran meninggalkan nota gembira untuk sebahagian besar guru, khususnya memberi kenaikan pangkat atau gred jawatan lebih tinggi menerusi penstrukturan semula kementerian berkenaan.

Antaranya elaun kritikal dikembalikan semula, guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah menerima kenaikan satu tangga gaji ke DG41 selepas mendapat ijazah dan guru DG41 yang mengajar di Tingkatan Enam selama tiga tahun dinaikkan ke DG44.

Namun, di sebalik keriangan itu, penstrukturan semula berkenaan terlepas pandang terhadap pegawai pengurusan sekolah kerana mereka tidak menerima sebarang tempias.


Pengetua dan penolong kanan yang menjadi penggerak utama untuk menjayakan semua dasar, wawasan dan strategi Kementerian Pelajaran 'agak tersepit' dari segi gred jawatan selepas penstrukturan berkenaan.

Perbincangan penulis dengan beberapa pengetua dan penolong kanan menunjukkan sejak 2000 hingga sekarang, pengisian jawatan pengetua baru dan penolong kanan sekolah menengah bukan lagi proses kenaikan pangkat.

Hampir semua pengetua yang dilantik selepas tahun berkenaan adalah daripada kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) gred DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP).

Ironinya, pengetua yang dilantik rata-rata adalah PPPS yang sudah dinaikkan gred ke DG48 secara KUP, walaupun gred jawatan pengetua adalah DG48 secara hakiki.

Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran, satu-satunya jabatan yang dimonopoli sepenuhnya kumpulan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mengurus proses kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan, hanya perlu menukar status DG48 (KUP) kepada DG48 (Hakiki) ketika melantik PPPS menjadi pengetua.

Selesai proses itu, pegawai berkenaan mendapat elaun pengetua sebanyak RM150 sebulan. Tangga gaji dan elaun lain kekal seperti ketika mereka menyandang jawatan guru DG48 KUP. Lebih malang, pengetua baru yang dilantik di sekolah yang ada kemudahan kuarters pengetua, elaun rumah mereka dipotong separuh kepada RM350 kerana pengetua diwajibkan tinggal di kuarters.

Elaun Cola juga turut berkurangan separuh mengikut kategori tempat bertugas. Kementerian Pelajaran dapat menjimatkan kos jika kenaikan pangkat pengetua diteruskan dengan kaedah sekarang seperti yang ditetapkan oleh PTD.

Namun, kesannya ialah ramai calon pengetua yang berkelayakan dan berwibawa menolak tawaran dilantik sebagai pengetua hingga sanggup bertugas sebagai penolong kanan atau guru biasa hingga pencen.

Rasionalnya, mereka tidak mahu memikul beban tugas pentadbiran yang berat sedangkan faedahnya tidak setimpal, malah imbuhan kewangan semakin susut.

Ini bertentangan dengan amalan Jabatan Perkhidmatan Awam atau agensi kerajaan lain bahawa penentuan kadar gaji pegawai berpegang kepada prinsip semakin berat beban tugas dan tanggungjawab, semakin tinggi kadar upahnya.

Pengetua DG48 sudah tentu 'segan-segan' kerana di sekolah utama, biasanya ada seorang hingga lebih 10 guru DG48 KUP, guru biasa yang sama gred jawatan dengannya. Pengetua ini akan diaibkan (secara sengaja atau sebaliknya) jika ada guru sekolahnya dalam gred khas Guru Cemerlang DG52 KUP, DG54 KUP atau Gred Khas Jusa C (KUP).

Dengan itu, ramai yang menolak dilantik pengetua dan berlaku amalan tangkap muat untuk mengisi kekosongan jawatan, iaitu mencalonkan mana-mana guru DG48 (KUP) yang berminat tetapi kurang berkualiti untuk mengisi jawatan pengetua baru.

Berikutan amalan tidak sihat itu, dalam sesetengah kes, masih ada pengetua yang dilantik masih menyandang DG44. Ini akan menjejaskan mutu perkhidmatan pendidikan untuk pelajar kerana pengurusan sekolah diserahkan kepada pemimpin yang kurang berwibawa.

Secara ringkas, pelantikan pengetua bukanlah proses kenaikan pangkat, bahkan mereka 'didera' untuk kekal lama dalam satu tangga gaji. Ini disebabkan, PPPS perlu melalui tempoh perkhidmatan minimum sehingga 20 tahun sebelum menyandang gred DG48 KUP (10 tahun berada di gred DG41 dan 10 tahun DG44).

Berbanding dengan perkhidmatan lain seperti PTD yang hanya memerlukan tempoh tiga tahun berkhidmat dalam gred M41 sebelum dinaikkan ke gred M44 dan dua hingga tiga tahun berikutnya untuk dinaikkan ke gred M48 (keseluruhannya enam tahun saja).

Penolong kanan juga hampir sama keadaannya dengan pengetua dari segi gred jawatan.

Di sekolah menengah, biasanya ada tiga orang penolong kanan, iaitu penolong kanan pentadbiran dan akademik (DG44), penolong kanan hal ehwal murid (DG44) dan penolong kanan kokurikulum (DG41).

Penolong kanan adalah pegawai yang paling penting di sekolah dalam menggerakkan pentadbiran sekolah dari aspek pengurusan, akademik, pengurusan hal ehwal murid, mahupun aktiviti kokurikulum. Seperti juga perjawatan pengetua, gred jawatan penolong kanan setara dengan guru biasa, iaitu DG44.

Malah, sebelum menjawat jawatan penolong kanan, PPPS dari segi amalannya akan mendapat gred DG44 KUP terlebih dulu selepas berkhidmat melebihi 10 tahun dan lulus Penilaian Tahap Kecekapan. Jika dibandingkan dengan guru mata pelajaran yang mengajar Tingkatan Enam, ternyata gred jawatan penolong kanan sangat rendah.

Guru Tingkatan Enam hanya perlu tiga tahun berada di Gred DG41 dan tiga tahun pengalaman mengajar subjek Tingkatan Enam sebelum dinaikkan pangkat ke gred ke DG44. Penolong kanan perlu melalui tempoh perkhidmatan 10 tahun sebelum dilantik sebagai pentadbir sekolah.

Dari segi bebanan kerja, biasanya penolong kanan terpaksa pulang lewat petang untuk menyiapkan tugas pentadbiran, sedangkan guru Tingkatan Enam boleh pulang selewat-lewatnya 3 petang selepas selesai waktu persekolahan.

Mengikut amalan Kementerian Pelajaran sekarang, seseorang penolong kanan hanya akan dinaikkan pangkat ke jawatan pengetua selepas mendapat gred DG48 KUP ketika memegang jawatan penolong kanan dengan gred sama DG48 dengan ditambah perkataan 'hakiki' saja.

Ini juga bermakna tiada kenaikan pangkat untuk guru DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan. Penolong kanan adalah penggerak kepada sekolah kerana mereka akan melaksanakan arahan pengetua, menjalankan tugas pengetua ketika ketiadaannya, mewakili pengetua ke mesyuarat atau majlis rasmi, merancang dan melaksanakan program akademik, mengurus kewangan dan stok sekolah, mengurus hal ehwal akademik, hal ehwal murid, kokurikulum, asrama, perancangan prasarana dan sumber manusia, mengajar sebilangan waktu yang ditetapkan dan pelbagai tugas yang semakin bertambah saban hari.

Memetik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 3 April lalu:

"Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi pendidik, meningkatkan kualiti hidup perwira tanah air, mahupun dalam memperkasa ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global."

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran yang baru sudah tentu mempunyai formula membetulkan nasib pengetua dan penolong kanan daripada terus diaibkan dalam keadaan sekarang.

Kematian pertama di AS




PESAWAT dari Miami yang menuju ke Mexico hampir kosong semalam berikutan ancaman selesema babi.

Bayi dari Mexico dibawa ke Houston untuk rawatan selesema babi

WASHINGTON: Bayi 23 bulan yang maut di Texas selepas menghidap selesema babi, adalah kematian pertama di Amerika Syarikat akibat virus H1N1, kata pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS semalam.

Pegawai kesihatan Houston berkata bayi itu adalah rakyat Mexico yang dibawa ke Texas untuk mendapat rawatan perubatan.

Ia adalah kematian pertama akibat selesema babi yang dilaporkan di luar Mexico, negara yang paling teruk diancam penularan selesema itu. Pegawai AS mengesahkan 65 kes selesema babi, sebahagian besarnya tidak serius tapi lima mangsanya dimasukkan ke hospital di California dan Texas.


"Malangnya, pagi ini saya mengesahkan bahawa kita mempunyai kematian pertama seorang bayi akibat terkena virus selesema H1N1. Ia berlaku di Texas, seorang bayi 23 bulan," Dr Richard Besser, pemangku ketua CDC memberitahu program 'Early Show' menerusi stesen televisyen CBS.

"Bayi itu dibawa ke Houston untuk rawatan perubatan. Keluarganya membawanya ke Texas Selatan. Bayi itu jatuh sakit dan mereka membawanya ke Houston untuk diberi rawatan," jurucakap jabatan kesihatan Hosuton, Kathy Barton memberitahu CNN.

Katanya, beliau tidak tahu bayi itu berasal dari bahagian mana di Mexico.

Presiden Barack Obama, ketika bercakap di Rumah Putih sekembalinya dari lawatan sehari ke Missouri, berkata kematian yang disahkan itu menyebabkan langkah lebih serius perlu diambil bagi menangani penyakit berkenaan.

Sementara itu satu laporan dari Berlin menyatakan Jerman menjadi negara kelapan semalam yang mengesahkan penularan selesema babi, ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap amarannya kepada tahap 5.

Mexico mencatatkan 159 kematian akibat penyakit itu semalam berbanding 152 kelmarin.

New Zealand pula mengesahkan lebih banyak kes selesema babi di kalangan rakyatnya - semuanya yang baru kembali dari Mexico - dengan jumlah berkenaan meningkat kepada 14 orang berbanding tiga semalam.

Jangkitan di Amerika Syarikat dilaporkan meningkat kepada 65 kes, Kanada 13 kes manakala beberapa kes baru dilaporkan turut disahkan di Israel, tiga lagi di Britain serta setiap satu di Austria dan Sepanyol. � Reuters/AP

Ambil tindakan artis tidak sopan


SAYA percaya rakyat Malaysia masih terkejut dengan aksi berani Bintang Paling Popular 2008, Nabil, apabila beliau memeluk kekasihnya, Irma Hasmi di khalayak ramai.

Siarannya ditonton jutaan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur daripada anak kecil sehinggalah orang dewasa melalui siaran langsung di kaca TV pada Anugerah Bintang Popular 2008.

Alasan yang diberikan oleh Nabil ialah beliau terlampau terkejut dengan kemenangan yang diraih dan itu merupakan aksi spontan. Menurutnya, itu adalah kali pertama beliau berperangai sedemikian.

Saya tidak berminat untuk tahu adakah itu kali pertama beliau memeluk kekasihnya atau tidak. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia yang masih menghormati adat dan tatasusila serta berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur sukar menerima perbuatan Nabil yang keterlaluan.

Bukan sahaja perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak, bahkan merupakan perbuatan yang menggambarkan betapa masyarakat Malaysia hari ini, terutamanya dalam kelompok mereka yang bergelar artis, begitu mengambil mudah dan memandang ringan apa yang dipandang serius oleh masyarakat umum.

Selepas itu, satu lagi aksi 'berani mati' ditunjukkan oleh bekas pelajar Akademi Fantasia 7, Aril, yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh dengan memeluk tenaga pengajar wanita Akademi Fantasia iaitu Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar dan Shafi.

Rancangan itu juga ditonton oleh penonton yang terdiri daripada latar belakang masyarakat yang pelbagai, khususnya kanak-kanak. Alasan yang diberikan, Aril menganggap cikgu-cikgunya di akademi itu sebagai ibunya sendiri dan pelukan itu merupakan tanda hormat.

Saya berasa sedih dengan alasan yang diberikan kerana tidak bolehkah Aril hanya mencium tangan bagi menunjukkan rasa hormat terhadap orang yang dianggap berjasa kepadanya? Kenapa perlu memeluk dengan erat dan bersungguh-sungguh?

Saya kesal anak kecil yang menonton rancangan tersebut telah mula ditanam dengan aksi berani dan perkara tersebut tidak mustahil mendorong mereka untuk berkelakuan demikian.

Satu persoalan yang bermain di fikiran saya ialah, tidakkah Kementerian Penerangan peka dengan apa yang berlaku? Tidakkah Kementerian Penerangan mempunyai garis panduan berhubung had dan batasan penyiaran rancangan hiburan di Malaysia?

Tidakkah ada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang melampaui batas kesopanan tatasusila masyarakat Malaysia? Bukankah tindakan juga boleh diambil ke atas stesen TV berkenaan?

Saya menyeru agar Kementerian Penerangan duduk semeja dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bagi menyediakan satu garis panduan khusus tentang perkara ini jika belum ada. Jika sudah ada, pihak Kementerian perlu menguatkuasakannya.

Jangan sampai timbul kes ketiga, keempat atau kelima yang menyaksikan sesiapa sahaja yang namanya lelaki memeluk wanita yang bukan muhrim di khalayak ramai.

Perkara ini bukan sahaja mencemarkan budaya dan adat Melayu, malah boleh merosakkan pemikiran anak kecil yang menonton rancangan seumpama itu.

HANIF MOHSEIN MOHD. FAUZI

Ampang, Selangor

Bila surcaj tambang bas akan dihapus?


SAYA sebagai pengguna pengangkutan awam ingin bertanya kepada pihak kerajaan, sampai bila tambang bas dikenakan surcaj bahan api 30 peratus?

Ia sangat membebankan kami dan dirasakan sudah tidak munasabah surcaj bagi kami menanggung beban tersebut sampai sekarang.

Sebagai contoh, tambang bas dari Pasir Puteh, Kelantan, ke Kuala Lumpur sekarang ialah RM42.30, termasuk surcaj 30 peratus iaitu RM9.80. Tanpa surcaj harganya RM32.50. Bayangkan tambang bas dari Perlis ke Johor.

Kita semua maklum kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus daripada harga asal yang dicetak pada tiket berlaku akibat keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api pada 5 Jun 2008. Ia menjadikan harga diesel meningkat kepada RM2.58 seliter.

Tetapi pada hari ini, berapakah harga diesel? Adakah ia masih membebankan pihak pengusaha sedangkan kerajaan telah memberikan subsidi bagi mengurangkan harga diesel?

Dengan kelembapan ekonomi sekarang yang membebankan, mengapa kami masih perlu membayar surcaj tersebut?

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada masa itu pernah membuat kenyataan yang perkara ini akan dikaji secepat mungkin.

Persoalannya, adakah ia benar-benar dikaji dan adakah keputusannya mengutamakan rakyat? Atau ia hanya dikaji di atas kertas?

Apa pun, pengguna sudah terbeban dengan masalah ini.

Diharapkan kepimpinan baru dan pihak terlibat mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu kepenggunaan ini. Kasihanilah penuntut universiti, pekerja kilang dan pekerja bawahan. Hapuskan surcaj.

WAKIL RAKYAT

Kuala Lumpur

Hati-hati mansuh syarat ekuiti Bumiputera


MEMBACA pandangan pelbagai pihak mengenai pengumuman kerajaan berkaitan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan (lebih tepat pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera) dalam akhbar, terutama media cetak bukan bahasa Melayu, adalah satu pengalaman yang amat menghinakan.

Walaupun terdapat beberapa kebenaran pada fakta yang diketengahkan tetapi keseluruhannya pandangan mereka menjurus kepada tuduhan bahawa syarat khas ini telah membantut perkembangan ekonomi dan menghalang negara daripada maju ke hadapan.

Seolah-olah syarat istimewa ini yang menjadi asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat dan negara.

Walaupun saya cuba bersikap rasional dengan mengambil kira dan memahami bahawa negara ini perlu mematuhi syarat keahlian dalam Komuniti Ekonomi ASEAN, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan tidak boleh lari daripada persaingan dalam era globalisasi dan pasaran terbuka sekarang, saya masih berpendapat bahawa pemansuhan syarat ekuiti tersebut akan membawa lebih banyak kesan kepada bangsa Melayu sekarang.

Saya khuatir dengan sikap pihak tertentu, setelah berjaya mendesak pemansuhan kuota Bumiputera, mereka akan menggandakan tekanan kepada kerajaan untuk terus meliberalisasi bukan sekadar sektor ekonomi tetapi juga semua aspek kehidupan termasuk bidang pendidikan, pertahanan dan agama.

Perkara ini tidak mustahil kerana telah kedengaran suara-suara sumbang berupa tuntutan untuk memenuhi matlamat tersebut.

Adalah menghairankan kerana sebelum ini semua pihak dikatakan bersetuju bahawa inisiatif yang dianjurkan oleh DEB itu adalah perlu bagi mengagihkan kekayaan negara supaya dinikmati secara adil oleh semua kaum demi perpaduan rakyat di negara ini.

Mereka dikatakan cuma tidak berpuas hati kerana dasar tersebut telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Jika itulah pendirian ikhlas semua kaum, kenapa pula perlu dimansuhkan syarat ekuiti tersebut sekarang?

Bukankah lebih baik pihak yang bertanggungjawab memperbetulkan kesilapan lepas dan mengambil tindakan yang pragmatik termasuk memberi fokus kepada pemantauan yang rapi bagi memastikan kuota 30 peratus Bumiputera itu tercapai?

Saya berpendapat keputusan memansuhkan syarat khas ini dibuat kerana orang Melayu sekarang sudah berpecah-belah dan menyebabkan kuasa politiknya telah terhakis.

Pemimpin Melayu menghadapi tekanan yang kuat untuk memenangi semula kepercayaan kaum lain dan terpaksa mengambil tindakan yang populis walaupun mendatangkan risiko kepada orang Melayu.

Bagi mengatasi keadaan ini, orang Melayu wajar bersatu semula sebagai satu bangsa yang teguh dan berjuang secara ikhlas dengan berpaksikan agama Islam.

Saya juga berpendapat bahawa orang Melayu yang secara keseluruhannya masih ketinggalan dalam bidang ekonomi tiada kekuatan untuk menahan desakan kaum lain yang mahukan ekuiti 30 peratus dimansuhkan segera.

Bangsa Melayu menjadi lemah kerana terdapat ramai yang tamak serta malas bekerja dan rela menjadi sleeping partner sahaja. Tindakan mereka yang mengaibkan itu telah menyebabkan orang Melayu gagal memenuhi aspirasi DEB walaupun ia sudah dilaksanakan hampir 40 tahun.

Sewajarnya golongan yang mengkhianati bangsa ini dihukum agar mereka insaf atas kesalahan yang dilakukan. Bagaimanapun, bukan semua orang Melayu perlu dipersalahkan kerana kesilapan golongan tersebut.

Apabila syarat ekuiti ini dimansuhkan, adakah kita yakin kaum lain dan juga bangsa asing yang mempunyai tradisi berniaga yang jitu dan jaringan yang mantap akan berkongsi pengalaman dan peluang perniagaan dengan bangsa Melayu?

Adakah orang Melayu yang masih kekurangan dalam segenap aspek perniagaan terutama keperluan untuk mengadakan modal kewangan, mampu bersaing atas padang yang rata dengan bangsa lain?

Kita bukan takut pada bayang-bayang atau menolak perubahan tetapi kita perlu realistik mengenai kekuatan diri dalam keadaan semasa. Janganlah kita dibuai oleh kata-kata manis dan janji kosong oleh pihak yang berkepentingan tanpa menganalisisnya dengan terperinci.

Pengalaman silam telah mengajar orang Melayu supaya sentiasa berhati-hati, bekerja keras, bersatu padu dan memberi perhatian khas kepada pendidikan generasi muda agar kita menjadi satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Kita sangat berharap para pemimpin negara akan mengkaji dengan sehalus-halusnya keputusan mengenai ekuiti ini dan melaksanakan inisiatif-inisiatif lain yang lebih konkrit agar orang Melayu tidak terus ketinggalan di tanah airnya sendiri.

ZAMRI MAHMUD

Wangsa Melawati, Kuala Lumpur

Wednesday, April 29, 2009

One Malaysia

Beberapa hari duduk dikampung..puas aku dok berehat..punya la syiok duduk melapok di kampung..kepala pun ringan ja..cukup teruja tengok sawah padi yg menghijau..petang2 pun sejuk ja layan angin yang dok bertiup kuat..segalanya cukup di sini..serba lengkap walaupun dalam kesederhanaan. Kalau nak makan yg besh2 buleh ke pasar malam yg boleh kata tiap2 ari ada merata tempat sekitar kawasan pt buntaq ni..

Petang semalam sempat aku berkunjung ke Queensbay Mall, Penang. Dalam dok jalan2 tu aku dok ushar2 jugak la beberapa kedai yang memaparkan iklan2 kerja kosong di premis masing2. Aku agak terkilan bila nampak "VACANCY FOR CHINESE MALE/FEMALE" dan2 tu jugak aku naik bengang..maleh aku nak masuk kedai tu..aku pun tak paham la..bukannya aku ni racist tapi kita boleh pikir sendiri la..Teruk sangat ke bangsa Melayu ni???? At least kalau tak mau amik melayu kerja pun tak perlu la terang2 tulih lagu tu..menyirap darah aku..

Di saat2 kerajaan banyak menghapuskan keistimewaan untuk bumiputera cam baru2 ni bila kerajaan menghapuskan keistimewaan bumiputera dalam 27 sektor perniagaan dan desakan MCA untuk hak kesamarataan, aku sedih sebab aku takut kita saja bangsa Melayu yang tertalu banyak berkorban semata2 nakkan sokongan politik depa tapi depa masih mengekalkan sistem yang diamalkan mereka sejak dulu..

Sekali lagi aku nak bgtau, aku bukannya bersifat perkauman tetapi aku rasa banyak lagi yang kerajaan perlu buat untuk memperbetulkan perkara ni khususnya anak melayu yang masih ramai lagi menganggur sebab majikan2 semacam ini..

Hak ibu bapa tak terputus jika anak peluk Islam


Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Keputusan jemaah menteri belum jadi peraturan, sedia terima pandangan

KEPUTUSAN Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agamanya, diterima dengan rasa terkejut dan perasaan cemas 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Keputusan Kabinet itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada NGO Islam, mufti serta pakar perundangan Islam. Dalam kenyataan bersama serta beberapa pandangan mufti dan badan profesional, menyarankan keputusan itu dikaji semula kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Persekutuan serta hukum syarak.

Keputusan Kabinet mengecewakan NGO Islam kerana ia diambil tanpa perbincangan dengan pihak yang mungkin terkesan daripada pengumuman. Sebagai NGO Islam yang terbabit secara langsung dengan masalah berkaitan proses pemelukan Islam oleh penganut agama lain, sewajarnya maklum balas mereka diambil kira.


Hakikatnya, bantahan NGO terhadap keputusan itu bersandarkan kepada alasan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia serta Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya". Berdasarkan peruntukan itu persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan status agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, atau ditetapkan penjaganya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai ibu bapa.

Perkataan 'parent or guardian' pada perkara 12 (4) bermaksud ibu atau bapa atau penjaga, bukan ibu bapa atau penjaga. Ia bermakna ibu atau bapa sudah cukup untuk menentukan status agama anak.

Peruntukan itu diterjemahkan dalam kes Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas (1990) 2 MLJ 300 dan keputusan Mahkamah Tinggi (1986) 2 MLJ 228. Dalam kes itu, seorang bapa membawa tindakan terhadap kadi yang mengislamkan anak perempuannya yang dilahir dan dibesarkan sebagai penganut Buddha ke mahkamah.

Seseorang belum mencapai 18 tahun tidak ada hak untuk memilih agamanya sendiri tanpa kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya. Dalam membuat keputusan, mahkamah merujuk kepada laporan suruhanjaya dan menekankan soal keharmonian agama.

Perlu ditegaskan walaupun Islam ditetapkan agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, hak penganut agama lain tetap dijaga mengikut Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Penentuan status agama anak apabila ibu bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan Islam. Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Peruntukan akta itu jelas bahawa ibu atau bapa atau penjaga mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang anak bawah umur 18 tahun memeluk Islam tertakluk kepada keizinan bapa atau ibu atau penjaga anak itu.

Kes R Subashini lawan T Saravanan juga menjadi rujukan kepada NGO Islam untuk meminta Kabinet menilai semula keputusan kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya. Justeru, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun ibu tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya.

Mengikut hukum syarak jika bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak sudah berumur 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri.

Ibu atau bapa tidak Islam seharusnya tidak bimbang jika pihak satu lagi memeluk Islam dan mengislamkan anak mereka bawah 18 tahun kerana hak mereka terhadap anak itu tidak terputus. Walaupun anak memeluk agama Islam, hubungan dengan ibu atau bapanya tidak akan terputus.

Seseorang yang masuk Islam adalah soal hidayah Allah. Persoalan sama ada seseorang memeluk Islam atas tujuan lain di luar batas kita untuk menentukannya kerana ia membabitkan soal niat atau hati.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersama NGO Islam lain berharap keputusan dinilai semula dengan maklum balas daripada pihak terbabit secara langsung dalam proses pemelukan Islam penganut agama lain serta pakar seperti mufti dan pengamal undang-undang syariah.

Keputusan jemaah menteri belum lagi menjadi peraturan atau undang-undang, justeru masih ada ruang untuk mengkaji semula apa yang diputuskan demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan pada masa sama mengekalkan semangat hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa kerajaan bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak, diharap suara PGSM dan 100 NGO Islam lain mendapat perhatian sewajarnya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Pelajar histeria nampak makhluk rambut panjang


Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my


WARIS seorang pelajar SMKL membawa anak pulang bagi mendapat rawatan selepas diserang histeria, semalam.

18 lagi mangsa dakwa wanita berkain putih kelilingi SMKL

ALOR SETAR: Lapan belas pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria, semalam, iaitu kejadian kedua selepas 50 pelajarnya diserang histeria, Ahad lalu.

Kejadian semalam berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yassin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain.

Nasroh Abdul Rahim, 14, berkata dia tidak sanggup lagi bersekolah di situ selepas kali kedua diserang dalam masa tiga hari.


"Saya berhasrat bertukar sekolah kerana tidak sanggup lagi mengalami kejadian itu yang menjejaskan tumpuan saya terhadap pelajaran," katanya ketika ditemui di luar sekolah itu, semalam.

Nasroh mendakwa, dalam kejadian semalam dia ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.

"Pengalaman itu paling menyeramkan dan saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya nampak dengan jelas kehadiran makhluk halus itu di depan mata.

"Makhluk itu seperti menyuruh kami mengikutnya tetapi mujur ketika itu ada beberapa bomoh yang dipanggil pihak sekolah untuk meredakan keadaan. Jika tidak sudah tentu keadaan lebih buruk lagi," katanya.

Waris pelajar, Awang Kechik Darus, 72, berkata beliau bimbang kerana cucunya, Nor Atikah Abdul Wahab, 14, sudah dua kali diserang histeria sehingga mereka sekeluarga terpaksa membawanya untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman, berkata hanya 18 pelajar disahkan diserang histeria di sekolah itu dan pihaknya akan berusaha mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, pihak sekolah membenarkan pelajar yang belum pulih sepenuhnya akibat kejadian itu supaya bercuti.

Berenang 12 jam heret mayat emak


Oleh Ahmad Othman
bhnews@bharian.com.my


AQEEL berenang berpandukan cahaya dari pantai.

Anak ikat selendang tak sanggup ibu hilang

KOTA TINGGI: Kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian bot karam yang mengorbankan enam anggota keluarganya di perairan Teluk Ramunia dekat Pengerang di sini, Aqeel Qirkeel, terpaksa berenang kira-kira 12 jam di tengah laut sambil mengheret mayat ibunya, sebelum diselamatkan sebuah kapal dagang.

Aqeel, 14, berkata beliau berenang mengheret mayat ibunya Zainab Quadir, dari tengah malam hingga diselamatkan kira-kira jam 8 pagi, berpandukan cahaya yang kelihatan dari tengah laut.


"Saya tahu ketika itu ibu saya sudah meninggal dunia tapi saya tidak mahu melepaskan mayat ibu. Saya bimbang ibu akan hilang atau tenggelam.

"Saya gunakan selendang pada leher ibu untuk mengikat tangan ibu kepada tangan saya, dan berenang membawa ibu menuju ke pantai berpandukan cahaya yang kelihatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin.

Aqeel bercakap dalam bahasa Urdu menerusi jurubahasa Muhamamd Junus Lalahan.

Katanya, beliau bersama ahli keluarga seramai tujuh orang datang ke Malaysia 14 April lalu untuk melancong dan menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira seminggu sebelum ke Johor Bahru.

Katanya, Ahad lalu mereka menaiki teksi dari Johor Bahru ke chalet di kawasan Pengerang dan bermalam di situ.

"Kira-kira jam 7 malam semalam (malam kelmarin, Isnin) kami menaiki bot gentian kaca bersama tiga yang lain tapi kira-kira 30 minit perjalanan, bahagian depan bot menjunam dan bot tiba-tiba tenggelam.

"Kami tidak memakai jaket keselamatan ketika itu," katanya.

Beliau mendakwa, pemandu bot itu mencapai tong plastik kosong dan berenang meninggalkan mereka.

Katanya, mereka semua terpisah apabila bot besar lalu berhampiran mereka yang menyebabkan gelombang dan arus ombak yang kuat.

"Kami masing-masing menjerit tapi hanya suara sayup yang kedengaran... saya tak nampak sesiapa pun," katanya.

Katanya, beliau terus berenang mencari keluarganya di kawasan itu dan kira-kira jam 12 tengah malam, menemui ibunya yang terapung.

TEKUN komited tingkatkan prestasi


DENGAN hormat dan takzimnya, pihak TEKUN Nasional ingin memberikan jawapan kepada aduan yang dikemukakan oleh Nor Hoda Haji Tarseh dari Puchong, Selangor, yang disiarkan dalam ruangan ini pada 23 April 2009.

Terlebih dahulu, selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, saya ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh Nor Hoda atas kelewatan mendapatkan pembiayaan pinjaman dari TEKUN Nasional seperti mana yang diadukan.

Untuk makluman saudara dan semua pemohon yang telah mengemukakan permohonan untuk mendapat pembiayaan pinjaman dari pihak TEKUN Nasional masa kini, terdapat kelewatan dalam urusan memproses permohonan tersebut disebabkan oleh jumlah permohonan pinjaman yang diterima oleh TEKUN Nasional mulai awal tahun ini adalah di luar jangkaan.

Dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja tahun 2009, pihak TEKUN Nasional telah meluluskan dan mengeluarkan pembiayaan pinjaman sebanyak RM162 juta kepada 14,391 orang usahawan. Dalam masa yang sama juga, sehingga 15 April 2009 TEKUN Nasional sedang memproses permohonan pembiayaan pinjaman daripada 8,904 orang pemohon dengan nilai permohonan sebanyak RM221 juta.

Untuk maklumat semua pihak, pembiayaan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh TEKUN Nasional pada tahun 2008 adalah berjumlah RM358 juta berbanding dengan pembiayaan yang dikeluarkan pada tahun 2007 adalah hanya RM127 juta.

Pada tahun ini jumlah permohonan pembiayaan dijangka terus meningkat disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang mendorong ramai rakyat negara ini menceburi bidang usaha niaga bagi menjana pendapatan mereka, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang diberhentikan kerja. Oleh yang demikian TEKUN Nasional telah menjadi institusi tumpuan bagi mendapatkan pembiayaan pinjaman perniagaan.

Di samping itu, dalam kesempatan ini, saya ingin merayu kepada para peminjam dan usahawan TEKUN yang sedia ada, supaya dapat membuat bayaran balik pinjaman mereka seperti yang dijanjikan kerana wang bayaran balik tersebut yang diterima oleh TEKUN Nasional akan disalurkan pula kepada pemohon-pemohon yang baru. Sekiranya bayaran balik ini lambat diterima oleh TEKUN Nasional, maka ia juga akan menyebabkan kelewatan menyalurkan pembiayaan pinjaman kepada pemohon-pemohon baru yang memerlukan.

Sekiranya para usahawan TEKUN menghadapi masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka disebabkan kegawatan ekonomi, maka mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai TEKUN di pejabat-pejabat TEKUN yang mereka berurusan di seluruh negara untuk menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

Sehubungan dengan ini, TEKUN Nasional ingin memaklumkan bahawa semua permohonan yang diterima oleh pejabat TEKUN di seluruh negara akan diproses dan diberi pertimbangan yang sewajarnya secepat mungkin.

Berbalik kepada aduan Nor Hoda, saya sendiri telah menghubungi beliau untuk memohon maaf dan berjanji untuk mengatasi kesulitan yang dihadapinya dengan segera.

Sekiranya saudara dan saudari mempunyai sebarang masalah dan kesulitan berhubung dengan permohonan pembiayaan dengan TEKUN Nasional harap dapat hubungi Unit Pengaduan Awam di bawah Jabatan Pemantauan dan Tugas-Tugas Khas TEKUN Nasional di talian 03-90588550 atau email terus kepada Mohd. Yusri Mohd. Yusob, ketua jabatan berkenaan menerusi yusri@tekun.gov.my.

Bagi pihak TEKUN Nasional, saya ingin memohon maaf kepada semua pemohon yang terlewat mendapatkan pembiayaan pinjaman mereka. Insya-Allah, saya dan warga kerja TEKUN Nasional di seluruh negara akan mempertingkatkan lagi kecekapan kami dari semasa ke semasa bagi memantapkan sistem penyampaian TEKUN Nasional, selaras dengan amalan penambahbaikan berterusan TEKUN Nasional.

Kami juga komited untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Insya Allah.

DATUK ABDUL RAHIM HASSAN

Pengarah Urusan & Ketua

Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional

Gerai baru bernilai RM2j akan dibina

Gerai baru bernilai RM2j akan dibina


GERAI makan di Pulau Banggi ini akan diganti dengan gerai baru yang bernilai RM2 juta.


KUDAT 28 April - Kerajaan negeri akan membina gerai makan baru di pekan Karakit, Pulau Banggi di sini bagi menggantikan gerai lama untuk meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung di pulau berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini berkata, gerai 15 pintu bernilai kira-kira RM2 juta itu akan mula dibina dalam waktu terdekat.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan pejabat daerah untuk membina gerai baru dan cadangan sudah ada serta mendapat persetujuan mereka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mijul, gerai lama yang siap dibina pada 2002 itu wajar ditukar baru dengan bangunan yang lebih luas dan selesa memandangkan ia menjadi tumpuan utama pengunjung ke pulau itu.

"Gerai baru ini juga akan memberi keselesaan kepada peniaga di sini seterusnya mampu meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, katanya, reka bentuk gerai yang akan dibina ini akan menggambarkan budaya dan identiti masyarakat tempatan untuk tatapan pengunjung.

Katanya, pihaknya juga mencadangkan pembinaan 15 gerai konkrit berbanding 10 gerai kayu sebelum ini.

"Gerai baru itu nanti diharap berupaya memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung di pulau ini.

"Ia juga diharap dapat memberi nafas baru kepada industri pelancongan negeri ini sekali gus menambah kunjungan pelancong tempatan dan luar ke pulau ini," ujarnya.

Abdul Hamid peladang jaya - melayau



ABDUL Hamid Shariff (kiri) bersama pembantunya mengumpul buah mempelam sala di ladangnya untuk dijual kepada FAMA di Kampung Bilal Udoh, Chuping, Perlis, baru-baru ini.


PADANG BESAR 28 April - 'Bakti disemai bukti dituai'. Itulah kesimpulan paling layak dipadankan buat seorang peladang jaya mempelam sala di Kampung Bilal Udoh, Chuping di sini.

Jadual harian bagi peladang itu, Abdul Hamid Shariff, 62, cukup ringkas. Selepas solat subuh bersama isterinya, Hasnah Dahaman, 57, mereka bersarapan.

Sesudah itu, Abdul Hamid mula menabur bakti di ladangnya. Antara kerja tani yang dibereskan termasuk meracun, membaja dan memerangi musuh tanaman.

Begitulah kerja rutin yang dilakukan oleh peladang itu sejak 19 tahun lalu. Ia dibuat bagi memastikan dua hektar ladangnya yang dipenuhi 460 pokok mempelam sala membawa pulangan berganda.

Hasil keringat tanpa mengenal jemu selama ini, ladang tersebut telah mengeluarkan kira-kira 60 tan mempelam sala setiap tahun.

Sehingga kini, 60 tan buah itu dijual mengikut harga borong ladang. Bagi mempelam muda RM1.20 sementara yang tua RM1.40 sekilogram.

Pemborong utama hasil ladang itu setiap tahun ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Selepas membeli dari ladang, FAMA memunggah ke pusat pembersihan untuk proses 3P iaitu pembungkusan, penggredan dan pelabelan sebelum dipasarkan.

Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan, bagi musim 2009, beliau mula menuai hasil ladang sejak Mac lepas.

''Ini semua hasil titik peluh kami sekeluarga selama ini. Antara kerja harian dalam kebun selama ini termasuk penjagaan cabang pokok, pembajaan, merumput, meracun dan memerangi makhluk perosak.

''Musuh nombor satu tanaman terutama sewaktu musim buah ialah monyet," ujarnya yang kini turut dibantu oleh seorang daripada tiga anaknya, Hafizi, 22.

Perlu disebut, ladang miliknya itu merupakan projek perintis pengeluaran mangga terancang Kampung Bilal Uguh, Chuping yang diselenggarakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis.

Projek yang bermula Disember 2001 hingga Disember 2003 yang meliputi keluasan satu hektar itu kemudian dijadikan ladang contoh setelah ia berstatus cemerlang.

Abdul Hamid berkata, kejayaannya dalam projek berkenaan berpaksikan kepada bantuan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian dan MARDI.

''Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa membantu selama ini. Tanpa bantuan dan bimbingan berkenaan, tentu hasil ladang saya tidak seperti yang dinikmati sekarang.

''Setelah mengecapi hasil mempelam sala, saya mahu juga mengisi ladang ini dengan tanaman mempelam harumanis,'' ujarnya.

Tuesday, April 28, 2009

Gula-gula getah pintarkan anak?



BenarkaH mengunyah gula-gula getah menjadikan remaja lebih pintar? - Gambar hiasan


CHICAGO - Satu kajian oleh para penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa mengunyah gula-gula getah mungkin dapat meningkatkan pencapaian akademik golongan remaja.

Ketika ini kebanyakan sekolah di AS mengharamkan perbuatan mengunyah gula getah kerana para pelajar didapati suka membuang sisa gula getah yang melekit di bawah meja atau kerusi.

Bagaimanapun satu pasukan penyelidik diketuai oleh Craig Johnston dari Baylor College of Medicine di Houston, mendapati bahawa pelajar yang mengunyah gula getah ketika kelas matematik memperoleh markah lebih tinggi dalam ujian dan gred mereka bertambah baik menjelang akhir penggal berbanding dengan pelajar yang tidak mengunyah gula getah.

Kajian dibiayai oleh pembuat gula getah terkenal,Wrigley.

Pengarah Eksekutif Institut Sains Wrigley, Gil Leveille, berkata, Wrigley mendapat maklum balas daripada ramai pelanggan yang menyatakan mengunyah gula getah menjadikan mereka lebih fokus. - Reuters

Sedekah tidak jadikan kita miskin - melayau


UMUM mengetahui setiap kita akan mati. Lalu, segala harta yang dimiliki akan ditinggalkan, tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur. Walaupun begitu, masih ramai di kalangan kita yang keberatan menghulur sedekah atau zakat.


Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang baik sebagaimana dialami sekarang.

Malah, tidak kurang yang fobia akan jatuh miskin jika berzakat atau bersedekah ketika mana mereka diuji dengan kesempitan hidup. Sedangkan Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui. (al-Baqarah: 261)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apabila keadaan ekonomi kurang baik ramai yang takut bersedekah. Antara sebabnya, takut tidak cukup makan dan kegunaan harian. Apakah benar dakwaan ini?

AHMAD HUSNI: Itu adalah anggapan yang tidak tepat dalam Islam. Walaupun ada pepatah Arab yang sebut, orang yang tidak ada apa-apa tidak mampu memberi apa-apa.

Namun, memberi dalam keadaan kita serba kekurangan atau tidak ada adalah sangat berharga dan tinggi nilai peribadinya.

Nabi Muhammad SAW pun tidak berharta tetapi baginda tetap bersedekah.

Dalam satu peristiwa, pernah Nabi memberikan baju yang baru dibeli dan dipakainya apabila didatangi oleh seorang lelaki Arab yang meminta baju itu daripada baginda.

Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya. (Sahih Muslim)

Penulis buku terkenal, Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad menyatakan dia berpegang teguh dengan prinsip tidak akan berlaku sesuatu kecuali kita mengorbankan sesuatu.

Itu berdasarkan pengalaman Kiyosaki yang pada suatu ketika berada dalam ambang muflis. Tetapi dia mencari orang yang merempat tidak berumah dan membantu orang tersebut.

Tidak lama kemudian, dia seolah-oleh dibentangkan jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya.

Ada juga yang bagi alasan miskin sebab itu tak perlu bagi sedekah. Betulkah?

AHMAD HUSNI: Kita jangan keliru dengan konsep sedekah. Sedekah tidak sama dengan zakat.

Zakat bergantung kepada keupayaan dan keahlian manakala sedekah tidak bergantung kepada yang demikian.

Analogi bahawa sedekah itu mesti dengan wang ringgit juga adalah tidak tepat. Rasulullah pernah bersabda bahawa senyum itu pun sedekah. Maknanya, sedekah itu tidak terlalu berkait dengan harta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan. (riwayat al-Bukhari)

Jadi, kita masih boleh bersedekah tenaga, ilmu atau buah fikiran. Bukan semua orang yang berilmu itu kaya tetapi mereka boleh sedekahkan ilmu untuk kebaikan orang lain.

Kemiskinan adalah perkara yang akan berlaku sepanjang masa. Dari segi teorinya, ia mungkin boleh dihapuskan tetapi realitinya ia tetap berlaku.

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz walaupun seolah-olah sukar mencari golongan asnaf. Sebabnya iman rakyat ketika itu adalah tinggi dan semuanya tidak mahu terima zakat. Sebaliknya mahu menjadi pembayar zakat.

Hayatilah firman Allah yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268)

Ada juga individu yang apabila ekonomi meleset baru hendak membayar zakat. Adakah ini hikmah di sebalik hal itu?

AHMAD HUSNI: Bagi golongan begini, kita ucapkan selamat datang dan tahniah. Sebabnya, mereka sudah sedar tentang kewajipan berzakat.

Semasa waktu senang mungkin mereka terlupa mengingat Allah. Ini sebagaimana disebut dalam al-Quran yang maksud-Nya: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau sewajarnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Ingatlah, sesungguhnya kepada Tuhamu tempat kembali (untuk menerima balasa). (al-Alaq: 6-7)

Bagaimanapun, Allah yang Maha Pemurah bangga melihat hamba-Nya yang ingat kepada-Nya walaupun pada waktu mereka ditimpa kesusahan.

Namun, sikap begini harus dipuji. Sebabnya waktu senang mereka susah nak bayar zakat tetapi apabila waktu susah, senang mengeluarkan zakat.

Apa yang penting ialah niat, keikhlasan dan istiqamah dalam melaksanakannya.

Tidak dinafikan mungkin ada individu yang berkira-kira untuk memotong pembayaran zakat apabila ditimpa kesempitan.

Saya berpendapat ini kurang sesuai kecuali dalam keadaan yang sangat kritikal. Kalau nak dibuat perbandingan contohnya kadar zakat RM10 atau RM20 sebulan, kita harus tolak dulu nilai top-up telefon bimbit atau langganan stesen televisyen berbayar sebelum memutuskan untuk potong bayar zakat.

Kita maklum kelebihan menderma sebagaimana ayat 261 surah al-Baqarah di atas. Namun, ramai juga yang gelisah dan kurang senang apabila terlalu ramai yang datang meminta. Apakah saranan Islam dalam keadaan begini?

AHMAD HUSNI: Dari satu sudut barangkali senario sedemikian menunjukkan ekonomi kita kurang baik atau sedikit merosot. Demikian juga apabila semakin ramai yang membuat jualan langsung buku-buku.

Tidak dinafikan sebahagian kita kurang senang apabila waktu makan tengah hari didatangi oleh empat atau lima orang daripada pertubuhan yang sama mengutip derma. Sedangkan kita sudah menderma kepada orang yang pertama tadi.

Dalam hal ini, kita mesti ada prinsip. Kalau tidak mahu bagi, cakap dan tolak dengan baik. Jangan pula tuduh yang bukan-bukan termasuk ada sindiket mengutip derma dan sebagainya.

Jika ada kemampuan, bagi sekadar yang mampu. Kalau mereka letak harga atau syarat dan kita tidak mampu, katakan sejumlah ini saja yang saya mampu.

Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 263)

Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Apakah pula strategi pihak yang mengutip zakat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang?

AHMAD HUSNI: Institusi seperti Pusat Zakat dan Baitulmal berhadapan dengan cabaran besar dalam keadaan semasa apabila melihat dunia dilanda kemelut ekonomi.

Adalah dijangka permintaan terdapat bantuan akan meningkat. Pada masa yang sama kecenderungan masyarakat bayar zakat pula berkurangan.

Oleh itu, kita perlu merancang dan membuat kajian teliti untuk memastikan apa yang diberi kepada fakir miskin menepati sasaran, tidak berlaku pembaziran dan tidak disia-siakan.

Ini sudah tentu memerlukan pengamatan dan pengawasan yang lebih teliti. Pada masa yang sama, kita akan menggiatkan usaha turun padang memberi penerangan kepada masyarakat tentang kewajipan berzakat. Ia sedang dilakukan melalui pembukaan kaunter penerangan di jabatan-jabatan kerajaan.

Selain itu, aktiviti ceramah untuk membangkitkan kesedaran juga akan dipergiatkan. Ini supaya kita dapat mengimbangkan antara mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang masih bekerja.

Pada masa yang sama hayatilah kata-kata Saidina Ali, apabila mengukur nikmat Allah, maka lihatlah orang yang lebih rendah atau kurang daripada apa yang kamu ada. Barulah kita tahu, bahawa di sebalik kekurangan dan kesempitan kita, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita.

Siti Hajar menemui telaga Zamzam - melayau


SITI Hajar merupakan seorang hamba di negara Mesir yang dihadiahkan oleh Raja Mesir kepada Sarah, isteri nabi Ibrahim sewaktu mereka berhijrah ke negara Mesir.

Selepas itu, Sarah menghadiahkan Siti Hajar kepada Nabi Ibrahim dan dinikahi supaya mereka mendapat seorang anak hasil perkahwinan mereka. Nabi Ibrahim bernikah dengan Siti Hajar di atas permintaan isterinya di Baitulmuqaddis.

Tidak berapa lama kemudian, Siti Hajar hamil dan dia berasa gembira dengan kehamilannya. Siti Hajar berasa lebih dihormati daripada Sarah dan ia menimbulkan kecemburuan pada diri Sarah. Sarah tidak dapat menahan perasaan cemburunya itu lalu dia terus berjumpa nabi Ibrahim bagi meluahkan perasaannya.

Kelahiran Ismail membuatkan cemburu Sarah semakin kuat dan dia menuntut nabi Ibrahim supaya membawa Siti Hajar jauh dari pandangan matanya. Permintaan Sarah membuatkan nabi Ibrahim memohon petunjuk dari Allah lalu turunlah wahyu dari Allah yang meminta Siti Hajar dan Ismail dibawa ke Mekah.

Nabi Ibrahim akur dengan perintah Allah lalu membawa Siti Hajar bersama Ismail keluar dari negara Baitulmuqaddis menuju Mekah. Mekah pada ketika itu masih belum berpenghuni dan tiada sumber bekalan air yang dapat diperolehi di sekitarnya.

Mereka bertiga terus berjalan dengan menunggang unta, sehingga tiba di suatu kawasan berhampiran dengan Baitullah di Mekah. Nabi Ibrahim meminta Siti Hajar yang mendukung Ismail duduk di bawah sebatang pokok besar yang tumbuh di sana.

Nabi Ibrahim menyerahkan bekalan di tangannya kepada Siti Hajar yang kelihatan terkejut dan tergamam melihat kawasan sekelilingnya yang kering kontang tanpa penghuni.

Nabi Ibrahim kelihatan mahu meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di kawasan itu lalu pulang ke Baitulmuqaddis. Siti Hajar bangkit dari duduknya lalu mengejar Ibrahim bagi menanyakan sesuatu yang tersimpan di hatinya.

"Ibrahim, kamu mahu ke mana? Mengapa kamu meninggalkan kami berdua di lembah yang tiada penghuni dan kering kontang?" tanya Siti Hajar dengan nada mahu tahu.

Namun pertanyaan Siti Hajar tidak mendapat maklum balas dan nabi Ibrahim terus melangkah meninggalkan Siti Hajar yang mengejarnya tanpa menoleh ke arahnya. Tiba-tiba Siti Hajar bertanya lagi dengan soalan lain pula supaya dia mendapat jawapan dari nabi Ibrahim.

"Adakah ini perintah Allah?" meluncur soalan lain dari mulut Siti Hajar.

"Ya," balas nabi Ibrahim yang terus melangkah tanpa menoleh kepada Siti Hajar dan Ismail.

"Seandainya begitu, kami tidak akan dipersia-siakan..." Siti Hajar kembali ke tempat duduknya di bawah pokok kerana mengetahui Allah akan menjaganya dan anaknya.

Nabi Ibrahim terus berjalan dan terus berjalan meninggalkan lembah itu sehingga tiba di sebuah kawasan bernama Saniyyah.

Kemudian beliau menadah tangan berdoa kepada Allah, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya saya meninggalkan sebahagian keturunan saya di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman berhampiran rumahmu (Baitullah) yang dihormati.

bersyukur

"Ya Tuhan kami, jadikanlah keturunan ku mereka yang mendirikan solat, dan jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur".

Siti Hajar duduk keseorangan sambil memandang wajah anaknya yang sedang menyusu. Apabila Ismail sudah habis menyusu, tekak Siti Hajar berasa kering lalu diambilnya bekas berisi air bagi membasahkan tekaknya.

Oleh kerana cuaca terlalu panas, rasa dahaganya tidak hilang walaupun Siti Hajar sudah beberapa kali meneguk air dari bekasnya. Akhirnya bekalan air dalam bekas itu habis diminum. Rasa dahaganya masih belum hilang lagi. Ini membuatkan Siti Hajar menghentak kakinya ke tanah sebagai tanda kesal bekalan airnya sudah habis.

"Mungkin ada orang di kawasan bukit itu," detik hati Siti Hajar yang melihat bukit Safa, bukit yang paling dekat dengan tempat dia duduk.

Siti Hajar bangkit dari tempat duduknya lalu berjalan pantas menuju ke bukit Safa. Namun, dia berasa kecewa kerana tiada sesiapa pun di kawasan itu. Kemudian, dia turun dari bukit itu lalu berjalan pantas menuju ke bukit Marwah dan melihat sekeliling seandainya ada orang lalu di situ.

Hatinya sedih apabila melihat tiada sesiapa di sana. Siti Hajar berulang kali berlari-lari anak di antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dan kini ia menjadi amalan dalam rangkaian ibadah haji.

Siti Hajar terdengar suara seseorang semasa menaiki bukit Marwah, lalu dia mengadu kepada Allah. Dia takut seandainya terdapat jin atau benda lain yang mengganggunya di kawasan yang tidak berpenghuni itu.

"Ya Allah! Engkau memperdengarkan suara kepada saya. Bantulah saya dan jauhilah kami daripada perkara yang tidak diingini," doa Siti Hajar kepada Allah supaya melindungi dirinya dan anaknya.

Jibrail melihat Siti Hajar dan anaknya dahaga kerana tiada bekalan air. Jibrail menghentakkan sayapnya ke tanah lalu terpancutlah air mata air dari tanah. Air mata air itu terpancut kuat dan laju memenuhi kawasan sekelilingnya sehingga membentuk satu kolam kecil. Siti Hajar dan anaknya meminum air mata air itu sepuas-puasnya bagi menghilangkan dahaga mereka.

"Kamu tidak akan dahaga di Mekah kerana sesungguhnya zamzam merupakan air mata air yang dianugerahkan sebagai minuman tetamu Allah. Ibrahim akan kembali ke sini dan membina rumah Allah bersama Ismail nanti," jelas Jibrail sebelum menghilangkan diri dari pandangan Siti Hajar dan Ismail.

Sumber air itu membuatkan golongan bangsa Jurhum yang selalu lalu-lalang di kawasan Mekah singgah bagi membuat penempatan di sekitar air mata air zamzam.

Walaupun ramai orang berbangsa Jurhum berduyun-duyun berhijrah ke Mekah bagi memulakan penghidupan, namun mereka menghormati Siti Hajar yang pertama tiba di kawasan itu.

l Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Hukuman sebat syariah sejauh mana difahami?





SEBAGAIMANA anda, penulis juga masih agak trauma dengan kes yang disifatkan sebagai satu tragedi yang dilaporkan berlaku di Lembah Swat, Pakistan pada awal bulan ini. Iaitu apabila seorang remaja perempuan disebat, sama ada dengan rotan atau kayu oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali hanya kerana menemui seorang lelaki bukan muhrim. Hanya kerana itu beliau didapati bersalah!

Mengapa dikatakan satu tragedi? Ini kerana hukuman itu lebih menampakkan kezaliman berbanding satu bentuk pengajaran terhadap pesalah. Malah bercakap soal imej, hukuman tersebut sebenarnya telah merosakkan imej Islam!

Atas justifikasi apakah remaja berkenaan dihukum dengan sedemikian rupa, termasuk yang diyakini pastinya lelaki bukan muhrim yang dikaitkan dalam kes ini terlepas daripada menerima hukuman.

Bukan soal telah berlaku satu diskriminasi atau ketidaksamaan gender dalam kes remaja perempuan ini tetapi secara keseluruhan, anggota Taliban berkenaan telah melampaui segala batas peraturan dan undang-undang.

Ini undang-undang rimba yang cuba diciptakan oleh Taliban. Jika kita berkata kepada soal had atau jumlah rotan itu sendiri, Islam telah menetapkan sebatan atau merotan melebihi daripada sepuluh kali dikenakan, jika melibatkan jenayah hudud. Jadi dapatkah anda sifatkan jenayah yang dilakukan oleh remaja ini sebagai hudud?

Dalam kertas kerja yang bertajuk "Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Realiti Perlaksanaan" yang dibentangkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad pada seminar sehari Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata Islam memperuntukkan hukuman rotan kepada dua jenis kesalahan syariah iaitu hudud dan takzir. Hudud melibatkan hukuman kesalahan-kesalahan seperti persetubuhan haram atau zina, tuduhan qazaf dan minum arak.

"Sementara takzir yang bermakna dera yang menjadi pengajaran dengan menjadikan rotan merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan takzir yang serius.

"Satu bentuk hukuman yang berkesan terutama kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya dan didapati sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu," katanya.

Beliau menegaskan, mengikut peruntukan hukum syarak dalam kesalahan jenayah syariah seseorang yang melakukan jenayah yang bukan dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat lebih daripada 10 kali sebatan.

Berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; Janganlah disebat lebih dari sepuluh kali sebatan (jildad) kecuali dalam kes-kes had daripada had-had Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

"Oleh itu, sesuatu kes yang tidak dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat sampai ke batas hukuman dalam kes hudud sebagai hukuman takzir supaya tidak melampaui batas yang ditentukan oleh syarak," katanya.

Sebagaimana Rasulullah dalam satu hadis, bermaksud, "Sesiapa yang menyampaikan (sesuatu hukuman) kepada hukuman had dalam kes bukan had, maka orang itu adalah termasuk dalam golongan orang yang melampaui batas." (riwayat Al Baihaqi)

Merujuk kepada konteks Malaysia, mahkamah syariah di seluruh negara ini mempunyai bidang kuasa yang lebih sedikit berbanding sebelumnya, iaitu diberi kuasa melaksanakan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"Apabila Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dipersetujui supaya diseragamkan di semua negeri dan boleh dikatakan hampir semua negeri menerima pakai. Iaitu bererti tidak ada pesalah yang boleh terlepas daripada menerima hukuman sebatan di negara ini," kata Daud.

Jika Ketua Hakim Syarie ini menjelaskan pada dasarnya soal perlaksanaan hukuman rotan dari perspektif syarie dan sedikit mengenai sejarah hukuman itu sebagaimana yang termaktub dalam perundangan syarie negara dengan negerinya sendiri, Kelantan antara negeri yang terkehadapan dalam melaksanakan hukuman tersebut.

Peguam Bela dan Peguam Cara serta Peguam Syarie terkenal negara, Zainul Rijal Abu Bakar pula menjelaskan lagi mengenai soal cabaran dan halangan dalam perlaksanaan Hukuman Sebat dalam Kes Jenayah Syariah dalam suasana masyarakat di negara ini.

"Hukuman sebat syariah seringkali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat termasuk rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam itu sendiri, akibat mereka tidak memahami peruntukan perundangan itu. Malah lebih teruk lagi, ia disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan perlaksanaannya.

"Sedangkan terdapat peruntukan itu untuk dilaksanakan di seluruh negeri namun hukuman sebat itu hampir tidak dilaksanakan melainkan di negeri Kelantan sahaja," katanya.

Begitupun Zainul menjelaskan, kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

"Namun apa juga bentuk kesalahan yang boleh membawa hukuman sebat, hukuman itu hanya boleh dijatuhkan pada had maksimumnya enam kali sebatan," katanya.

Menurutnya lagi, berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius. Hukuman sebat syarie juga bukan sahaja dijatuhkan kepada kesalahan yang serius, ini termasuk juga kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan yang lain.

Negeri Selangor misalnya mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah-pesalah syarie. Iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan dengan tabii.

"Manakala Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat. Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor.

"Sementara Melaka hanya merotan bagi kesalahan hubungan luar tabii. Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sarawak hampir sama seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor. Perlis pula hanya kesalahan minuman yang memabukkan dan Sabah pula rotan atas kesalahan persetubuhan luar tabii dan persetubuhan haram," kata Zainul.

Kesemua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar.

Bercakap mengenai peralatan sebat atau rotan itu sendiri, mengikut undang-undang syariah alat sebatan yang digunakan kata peguam ini alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

"Tentu sekali yang membezakan hukuman rotan mengikut sivil, pesalah wanita dikecualikan daripada menjalani hukuman ini tetapi melalui undang-undang Syarie, pesalah wanita yang didapati bersalah meminum arak sehingga memabukkan dengan sengaja misalnya, akan menerima hukuman rotan.

"Namun hukuman akan tertangguh pada keadaan tertentu termasuk jika didapati wanita itu mengandung, maka hukuman mesti ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran," katanya.

Melalui Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang diperuntukkan di negara ini, kesemua aspek perlaksanaan hukuman ini dijelaskan dalam bentuk yang terperinci bagi memastikan perlaksanaannya adalah adil.

Manakala, melalui seksyen-seksyen tertentu, peruntukan ini menyentuh siapakah yang seharusnya dilantik sebagai pelaksana hukum, bagaimana sebat dijalankan, bagaimana pesalah diletakkan untuk disebat dan sebagainya.

l Seksyen 125 (3) (e) misalnya berbunyi; "Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi paras kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah."

l Seksyen 125 (3) (i) berbunyi; "Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk."

l Seksyen 125 (3) (h) berbunyi: "Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum Syarak.

Sebagaimana yang pernah diamal dan dilaksanakan di Kelantan, kaedah yang digunakan adalah sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta, tinggal lagi dalam kaedah yang diguna pakai seperti Kaedah 9, ia berbunyi; "Ketika disebat pesalah (tanpa mengira pesalah lelaki atau perempuan) hendaklah berdiri dan memakai pakaian tipis yang menutup aurat mengikut Hukum Syarak."

Zainul juga membincangkan secara lebih luas mengenai aspek perundangan ini terutama jika dibandingkan perlaksanaan hukum rotan yang diperuntukkan dalam undang-undang sivil.

Jadi, untuk menjawab persamaan sebat syariah adalah sama dengan sebat sivil, jawapannya tentu sekali tidak.

"Kengerian melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat Syariah. Ramai yang menyamakan kedua-duanya. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang setelah dua tahun disebat.

"Namun melihatkan aspek-aspek yang diperuntukkan dalam Syariah, ternyata hukuman rotan dalam Islam adalah berbeza malah tidak pun dilaksanakan lagi, sedangkan ia merupakan satu kaedah yang sangat berkesan bagi menangani dan menyelamatkan masyarakat daripada pelbagai gejala.

"Ini jelas menunjukkan halangan untuk melaksanakan sebat dalam syariah hanyalah bersifat metafora dan bukan halangan yang sebenar," katanya.

Dua lagi pembentang kertas dalam seminar yang dihadiri oleh pelbagai pihak yang berkenaan termasuk hakim, peguam, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa yang menyampaikan kertas kerja bertajuk: "Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Masalah dan Penyelesaian".

Sementara Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad menyampaikan kertas kerja bertajuk, "Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah: Satu Pandangan"

Sebagaimana yang disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Jenderal (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika ditemui oleh wartawan di seminar itu, pelaksanaan hukuman rotan bagi pesalah jenayah Syariah di negara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan setelah pelbagai pihak memberikan kerjasama dan kata sepakat.

"Namun yang penting seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum akan diberikan pemahaman yang jelas mengenai hukuman ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi dan pelbagai dakwaan di kemudian hari," katanya.

Menurutnya, hukuman rotan ini tidak lebih bagi memperkasakan lagi perlaksanaan hukuman syariah di negara ini yang selama ini dipandang lekeh kerana denda sahaja, tidak memadai kerana ia begitu mampu untuk dilunaskan oleh para pesalah.

"Begitupun, kita masih mencari model perlaksanaan yang terbaik dan sama sekali tidak akan ada sebarang trauma. Ini kerana perlaksanaan hukum rotan seperti yang dilakukan oleh anggota Taliban, sama ada di Pakistan atau Afghanistan akan kita jadikan pengajaran dan sempadan," katanya.

Antara yang turut hadir di seminar itu, Timbalan Menteri, JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...