terima kasih buat kalian semua..

Monday, August 31, 2009

‘Ulat’ Puduraya lagak samseng



SAYA terpanggil untuk menyuarakan perasaan bimbang terhadap kegiatan ‘ulat’ tiket di hentian bas Puduraya yang didapati melampaui batas dan membahayakan. Sebagai penumpang pengangkutan awam yang kerap menggunakan bas ekspres bagi berulang alik dari Johor ke Kuala Lumpur, kegiatan mereka sudah lama tidak disenangi dan perlu dikawal lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

Pengalaman biasa bagi penumpang apabila menjejakkan kaki ke stesen bas untuk membeli tiket akan diekori ‘ulat’ ini. Apabila tidak dilayan, mereka menukar taktik dengan mengatakan ‘tanya saja’ yang kemudiannya apabila dijawab akan membuatkan penumpang yang menjawab ‘diheret’ ke kaunter tiket syarikat bas yang menggajikan mereka.

Namun, amat mengejutkan saya apabila kebanyakan ‘ulat’ ini bertindak samseng dan mengugut penumpang yang bertindak mendiamkan diri apabila tidak mahu melayan mereka. Saya sendiri baru-baru ini digertak apabila mendiamkan diri dan seterusnya terpaksa mengatakan sudah ada tiket bagi melepaskan diri.

Malah, sempat saya saksikan seorang warga asing ditarik selepas menunjukkan isyarat tangan berbentuk ‘X’ menggunakan kedua-dua tangannya sebaik melihat ‘ulat’ dan diberikan amaran. Saya juga dapati ‘ulat’ ini memakai pakaian seperti orang kebanyakan dan hal ini menyukarkan aduan dibuat.

Meskipun dengan kehadiran penguat kuasa di stesen bas, ‘ulat’ ini tetap menjalankan tugas mereka dan menakutkan beribu-ribu pengunjung ke stesen bas hentian Puduraya setiap hari. Antara cadangan mengatasi masalah ‘ulat’:

l Melarang sama sekali jualan atau promosi atau tukang berkeliaran yang bertujuan menarik pelanggan selain daripada di kaunter tiket.

l Mewajibkan setiap petugas syarikat bas memakai pakaian seragam yang menunjukkan syarikat bas yang menggajikan mereka.

l Meningkatkan rondaan dan penguasaan oleh pihak berkuasa bagi mengekang kegiatan ‘ulat’ terbabit.

Wajarlah perkara ini diberi perhatian serius demi keselesaan pengunjung.

PENUMPANG

GUSAR,

Batu Pahat, Johor.

- macam2 dah cara penyelesaian yang dibuat..memang bernas cadangan2 yg dikemukakan tetapi tiada penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan menjadikan segala cadangan itu hanya menjadi cakap kosong sahaja

penggunaan walkie talkie masih lagi digunakan secara berleluasa..tiket2 bas masih lagi dijual pada harga mahal dan ditukar ketika di atas bas..mustahillah penguatkuasa yang sememangnya bidang tugasnya tidak menyedari perkara ini..

selain ulat2 yang biadap dengan pengunjung, sikap mereka ini tidak pernah berubah sejak dulu..

Sunday, August 30, 2009

Wanita berkuasa di dunia

Oleh Hafizahril Hamid




PADA 20 Ogos lepas majalah kewangan terkemuka, Forbes mengeluarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Menariknya walaupun wanita yang terpilih ini dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh dari 100 mereka yang tersenarai hanya 18 dari mereka terlibat dalam politik. Dari senarai tersebut juga dua wanita yang terpilih merupakan dari golongan bangsawan iaitu Ratu Elizabeth II yang menduduki tempat ke-42 dan Ratu Rania dari Jordan yang berada di kedudukan ke-76. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut tersenarai buat pertama kali pada tahun ini.

Walaupun Michelle merupakan orang yang paling dekat dengan Presiden AS, Barack Obama, namun beliau hanya mampu berada di tangga ke-40.

Selebihnya wanita-wanita berkuasa ini menduduki hierarki tertinggi dalam dunia korporat. Keupayaan para wanita ini sememangnya membanggakan walaupun dari segi kedudukan dan pengaruh politik mereka mungkin dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Namun kejayaan mereka mentadbir dan mengurus syarikat-syarikat terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian turut mampu menggoncang dunia.

Kesemua wanita ini bertanggung jawab mengawal wang tunai berjumlah AS$26 trilion (RM93 trilion ) di seluruh dunia. Namun begitu kegawatan ekonomi yang melanda dunia turut sama menjejaskan kedudukan wanita yang tersenarai tahun lepas sehingga ada di antara mereka yang disingkirkan dari jawatan yang dipegang. Antara mereka ialah bekas presiden syarikat bermasalah Alcatel Lucent, Patricia Russo dan bekas Presiden Morgan Stanley, Zoe Cruz.

Menduduki tangga pertama, Canselor Jerman, Angela Merkel kekal wanita paling berkuasa di dunia bagi tahun keempat berturut-turut selepas majalah tersebut menonjolkan peranannya sebagai pemimpin negara ekonomi keempat termaju di dunia. Beliau yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada September ini dijangka akan terus mempertahan jawatan itu berikutan keupayaannya memimpin Jerman mengharungi kemelut ekonomi dunia.

Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hanya menduduki tempat yang ke-36, satu kedudukan yang dilihat agak terkebelakang berbanding jawatan dan pengalaman beliau. Clinton jatuh dari tangga 28 pada tahun lepas semasa beliau hampir memenangi pencalonan Presiden AS bagi Parti Demokratik ke tangga 36 pada tahun ini, meskipun mengetuai Jabatan Negara AS yang paling berpengaruh. Malah ada yang mempertikaikan pemilihan senarai 100 wanita berkuasa ini kerana Hillary sewajarnya menduduki tempat yang lebih baik.

Antara wanita yang terlibat dalam politik dan menempatkan diri dalam senarai ini ialah Presiden Argentina, Cristina Fernandez yang menduduki tempat ke-11, Presiden Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi tempat ke-13, Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christine Legarde tempat ke-17 dan Presiden Chile yang menduduki tempat ke-22, Michelle Bachelet.

pemimpin wanita

Nama-nama lain ialah seperti Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo yang menduduki tempat ke-44, Yulia Tymoshenko yang juga Perdana Menteri Ukraine, tempat ke-47, Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf tempat k- 67, Mary McAleese yang juga Presiden Ireland, Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigurdardottir tempat ke-75 dan Perdana Menteri Bangladesh Hasina Wajed yang menduduki tempat ke-79. Satu-satunya pemimpin wanita dari dunia Arab yang tersenarai dan menduduki tempat ke-95 ialah Menteri Ekonomi UAE, Sheikha Lubna Al Qasimi.

Bagi wanita yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai wanita berkuasa dari dunia korporat, tempat kedua dalam senarai ini diungguli oleh Sheila Bair yang juga pengerusi Federal Deposit Insurance Corp. Syarikat ini yang bertanggungjawab menginsurankan bank-bank di AS yang kini masih belum selamat dari kemelut kegawatan ekonomi.

Wanita seterusnya adalah seorang yang menarik untuk diperkatakan. Beliau merupakan wanita berusia 53 tahun dan dilahirkan di daerah Chennai dalam Tamil Nadu, India. Beliau turut mendapat pendidikan Madras Christian College di Calcutta sebelum melanjutkan pelajaran di

Yale School of Management. Beliau yang dimaksudkan ialah Indra Krishnamurthy Nooyi atau lebih dikenali sebagai Indra Nooyi yang kini memegang jawatan sebagai

Ketua Pegawai Eksekutif di PepsiCo, sebuah syarikat terkemuka dunia dalam bidang makanan dan minuman.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak dari 2006 dibayar gaji sebanyak AS$6,230,366 (RM 22.3 juta) setahun. Nooyi sememangnya telah tersenarai antara wanita berkuasa dunia sejak memegang jawatan tertinggi di PepsiCo sejak 2006.

Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif syarikat Anglo American yang juga antara syarikat perlombongan terbesar di dunia menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut tahun ini.

Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan besar dalam pelbagai syarikat perlombongan sama ada emas, berlian mahu pun besi dan kuprum seperti DeBeers, MMX Minas-Rio dan AngloGold Ashanti.

Pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perlombongan dan industri minyak dan gas telah menjadikan beliau antara pemimpin yang dihormati dalam industri tersebut.

Tempat kelima senarai tersebut pula diduduki oleh Ho Ching yang juga ketua eksekutif di syarikat pelaburan Temasek Holdings yang dimiliki oleh kerajaan Singapura. Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Beliau pernah mengumumkan untuk berundur dari syarikat yang memiliki aset melebihi AS$100 bilion pada 6 Februari 2009 dan digantikan dengan Charles "Chip" W. Goodyear. Namun pada 21 Julai beliau kekal dengan jawatan tersebut setelah Goodyear berhadapan masalah dengan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Dalam memperkatakan tentang kedudukan wanita, sesungguhnya dunia harus mengakui bahawa kedudukan wanita kini semakin baik berbanding zaman sebelumnya. Di Malaysia. bersesuaian dengan peredaran zaman kedudukan wanita juga semakin baik dalam pelbagai bidang sama ada politik mahupun ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan yang satu ketika dimonopoli oleh lelaki.

Namun begitu kita tidak seharusnya terlalu terikut-ikut dan terpengaruh dengan kehendak Barat yang seboleh-bolehnya mahu kita mengikut rentak mereka dalam semua perkara dari politik mahupun cara kita berpakaian. Kita telah dididik supaya berbangga dengan cara dan acuan kita yang tersendiri. Inilah perkara yang membezakan kita dengan nilai-nilai Asia dan ketimuran yang jauh berbeza dengan mereka di Barat. Janganlah hanya kerana perkara remeh seperti ugutan media Barat dalam isu rotan baru-bari ini kita perlu berasa takut dan terikut-ikut dengan kehendak mereka. Walau apa pun, kedudukan dan peranan wanita di negara ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan adalah diharapkan supaya satu hari nanti nama wanita Malaysia mampu menjadi pegawai tertinggi syarikat ternama dunia seperti yang dilalui oleh CEO PepsiCo, Indra Noir. Pastinya dengan kedudukan sebegini hebat ia mampu membuka mata seluruh dunia terhadap keupayaan wanita negara ini sekali gus melayakkan mereka menduduki senarai antara wanita berkuasa dunia.

Saturday, August 29, 2009

Mutiara Kata: Perkara, perbuatan paling berat dipikul ummah di dunia



IMAM Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya: “ Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Masing-masing muridnya, menjawab: guru; teman, kaum kerabat, isteri atau suami. Imam Ghazali, berkata: ‘Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah mati. Sebab itu janji Allah, bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini? Masing-masing menjawab, bulan, bintang dan matahari. Imam Ghazali membenar semua jawapan itu lalu berkata: yang paling tepat ialah masa lalu. Dengan apapun kemudahan kita, manusia tidak boleh kembali kepada masa lalu. Sebab itu kita perlu menjaga dengan teliti hari ini, esok dan akan datang dengan perbuatan yang dituntut agama Islam.”

Menyoal lagi Imam Ghazali : “Apa yang paling besar di dunia ini?” Pelbagai jawapan yang munasabah diterima daripada anak muridnya dan ia membenarkannya, namun berkata, jawapan paling tepat ialah hawa nafsu (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.”

Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Anak muridnya menjawab dan Imam Ghazali mengiyakan, namun berkata: “Perkara yang paling berat di dunia ialah memegang amanah (Surah Al-Azab : 72). Tumbuh-tumbuhan, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali bertanya: “Apakah perkara yang paling ringan di dunia ini?” Beliau menerima jawapan dan berkata: “Semua jawapan kamu itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.”

Imam Ghazali bertanya, “Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?” Murid-Murid dengan serentak menjawab: “Pedang”. Imam Ghazali membenarkan jawapan itu, namun berkata: “Paling tajam ialah lidah manusia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukakan perasaan orang lain.”


Friday, August 28, 2009

Ramadan rahmat kepada anak yatim


SOLAT berjemaah memupuk silaturahim sesama penghuni Darul Kifayah serta membina peribadi unggul Muslim.


MUNGKIN ramai yang bersetuju, walaupun apa pun kejayaan dan kenangan yang kita kecapi selama hidup ini, ia tidak semanis zaman kanak-kanak atau lebih tepat lagi setiap kali detik-detik menyambut lebaran!

Terlalu indah dan menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika desa yang melatari suasana!

Walaupun siangnya letih lesu dek puasa, namun ibadat itu tidak pernah menghalang untuk mereka melakukan pelbagai aktiviti. Ligat tetap ligat. Mencari tin-tin diikuti meredah hutan belukar untuk mencari batang-batang buluh atau kayu. Semua itu kerana semangat yang tinggi untuk membuat pelita-pelita panjut.

Hasilnya pada waktu malam maka bergemerlapanlah cahaya pelita-pelita itu di sekeliling rumah yang menerangi jalan masuk dan halaman rumah!

Pemandangan yang terhasil itu sungguh indah, malah kita sanggup sekeliling kampung hatta di tengah-tengah malam bagi menikmati suasana yang cukup mengasyikkan itu.

Suasana bertambah meriah apabila sedari siang sehingga ke malam malah sehingga ke titisan embun pagi yang terakhir, kedengaran dentuman dari meriam buluh di sana sini.

Walaupun sangat bingit tetapi tiada siapa yang dapat menghalang kanak-kanak dan remaja malah seorang dua, orang tua yang sama-sama melakukan aktiviti 'pengeboman' itu dari serata ceruk kampung.

Begitu juga bermain mercun dan bunga api, satu lagi aktiviti wajib bagi 'mewarnai' malam-malam Ramadan!

Namun keindahan Ramadan dan Hari Raya bagi seorang kanak-kanak itu turut bermakna, meraikannya bersama ahli keluarga terutama ayah dan ibu tercinta.

Telah menjadi tradisi sehingga kini, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anaknya menyambut Hari Raya tanpa sepatu baru, baju baru segala-galanya baru.

Segala-galanya akan mereka sediakan demi si anak. Apabila di pagi raya, pemandangan yang cukup mengasyikkan apabila si anak-anak yang begitu segak dan comel yang serba serbi baru tadi mengucup kedua-dua tangan dan pipi ayah dan ibu untuk pelbagai pengucapan yang ditujukan khas buat orang tua yang melahirkan.

"Selamat Hari Raya ayah, ibu! Minta ampun maaf dan halalkan makan minum!" merupakan ayat-ayat yang sering kita dengar, dilafazkan oleh si anak.

Suasana yang asalnya hening dan sayu, serta merta bertukar kepada sangat ceria apabila si anak melonjak kegembiraan apabila menerima habuan duit raya dari orang tua.

Sedikit catatan dari pelbagai 1,001 memori Aidilfitri ini mungkin tidak pernah tercatat pada diari si anak yatim. Catatan mereka adalah tersendiri dan menuntut seribu pengertian dan keinsafan dari semua pihak.

Namun pada hakikatnya, Ramadan dan Syawal tidak pernah membeza-bezakan umatnya. Semua individu muslim layak untuk meraikannya.

Malah golongan yang tidak bernasib baik inilah yang patut lebih mendapat keutamaan dan perhatian agar kemeriahan Ramadan dan kegembiraan Syawal itu sama-sama dapat dirasai.

Jika kita selami hidup sebatang kara, tiada ayah dan ibu, seolah-olah kehadiran Ramadan dan Syawal seperti tiada erti. Bagaimana kita dapat meraikan bulan-bulan kebesaran ini sedangkan orang yang kita sayangi dan kasihi tiada di sisi?

Kita tidak nafikan, golongan anak yatim piatu pastinya mempunyai psikologi mereka yang tersendiri. Jiwa mereka menjadi lebih halus dan mudah terusik, lebih-lebih lagi di saat orang lain begitu gembira terutama menyambut Syawal bersama-sama ibu bapa, ahli keluarga dan saudara mara.

Justeru kita selami isi hati anak-anak yang menghuni asrama anak yatim dan miskin Darul Kifayah kelolaan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketika ditemui di asrama mereka di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Kuala Lumpur, seolah-olah berlaku pertembungan dua dunia yang berbeza.

Suasana mereka menyambut Ramadan dan Syawal tidak ada titik persamaan seperti yang dilalui rakan-rakan yang seusia mereka di luar sana.

Malah kadang kala termalu sendiri apabila bercakap soal kualiti berpuasa. Penulis akui, penghuni Darul Kifayah ini tidak memerlukan mercun, bunga api, pelita panjut sehinggalah bersengkang mata untuk membuat biskut Raya bagi sebagai pengisian bulan Ramadan.

Ini kerana mereka begitu mengejarkan pelbagai kelebihan bulan Ramadan, iaitu satu bulan yang menjanjikan rahmat pada 10 hari pertama, berkat pada 10 hari kedua dan maghfirah atau keampunan dari Allah pada 10 hari yang terakhir.

Wan Muhd. Zubair Wan Mohd. Noor, 14, berkata, suasana Ramadan di situ amat berbeza berbanding bulan-bulan lain.

Katanya, apabila tiba Ramadan, mereka diraikan oleh pelbagai pihak dengan jemputan berbuka puasa dan tidak kurang yang menyediakan juadah-juadah yang istimewa di asrama.

"Tidak cukup itu, kami juga dilimpahkan rezeki dengan sumbangan-sumbangan duit raya dan pelbagai hadiah berupa kelengkapan-kelengkapan termasuk baju baru, kasut dan sebagainya bagi membolehkan kami ceria dan gembira menyambut Syawal.

"Sebagaimana rakan-rakan sebaya di luar yang lebih bernasib baik, kami di sini tidak pernah kekurangan malah bersyukur kerana semakin ramai yang prihatin dengan nasib kami," katanya yang telah menetap dua tahun di situ.

Namun semua itu berbeza ketika Zubair mula-mula menghuni di situ. Perasaan sedih, rendah diri, takut, bimbang bercampur baur walaupun dia tinggal bersama seorang abang dan adiknya di situ.

"Saya tidak dapat membiasakan diri dan masa diperlukan apatah lagi tahun lalu adalah kali pertama saya berpuasa jauh dari kaum keluarga dan sanak saudara.

"Sekarang Alhamdulillah, tiada sebab lagi untuk saya menangisi nasib diri, malah yang penting saya bersama-sama penghuni lain, kami gembira dengan cara kami sendiri bagi menyambut Ramadan dan Syawal," katanya yang berasal dari Terengganu.

Mohd. Iskandar Mohd., 14, pula berkata, rezeki yang melimpah ruah dengan pelbagai pemberian dan sumbangan membuktikan bahawa pelbagai pihak juga mahu anak-anak yatim bergembira menyambut Ramadan dan Syawal.

"Mungkin ini tidak dirasai oleh anak-anak di luar sana tetapi kami begitu bersyukur kerana dikurniakan 'durian runtuh.'

"Walaupun setahun sekali tetapi semua sumbangan itu begitu bermakna bagi kami menampung perbelanjaan diri, sekolah dan dapat digunakan di waktu-waktu kecemasan," katanya.

Menurut Iskandar, setiap penghuni mempunyai akaun peribadi bagi menyimpan semua sumbangan duit raya yang diterima. Mereka tidak boleh menggunakan wang berkenaan sesuka hati ini apabila untuk tujuan wang poket, ia telah menjadi tanggungjawab kepada pihak pengurusan untuk memberi wang itu setiap hari.

Remaja perempuan, Nurfatin Pazin, 13, berkata, berpuasa di Darul Kifayah memberi banyak kenangan manis.

"Ini terutama apabila para penghuni di situ mendapat layanan istimewa dari syarikat-syarikat dan individu korporat yang menaja majlis berbuka puasa dan bersahur.

"Suasananya memang menyeronokkan apatah lagi mereka selalu memberikan banyak kata-kata nasihat dan perangsang supaya kami juga boleh berjaya seperti orang lain," katanya.

Tambah seronok apabila para penghuni Darul Kifayah kata Nurfatin, mereka secara dapat berbuka puasa, solat tarawih, bertadarus al-Quran sehingga khatam beramai-ramai.

"Berbanding orang lain, alhamdulillah kami dapat memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan dan melakukan ibadat. Walaupun penat tetapi seronok," katanya.

Teh Maizatul Idayu Mohd. Nazri, 13, yang sebelum ini tinggal bersama ibu saudaranya pula sedih kerana ini kali pertama dia berpuasa di Darul Kifayah.

"Tetapi semakin lama di sini, saya makin serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan baik. Saya belajar hidup bertolak ansur dan berkerjasama.

"Hasilnya, bukan sahaja dapat mengenali ramai kawan tetapi semua penghuni di sini seperti keluarga sendiri, saling bantu-membantu dan berkongsi suka duka," katanya.

Menggembirakan anak-anak yatim antara menjadi tanggungjawab umat Islam yang berkemampuan.

Bercakap soal fadilat dan ganjaran, hayatilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini (Ramadan) Allah akan memuliakannya pada bertemu-Nya di hari akhirat kelak. (riwayat Bukhari)

- inilah sikap warga malaysia..hanya ingat pada yang susah pada bulan puasa saja..kadang2 timbul perasaan benci mengenangkan sikap hipokrit ini..

dibulan ramadhan mereka yg tidak bernasib baik ditatang bagai minyak yg penuh..bila berlalunya syawal mereka ini ditinggalkan hingga ada yang terpaksa meminta derma pula..alangkah baiknya sekiranya mereka ini diraikan sepanjang tahun oleh syarikat2 korporat.. mungkin inisiatif ini boleh dimulakan oleh GLC's..

Head for the Ramadan bazaar in Section 14 to try Kassim’s popiah

PJ Popiah

Aiman Farhah Juahir

POPULAR: The long queue of customers in front of Kassim’s stall

THE Ramadan bazaar at Section 14, Petaling Jaya, may look just like any other Ramadan bazaar. But its main attraction is its Penang popiah stall.

The long queue is as an indication to how good the popiah is. The queue is also the reason why the Petaling Jaya City Council allocates a designated spot solely for the popiah stall to avoid congestion.

People go to the stall and wait patiently, often for hours on end, just to get their hands on the delicious fresh popiah. There were also a number of incidents where people fainted while waiting for their turn. Such is the level of its popularity.

“It’s like this every year,” said Mohd Kassim Ismail, owner of the stall. “I’ve been here for 20 years and it is always the same. Rain or shine, people never stop coming,” he added.

He is not sure how his stall gained so much popularity, but he is grateful that the business he’s running is very profitable.

The popiah business is a family affair. Kassim’s grandfather was the one who started it. It was then passed to his father, then his brother and finally to him.

All in all, the family has been selling popiah for 35 years. Sales are not limited to the month of Ramadan alone. The rest of the year, the family operates a permanent popiah stall at the first floor of Medan Selera Seksyen 14. It is open daily from afternoon to evening.

So why is Kassim’s popiah such a hit among customers?

To many, it is the taste and authenticity that makes it so appealing; even addictive. The recipe was perfected by Kassim’s grandfather, and has remained unchanged ever since. Everything is home-made, from the sauce to the filling.

According to Zamri Malek, 33, Kassim’s popiah stays fresh compared to others he had tasted. He makes it a point to buy Kassim’s popiah at least once every Ramadan.

It is a different story for Mohd Razi Ghalim, 30. He has never tasted Kassim’s popiah, and has been trying to for the past two years.

“People queue up at the stall as early as 2.30pm. By five o’clock, the line reaches staggering lengths. I came early today. Normally I arrive here at about 5pm,” said Mohd Razi. “The popiah would have been sold out by then,” he added.

Luckily for him, his long wait was finally over yesterday. For the first time, he is able to bring home this delicious treat to his family.

Kassim does not calculate his profits until it is the end of Ramadhan. But on average, he makes enough to pay each of his workers approximately RM3,000 by the end of the month. He employs seven people to assist him.

Every day, Kassim and his workers prepare up to 2,000 pieces of popiah, and they are almost always sold out in just a few hours.

When asked about the future of his business, Kassim admits he is not sure whether any of his children would be interested in continuing their family legacy.

“Most of my children are still studying. They have their own ambitions. But I am grateful for this business,” he said.

- kalau pekerja dia pun buleh bayar dalam rm21 ribu sebulan..agak2 berapa tokey dapat???

Thursday, August 27, 2009

Jangan halang pelaksanaan hukum Allah


KES Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, menjadi isu hangat dibahaskan. Ia menarik kerana akan menjadi precedent (ikutan) kepada kes-kes lain yang melibatkan kesalahan minum arak.

Ramai yang tumpang sekaki membicarakan mauduk ini. Walaupun ada di antaranya tidak mempunyai ilmu dalam hukum syariah.

Seperkara yang perlu kita ingat, agama bukan soal perasaan, emosi atau apa yang kita rasa. Agama adalah perintah Allah. Ia tidak membezakan jantina, pangkat atau warna kulit.

Sebab itu, dalam bab wuduk misalnya, wuduk kita akan batal apabila kentut. Dan kita disuruh mengangkat hadas kecil semula.

Logiknya, kalau kentut itu membatalkan wuduk, sepatutnya bahagian di mana keluar angin itulah yang dibersihkan. Tetapi hukum Allah bukan hanya bersandar kepada logik semata-mata.

Apabila kita mengucap syahadat, maka kita sudah ditaklif dengan hukum-hakam. Ini bermakna kita perlu mematuhi apa yang disuruh dan dilarang di dalam Islam. Ia termasuk juga dengan larangan minum arak.

Dalam al-Quran, pengharaman arak dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui penurunan empat ayat Allah iaitu dalam Surah an-Nahl, ayat 67; Surah al-Baqarah, ayat 219; Surah an-Nisa', ayat 43 dan Surah al-Maidah, ayat 90..

Ayat dalam Surah al-Maidah inilah yang mengharamkan arak secara sekali gus.

Jumhur fuqaha mengharamkan arak disebabkan ia adalah najis dan memabukkan.

Dalam ayat itu, Allah berfirman yang maksud-Nya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan".

Sepatutnya, umat Islam menghormati Kartika dan juga Mahkamah Syariah yang telah menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam kali sebatan ke atasnya.

Yang tersirat, wujud tanda keinsafan pada Kartika. Lalu beliau mahu bertaubat sebab itu minta disegerakan pelaksanaan hukuman.

Mudah-mudahan dengan taubatnya, Allah mengampunkan dosa beliau dan Kartika terlepas daripada dihukum di Padang Mahsyar kelak.

Sebatan mengikut syarak tidak 'sekejam' rotan dalam mahkamah sivil. Penyebatnya tidak boleh mengangkat tangan lebih daripada ketiak.

Ia lebih kepada memberi pengajaran. Tidak memudaratkan kesihatan apatah lagi mengancam nyawa.

Malah, jika dibandingkan dengan hukum Islam atau hudud dalam bab minum arak ia jauh lebih ringan.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: "Sesungguhnya seorang lelaki yang meminum arak telah dihadapkan kepada Nabi SAW. Kemudian Baginda telah memukulnya dengan dua pelepah kurma sebanyak empat puluh kali".

Justeru, jangan kita polemikkan perkara yang sudah jelas atau qatie dalam Islam. Mempertikaikan hukum Allah bermakna kita mempertikaikan sistem keadilan Allah yang Maha Mengetahui. Walhal arak adalah ibu segala maksiat.

Hukum Allah bukan diukur kepada kesannya kepada yang bersalah tetapi kegerunan yang timbul kepada manusia untuk melakukan kesalahan yang sama.

Demikianlah, janji Allah bagi mereka yang melaksanakan hukumnya.

Akhirnya, dengan terlaksana hukuman sebat akan terhindarlah masyarakat Islam daripada keruntuhan akhlak, perbuatan keji dan jenayah.

- biarlah hakim2 yang dilantik yang memutuskan..berdasarkan ilmu2 yg ada..jika undang2 itu telah dibuat, kenapa perlu dipersoal bila hendak dilaksanakan..jika jenayah sivil tiada yang membantah, kenapa jenayah dalam islam hendak dibantah pula..lebih sedih dibantah oleh orang islam sendiri..

jenayah sivil dilihat keaslahan besar, oleh itu adakah jenayah meminum arak dalam islam dianggap kecil, atau mungkin meminum arak yang sudah menjadi kebiasaan pada hari ini maka dilihat hukuman ini sudah tidak releven dengan kemodenan semasa..

ingatlah wahai umat islam..islam itu sesuai untuk sepanjang zaman..jangan sekali2 kita berasa besar diri dan kufur kepada allah..wallahuaklam

Anjuran memberi sedekah



kIta digalakkan bersedekah terutama dalam bulan Ramadan.


UMAT Islam juga amat dianjur membanyakkan amalan bersedekah dalam bulan Ramadan. Banyak hadis Rasulullah yang membicarakan tentang anjuran dan kelebihan bersedekah.

Antaranya, sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa ditulis baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa berkurang walaupun sedikit". (riwayat Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. a menyatakan bahawa: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulullah, Sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Rasulullah bersabda: "Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata: Harta ini untuk si pulan, harta ini untuk si pulan, padahal harta engkau itu memang akan diwarisi (dimiliki) oleh orang lain. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: Ya Allah, berikanlah ganti (kembangkanlah harta) bagi orang-orang yang berinfak (menghulurkan sedekah) dan satu yang lain pula berdoa, "Ya Allah, binasakanlah harta orang-orang yang kikir (kedekut). (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Hakim ibn Hizam r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya. (riwayat al-Bukhari)

Konsep penghayatan Ramadan sebenar

Mutakhir ini manusia bergembira dengan kedatangan bulan puasa, mereka memperolehi pada bulan Ramadan kebaikan dan keberkatan. Namun amat sedikit mereka yang melaksanakan puasa menurut cara yang diredai Allah SWT menerimanya dengan penuh ketaatan, tekun beribadah dan menunaikan kewajipan yang ditaklifkan ke atas diri masing-masing.

Terkadang pelbagai bentuk perilaku yang ditegah oleh agama sengaja dilakukan dalam bulan Ramadan, seperti membazir, melalaikan solat, melayani program-program televisyen yang melalaikan, menghabiskan waktu dengan melepak di jalanan. Semua perlakuan ini dilakukan dengan alasan kerana letih sambil menunggu waktu berbuka.

Seringkali perasaan malas segera menyelinap masuk bagi setiap diri yang enggan menahan rasa payah dan penat selama berpuasa. Pelbagai alasan dijadikan sandaran bahawa puasa sering dikaitkan atau sinonim dengan istirehat, sehingga membawa kesan negatif kepada produktiviti kerja yang cenderung menurun dan pudar.

Menolak pelbagai alasan negatif di atas, madrasah Ramadan sebaliknya mendidik kita untuk mampu lebih survival dan lebih memiliki semangat juang dan daya tahan fizikal dan mental yang kuat. Allah SWT memerintahkan puasa untuk menguji manakah kalangan hambanya mencapai tingkat takwa.

Abu Hamid al-Ghazali berkata, Ramadan itu mempunyai tiga darjat: Pertama, puasa umum iaitu puasa menahan diri daripada syahwat.

Kedua, puasa khusus iaitu puasa menahan pendengaran, penglihatan, tangan lidah dan semua anggota daripada dosa.

Manakala ketiga, puasa khawas al-khawas iaitu puasa hati dari mengejar perkara yang keji dan memikirkan tentang perkara duniawi serta menjaga seluruh anggota dari segala bentuk dosa. Puasa yang ketiga inilah (khawas al-khawas) merupakan puasa hamba-hamba yang soleh.

Mereka menjaga penglihatan dari perkara yang dibenci Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Pandangan itu merupakan panahan daripada panah-panah iblis la'natullah, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakannya keimanan dan merasai kemanisan iman didalam hatinya. (riwayat al-Bukhari)

Mereka menjaga lidah daripada berkata dusta, ghibah, mengadu-domba dengan sentiasa mengingati Allah SWT, membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah dia berkata keji , jika ada yang memeranginya atau mencercanya maka katakanlah: Aku sedang berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mereka menjaga pendengaran dari perkara yang dibenci Allah SWT seperti mendengar perkara yang dusta. Justeru Allah SWT meletakkan kedudukan yang sama bagi pendengar kata dusta dan golongan yang suka memakan segala yang haram.

Firman Allah yang bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). (al-Maidah: 42)

Mereka menjaga seluruh anggota tubuh badan seperti tangan, kaki dan perut daripada perkara yang larang. Tidak memperbanyakkan hidangan atau juadah berbuka puasa sehingga menyebabkan berlaku pembaziran. Tidak memakan hidangan yang syubhat dan haram ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barangkali di kalangan hamba yang berpuasa tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada puasanya melainkan semata-mata lapar, dan barangkali di kalangan hamba yang melakukan qiam (qiamulail) tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada qiamnya melainkan berjaga malam semata-mata. (riwayat Ibn Majah)

Kalangan ulama berpendapat bahawa golongan yang dimaksudkan melalui hadis ini ialah pertama, iaitu orang yang berpuasa tetapi berbuka dengan makanan yang haram.

Kedua, orang yang menahan dari makanan yang halal dan berbuka dengan ghibah (memakan daging saudaranya) yang diharamkan.

Ketiga, orang yang tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan segala bentuk dosa. (al-Ghazali: Ihya' 'Ulum al-din)

Sesungguhnya, detik Ramadan apabila dijalani dengan penuh takwa, sabar di samping kerendahan hati mampu menyingkap hijab ketinggian hati dan kesombongan sehingga seorang Muslim akan mampu menerima segala tuntunan dan tuntutan agama ini dengan hati yang lapang.

Setiap amal kebaikan seorang Muslim selain puasa akan dibalas dengan ganjaran kebaikan yang tertentu dan setimpal. Adapun amalan puasa, tidak diketahui ganjarannya kecuali Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah baginya melainkan puasa kerana puasa hanya untukKu, dan Akulah yang akan memberikan pahalanya. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya peluang Ramadan dan pintu angan-angan dibukakan kesekian kalinya bagi ahli kubur, nescaya mereka meronta-ronta untuk hidup kembali meskipun hanya untuk sehari di bulan Ramadan.

Mereka mengimpikan rahmat Allah SWT, ingin kembali memperbaiki dan menampung ruang-ruang yang amalan yang cacat, menghidupkan siangnya dengan membaca al-Quran, menambah iman, menghidupkan malamnya dengan ibadah solat-solat sunat, berdoa, menangis, merintih memohon keampunan dan kebebasan dari neraka.

Di manakah hambanya yang mendambakan cinta Allah? Di manakah hamba yang ingin membersihkan hati? Di manakah hamba yang ingin kerehatan hati dan ketenangan fikiran?

Di manakah hamba yang ingin memperbaiki produktiviti amalannya? Di manakah hamba yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat?

Wahai hati-hati yang sering lalai dan alpa, sesungguhnya peluang taubat bagimu terbentang luas. Di Ramadan ini Allah SWT sentiasa memanggil dan menghamparkan keampunan buat sekalian hambanya atas setiap dosa siang dan malamnya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Musa r.a Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu malam bagi pelaku kejahatan di siang hari, menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu siang bagi pelaku kejahatan di malam hari sehingga terbit matahari dari sebelah barat. (riwayat al-Imam Muslim)

Allah SWT juga menyiapkan pintu khusus iaitu al-Rayyan bagi orang yang berpuasa untuk masuk syurga-Nya pada hari kiamat kelak.

Pendek kata sebagai kesimpulan renungan, apakah Ramadan yang bakal dijalani selama tempoh sebulan melalui tarbiyah intensif ini bakal menjanjikan satu transformasi positif dalam menghayati erti kata Ramadan yang sebenar atau sebaliknya?

Rebutlah peluang beribadah dan bertaubat menyesali setiap kesilapan selama Ramadan dan lentera keampunan Allah SWT terbuka luas, selama jantung berdegup.

Kelebihan Ramadan dan orang yang berpuasa



DALAM bulan Ramadan, diam orang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.


RAMADAN datang lagi. Umat Islam di seluruh dunia kini begitu sibuk beribadah, termasuk menggandakan ibadat pada bulan yang mulia ini. Ramadan amat sinonim dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu berpuasa.

Ibadat yang mempunyai seribu satu macam rahsia dan hikmah. Begitu juga ia membawa kepada banyak pahala dan keuntungan bagi mereka yang berpuasa serta melakukan ketaatan pada bulan Ramadan.

Dibincangkan di sini fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:

Pertama: Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam."

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan keistimewaan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan yang dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

Kedua: Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari : Sesungguhnya dikatakan pada syurga, tidak dikatakan bagi syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

Ketiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

Keempat: Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: "Puasa merupakan perisai." Dan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat."

Ini kerana, puasa mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pada ghalibnya (kebiasaannya), mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

Kelima: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

Keenam: Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: "Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

Ketujuh: Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak".

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

Kelapan: Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: "Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan".

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa, sekalipun mereka diam dan tidur.

Kesembilan: Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam."

Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

Kesepuluh: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa."

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

Kesebelas: Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: "Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya".

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal. Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.

Tuesday, August 25, 2009

Kemalangan itu 'mengajar' bahawa Allah sentiasa di sisi...

OLEH: Azamin Amin

Alhamdullilah, Allah masih sayangkan saya dan mengajar hidayah baru, buat manfaat semua.

Kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, kira-kira 8.30 pagi dalam perjalanan saya menuju ke pejabat Harakahdaily yang baru. Hari baru dengan semangat yang baru, getus hati.

Waktu itu, saya memandu laju mengekori sebuah kereta Avanza putih yang menuju hampir ke persimpangan Setiawangsa, di mana lampu isyarat simpang sedang menyala kuning...lalu

Dengan tidak semena-mena Avanza itu, mengambil keputusan untuk berhenti!

Saya tergamam lantas menekan brek secepat mungkin sambil cuba membelok ke kanan untuk mengelak sipi. Namun takdir Allah sampai jua, apabila kereta saya bertembung bahagian belakang Avanza tersebut.

"Dummm!!!!"

Berdentum kereta saya. Bergegar tubuh dan kejang kaki tangan menahan stering dan brek. Kereta terbabas ke tepi, nyaris tidak 'dibalas' kereta dari belakang. Ketika itu, mata saya mula berpinar dan sempat mengucap panjang serta beristighfar. Minit yang pertama, saya tersentak dan diam seketika. Pelbagai perkara menerpa dalam kepala tanpa dipaksa.

Masalah-masalah dunia timbul secara borong. Saya mula memikirkan perjalanan kehidupan anak-anak, isteri esok hari. Bagaimana ke sekolah, ke tempat kerja? Apa cara untuk kais wang ribuan ringgit akibat kemalangan ini? Bagaimana kerjaya saya dan terfikir juga, bagaimana kalau pemandu Avanza mengeluarkan beluti atau besi, paling tidak memaki saya, seperti kebiasaan bergaduh dan bertengkar selepas pelanggaran kereta yang berlaku, di mana-mana?

Minit kedua, saya melihat tubuh masih sempurna cukup sifat. Tiada secebis darah yang terbit di muka. Tuhan Maha kuasa, walau terasa seinci nyawa hampir 'terpisah' dari jasad pemandu, namun saya masih bernafas lagi.

Asap mulai merayap keluar dari sudut bucu kereta 'marhaen' saya. Habis kereta saya, remuk bahagian depan, bonet dan enjin. Gear tidak berfungsi.Lampu hancur manakala pintu sukar dibuka, namun saya berjaya meloloskan diri dengan payah untuk keluar, lantas bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Dengan tenang saya berdoa dalam hati: "Ya Allah, permudahkanlah urusanku ini..."

Saya lalu, terpa pemandu Avanza tersebut, dan syukur dia juga selamat tanpa sebarang luka. Sebelum dia sempat mengeluarkan butiran kata-katanya, saya terus meminta maaf berulang kali atas kejadian yang terjadi.

Saya terus mengaku bersalah. Biarpun dia berhenti ketika lampu isyarat kuning masih menyala dan keretanya tidak 'cedera' teruk, saya tetapwajar dipersalahkan.

Sambil menggeleng kepala, dia berbahasa inggeris satu persatu memperkenalkan dirinya kepada saya. Rupanya dia warga Korea dan tidak fasih berbahasa Inggeris.

"What to do now?" soalnya agak panik dan sangkut-sangkut kepada saya, sambil melihat kenderaan berjujut panjang kerana kesesakan yang baru saya 'cipta' sebentar tadi.

"Both of us have to make a police report, to settle this down..." jelas saya.

Dia setuju, lalu dengan rasa malu, saya memohon untuk menumpangnya, memandangkan kereta saya sangat 'parah' dan tidak boleh dipandu lagi. Selepas menyalakan lampu 'Hazard' di kereta, kami bersama-sama ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk membuat laporan.

Dalam perjalanan hampir sejam dicampur gelumang kesesakan lalu-lintas, maklumlah waktu puncak jam 9.00 pagi, saya sempat bersembang dan 'tekanan tinggi' yang kami hadapi sebentar tadi, kami 'tukarkan' menjadi satru perkenalan persahabatan yang baik.

"Maybe, you don't trust me, so would you like to call your friend or agent or anybody to inform your situation, so that, they can advise you whatsoever...," kata saya 'broken' English.

Di balai polis, kedua-dua membuat laporan, dan saya menjadi penterjemah tak bertauliah kepadanya. Sekali lagi, nilai-nilai kemanusiaan juga menyerlah apabila anggota polis di sana turut melayan kami dengan baik

Seorang sarjan polis kehairanan, dengan tingkah laku saya yang prihatin terhadap pemandu Korea itu. Iyalah...saya rasa bersalah dan rasa patut membantunya sehingga selesai.

"Encik... selesaikan urusan encik dahulu. Tak perlu bimbang hal dia, dan biar dia serta syarikat insurannya uruskan.

"Maaf sarjan, dia orang Korea, dia tak berapa tahu prosedur dan kalau boleh saya nak tahu caranya," jawab saya.

"Tak pe, nanti saya jelaskan padanya dan minta dia hubungi agen dia. Encik tak perlu bimbang ya. Tapi saya nak minta maaflah, terpaksa keluar saman RM300.00 kerana kesalahan encik melanggar kereta dia," katanya membuatkan saya mula resah sedikit dan tunduk, sambil akui kesalahan saya.

Melihat raut wajah saya yang mulai kusut, sarjan itu tersenyum :" Sudahlah encik, yang berlaku dah berlaku...bertenanglah. Tak pe saman ini, saya bagi tempoh selepas Raya nanti ya," katanya membuatkan saya kembali lega.

Sarjan, itu cukup baik melayan kami berdua. Ya , dia polis, pun manusia yang punya hati dan perasaan juga. Kami lantas beredar setelah selesai semua urusan. Ketika warga 'Sonata Musim Salju' menghantar saya berhampiran pejabat, dia ucapkan terima kasih seraya berkata

"You are good person. Thank you,"

Allah, telah permudahkan urusan saya, maka benarlah janji Allah untuk menolong saya, ketika saya ditimba musibah. Dan antara hikmah yang upaya saya terokai, dengan pelanggaran saya ini, orang lain dapat menjalankan tugas dan tanggangjawab dengan baik. Dan antaranya merupakan 'rezeki' buat mereka.

Dari penarik kereta (tow truck), agen syarikat insuran, polis, bengkel kereta semuanya berperanan hari itu, malah mendapat rezeki yang ditentukan Allah, akibat kecuaian saya, seperti pemandu teksi yang menghantar saya ke tempat kerja hari ini, mendapat hasil RM12.00 dari poket saya.

Selain itu, Allah mahu menampakkan nilai-nilai baik yang ada pada manusia, yang mungkin belum pernah ditemui sebelum ini. Malah Allah, mengajar saya, bersangka baik dengan manusia dan melakukan yang terbaik sesama insan.

Itu semua janji Allah. Adakalanya ianya saling berkait antara satu sama lain. Selain itu, hikmah paling besar, ialah menghapus dosa lampau, dan mengajar saya bukan untuk berhati-hati tetapi 'lebih' berwaspada di atas jalan raya dan di mana-mana.

Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya."

Ujian bertali arus, bertubi-tubi

Setelah selesai semua, kereta ditarik ke bengkel berhampiran Kampung Baru untuk diperbaiki selama dua minggu. Sebaik pulang ke rumah, isteri memaklumkan pula anak sulung saya demam dan batuk-batuk.

Aduhai, betapa debarnya hati dan saya terus kuatkan semangat dengan ujian yang menimpa sambil terus tidak putus-putus berdoa.

Semua Allah 'aturkan' dengan baik. Dengan simpati pengasuh, saya dapat meminjam kereta, lalu membawa anak ke klinik pula. Di klinik, berpusu orang ramai cuba mendapatkan rawatan, semua bimbang wabak maut influenza A H1N1 ini. Syukur, anak saya disahkan demam biasa dengan simpton-simpton yang ada.

Berselirat juga fikiran saya pada mulanya untuk menangani semua. Rupanya, sehebat mana kita sekalipun, kita akhirnya kena bergantung sepenuhnya untuk Allah menjaga kita dan seisi keluarga setiap hari, ketika dan masa. Tak mampu saya nak buat semuanya. Udara yang merayap dan wabak yang merebak, hanya Allah sahajalah yang mampu membendung.

"Senjata orang mukmin itu, doa. Berdoalah, nescaya Allah kabulkan," itu kata-kata nasihat ahli agama.

"Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Al-Israa :82)

Rupanya setiap masalah kita kena selesaikan kes demi kes atau satu persatu dan bukan cuba menyelesaikannya secara borong. Dari masalah kewangan, kerjaya, kesihatan, keluarga dan apa saja, kita kena selesaikan secara tenang dan satu demi satu.

Itulah saya tidak tahu apakah, hikmah Allah menumpahkan ujian bertubi-tubi kepada saya. Yang pasti Allah tidak pernah zalim dan tidak buat perkara sia-sia atau untuk suka-suka.

Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, saya akan memanjatkan doa yang lebih kurang bunyinya begini:

"....ya tuhanku, selamatkanlah kedua ibu bapa kandungku, isteri, anak-anakku, adik-adikku dan kaum keluargaku daripada pelanggaran kereta, kemalangan jalan raya atau apa saja bencana yang disebabkan oleh kecuaian manusia.......,"

Tetapi saya tetap menerima ujian cukup hebat ini. Bila saya fikir dan ingat balik, rupanya saya hanya berfikir kecuaian manusia, sedangkan kecuaian diri sendiri saya tidak minta Allah hindarkan dan sepatutnya saya berdoa....

"Ya, Allah selamatkanlah kaum keluargaku daripada kecuaian dan kelemahan disebabkan oleh aku....."

Saya ceritakan hal doa kepada bonda, yang mengalirkan air mata melihat keadaan saya, yang bertali-arus ditimpa pebagai ujian.

"Azamin doa setiap hari mak, tapi jadi juga, kenapa ya?

"Sebenarnya, takdir itu telah Allah janji pasti terjadi... namun doa itu, menyebabkan kita tidak cedera parah, kereta tidak teruk sangat, dan kedua-duanya tidak melayang nyawa.

"Dan doa kita tidak boleh putus, terhenti akibat kejadian ini, dan kita disuruh berdoa lagi supaya, ianya tidak berulang lagi atau kalau takdir terjadi tidak teruk lagi," jelas ibu sambil teresak-esak bersyukur anaknya selamat.

"Demi waktu matahari sepenggalahan naik, dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada pula benci kepadamu, dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan.Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Surah ad-Dhuha ayat 1- 5

Sebenarnya, kemalangan yang hampir meragutkan nyawa ini, bukanlah pertama kali bahkan telah melintasi saya sudah tujuh kali sehingga menjadi trauma kepada saya, namun tidak berhasrat menceritakan semua, bimbang perasaan riak dan takbur tiba-tiba menerpa. Cuma yang pasti, kuasa semua di tangan Tuhan.

Jip terbalik seiring laungan Takbir!

Ketika itu, saya berkerja buruh bersama rakan Muhammad Fadhil, memunggah anak-anak benih getah di kaki bukit di suatu lokasi di Sungai Buloh dan dengan kerjasama RISDA, kami perlu menanam lebih 3,000 anak-anak pokok getah. Memunggah ke kaki bukit kerja kami dan menanamnya pula kami upah Orang Asli.

Kami lakukan kerja memunggah dari bawah ke kaki bukit pada sebelah pagi. Kami menaiki jip 1 tan, boleh muatkan 3 orang. Sekali naik boleh letak 200 benih pokok getah di bahagian belakang.

Saya melakukan kerja itu, sebulan lebih, sehingga kulit saya hitam, bertukar warna, kerana terik dibakar mentari. Ketika balik kampung, ibu saya, bercucuran menangis melihat keadaan saya yang kurus, hitam dan botak seolah-olah baru keluar dari penjara ataupun baru melakukan kerja teramat teruk.

Memang kerja teruk, memunggah anak-anak pokok getah setiap hari. Itu belum campur, gerun kalau-kalau harimau menjelma di balik belukar.

Suatu pagi yang bening, ketika jip 'mendaki' bukit, tiba-tiba di pertengahan jalan, enjin jip terhenti serta-merta. Tiba-tiba 'brek' dan 'hand brek' 'tak makan' dan tak berfungsi.

Apa lagi, mengelungsurlah jip kami ke belakang dengan lajunya menuju curam di bawah. Saya dengan panik bertempik dan jerit:

"Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!

Sekuat hati kami laungkan kalimah besar Tuhan itu, dan entah macamana, jip kami terbalik sebanyak dua kali dan tersadai di tengah-tengah bukit serta-merta, tidak jatuh ke curam yang dalam.

Saya dan rakan ketika itu berada dalam keadaan terbalik, kepala di tanah mendongak ke langit dan kakit terapung ke atas. Dengan saki-baki kekuatan yang ada, saya dan rakan cepat-cepat keluar daripada jip, khuatir ia jatuh ke curam.

Saya dan rakan dalam keadan mabuk-mabuk angin. Dan saya tidak dapat menahan lagi, lalu muntah.....

Kemudian secepat mungkin kami pergi ke gigi sungai berhampiran, membasuh muka, sambil meneguk air menghilangkan rasa loya dan pening. Sekembalinya ke tempat kejadian, kami lihat 'sekampung' Orang Asli telah mengerumuni jip tersebut sambil memandang kami dengan mata yang buntang.

Terus bercerita tentang Kuasa-Nya...

Kata Tok Batin, dia sudah mengarahkan orang-orangnya mencari saya dan rakan kalau-kalau jumpa di celah curam.

"Kami cari mayat tak jumpa, rupanya kamu masih hidup," katanya sekaligus membuatkan berjurai air mata saya, mengenangkan nyawa saya diselamatkan Allah jua.

Begitu juga, ketika masih kecil sekitar 1980 ketika usia 6 tahun, saya dan seisi keluarga terlibat dengan kemalangan jalan raya apabila sebuah kereta Nissan melanggar kereta kami, Toyota berwarna merah. Hari itu, minggu Tahun Baru Cina.

Nissan itu terbabas di dalam parit besar betul-betul berhadapan Balai Polis Bagan Serai, Perak manakala kereta kami kemek dan remuk teruk dihentam kereta itu, dan di seret ke tiang elektrik berhampiran.

Mujurlah, walaupun dalam keadaan bahagian hadapan dan belakang kereta kami hancur dan terpaksa guna khidmat polis dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkan kami, namun kami tidak cedera. Maha kuasa tuhan yang menciptakan manusia.

Tahu saya di mana ketika itu? Saya terperusuk di bawah kerusi belakang, ketika sedang nyenyak tidur. Maha suci Allah menyelamatkan saya untuk terus bercerita...tentang kekuasaan-Nya sehingga kini. Amin.

"Selamat menyambut dengan penuh gembira dan ceria kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, moga terus tingkatkan doa dan amalan kepada Tuhan yang menyayangi kita sentiasa..." - dari saya Azamin Amin.

(Semoga saudara, saudari sudi mencebiskan kata-kata semangat, pandangan dan teguran kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )

Susah sangat ka...


KUANTAN 24 Ogos - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz hari ini.

Menurut beliau, arahan itu diterima menerusi sepucuk surat daripada Abdul Rahman yang menasihati hukuman sebat berkenaan ditangguhkan kerana tidak sesuai dijalankan pada bulan puasa.

"Hukuman itu bagaimanapun masih kekal kerana ia akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini," kata Mohd. Sahfri kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kes Kartika Sari Dewi, 32, yang sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor dari Ipoh hari ini bagi menjalankan hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya 'tidak dapat dilaksanakan sekarang.'

Penolong Pengarah JAIP, Sharifuddin Zainal Ariffin berkata, hukuman tersebut tidak dapat dilaksanakan sekarang.'

Berikutan itu, Kartika Sari Dewi membuat laporan di Balai Polis Kuala Kangsar hari ini untuk mengesahkan bahawa dia tidak lari dari hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya.

- difahamkan ini ialah hukuman pertama seumpamanya nak dilaksanakan di malaysia, sebuah negara islam yang sudah 52 tahun merdeka.. amalan hukuman ini perlu diadakan pada setiap hari..terlalu susah sangat ka nak jatuhkan dan jalankan hukuman..??

bulan puasa tak sepatutnya dijadikan alasan untuk melaksanakan perintah allah.. negeri lain pun sepatutnya dah lama buat..susah sangat ka nak tangkap org minum arak..pergilah ke mana2 pusat hiburan..aku takut tak larat nak rotan je..

benda kesalahan kecil minum arak pun susah sangat nak buat, apatah lagi kalau hukuman bunuh dan potong tangan..

Majlis Peguam mahu sebat dihapuskan


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Majlis Peguam hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan agar menghapuskan hukuman sebat untuk apa jua kesalahan jenayah.

Menurut kenyataan itu, Majlis Peguam mengutuk dan menolak hukuman sebat kerana tidak bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang penuh dengan perasaan belas kasihan.

"Malah, hak asasi manusia antarabangsa juga mengutuk hukuman sebat dan apa jua hukuman dera. Hukuman ini dianggap sebagai zalim, tidak berperikemanusiaan dan kami menggesa kerajaan untuk menghapuskan hukuman sebat ini," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, hukuman sebat terbukti bukanlah suatu hukuman yang boleh dijadikan teladan kepada orang lain.

Dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarnor pula, Majlis Peguam berpendapat, terdapat beberapa alasan yang boleh digunakan untuk menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap Kartika.

Di bawah undang-undang sivil, hukuman sebat ke atas wanita adalah dilarang sama sekali. Hukuman rotan keatas beberapa lelaki mengikut taraf kesihatan dan umur juga dilarang,

Majlis Peguam juga menggesa kerajaan supaya menarik balik segala hukuman yang telah ditetapkan keatas Kartika.

- depa ni tak paham.. ini undang2 islam..hukuman hanya untuk orang islam..kenapa penganut agama lain nak bising..umat islam juga sepatutnya tak bising sebab hukum ini adalah pelaksanaan perintah allah.. berani sangat dah ka nak tentang hukum allah..

Tak patut timbul keraguan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

APABILA timbul isu umat Islam perlu berhati-hati berbuka puasa di hotel kerana juadah yang disediakan belum dapat ditentukan halal atau haram, maka ramai yang tertanya-tanya mengapa boleh jadi sedemikian rupa.

Isu tersebut sama sekali tidak sepatutnya timbul di Malaysia yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam dan diakui di peringkat antarabangsa. Sepatutnya di negara ini pematuhan terhadap garis panduan halal dan haram dipandang serius oleh semua pihak.

Sepatutnya umat Islam di negara ini tidak perlu ada rasa cuak atau was-was untuk berbuka puasa di hotel-hotel atau restoran-restoran besar kerana status Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menidakkan timbulnya keraguan seumpama itu.

Atas dasar negara Islam itulah pengunjung-pengunjung dari Asia Barat semakin membanjiri negara ini kerana bagi mereka selain tarikan alam semula jadi, Malaysia juga menawarkan kemudahan makan, minum dan tempat tinggal 'halal' tanpa perlu ada keperluan untuk melihat logo-logo yang dipamerkan.

Tetapi jangkaan mereka itu tidak tepat. Seorang kenalan yang berbulan madu di negara ini pernah membangkitkan soal logo halal yang dipamerkan di restoran-restoran di negara ini, sedangkan menurut beliau sebagai negara yang penduduknya majoriti beragama Islam, isu tersebut tidak sepatutnya timbul.

Sebelum datang ke negara ini, beliau bertanggapan tidak akan timbul masalah untuk mencari restoran halal atau tidak akan ada logo halal tergantung di luar premis semata-mata untuk mengesahkan makanan yang disediakan adalah halal.

Dalam pemikiran beliau, setiap premis menjual makanan boleh dimasuki tanpa was-was kecuali yang diuruskan oleh bangsa-bangsa lain yang sepatutnya tergantung di luar premis itu 'tidak halal'.

Pandangan beliau itu sememangnya menarik perhatian lantaran amalan di negara ini restoran yang menyediakan juadah tidak halal berselerak di sana sini dan bagi orang luar yang tidak biasa dengan amalan tersebut menyangkakan ia adalah premis halal.

Semakin mengundang kepelikan apabila fakta dan angka menunjukkan hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara yang dapurnya diiktiraf sebagai halal.

Tentunya maklumat itu sangat tidak sesuai dan tidak selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang majoriti penduduknya beragama Islam di mana soal halal haram tidak boleh dipandang ringan.

Tentunya statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia yang menunjukkan hanya 27 hotel mempunyai dapur utama yang diiktiraf halal bukan petunjuk yang memberangsangkan.

Angka tersebut jika disebut di London atau Thailand mungkin tidak akan dipersoalkan tetapi apabila dikaitkan dengan Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, satu tindakan drastik mesti diambil untuk membetulkan keadaan itu.

Dalam keadaan kerajaan kita bersungguh-sungguh mempromosikan hub halal, statistik tersebut menunjukkan arus yang bertentangan dan amat menyedihkan terutama kepada umat Islam di negara ini yang setiap kali Ramadan menjadikan hotel sebagai destinasi utama berbuka puasa.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa termasuk kerajaan sendiri melaksanakan dengan serius setiap arahan berkaitan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Langkah itu penting supaya orang luar dapat menilai bahawa pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam bukan semata-mata kerana acara rasmi dan keupayaan negara menjadi pengerusi pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, pengiktirafan itu mencakupi keupayaan negara membuktikan usaha mengangkat kemurnian Islam itu sendiri di peringkat domestik yang salah satu daripadanya adalah dengan memastikan setiap arahan berkaitan halal dan haram dipatuhi oleh semua pihak yang berkenaan.

Jakim misalnya mesti secara aktif memantau operasi dapur-dapur hotel dan memastikan setiap dapur utama bersih dan halal yang bukan sahaja boleh dinikmati oleh umat Islam malah bangsa-bangsa lain di negara ini.

Perlu juga ada hukuman berbentuk pengajaran kepada mana-mana hotel yang gagal berbuat demikian seolah-olah mereka mengetepikan keperluan umat Islam di negara ini dalam soal halal dan haram.

Keengganan bekerjasama dalam menyediakan dapur halal itu sedangkan umat Islam yang mengunjungi premis berkenaan bukan sedikit semestinya mengundang persoalan sejauh mana benarnya pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sedangkan dalam soal asas pun Jakim dilihat tidak mempunyai sepenuh kuasa untuk bertindak.

Sejauh mana badan-badan yang diberi kuasa untuk memantau isu halal dan haram ini benar-benar dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan jika pematuhan di pihak industri perhotelan amat rendah malah ada yang tidak mahu langsung berbuat demikian.

Sama juga seperti dalam isu bahasa apabila badan yang diberi tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan tidak mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan agenda tersebut sehingga disamakan seperti kehilangan taring.

Begitu juga dengan Jakim yang dilihat tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan sepenuhnya sehinggakan jumlah hotel yang dapur utamanya tidak halal bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Sepatutnya soal dapur-dapur utama hotel enggan menyediakan juadah halal tidak timbul lagi. Isu ini telah lama dibangkitkan namun perkembangan serta sambutannya amat perlahan malah semacam tidak dihiraukan oleh pihak industri perhotelan.

Hasilnya, umat Islam yang ingin berbuka di hotel-hotel di sebuah negara Islam disajikan dengan juadah yang boleh diragui status halalnya - satu perkembangan yang tidak boleh dibenarkan berterusan di negara ini.

Sememangnya diakui Malaysia adalah negara berbilang kaum tetapi ia tidak bermakna isu halal haram terutama dalam aspek penyediaan makanan mesti menyamaratakan kesemua kaum itu.

Teorinya - juadah yang halal untuk umat Islam boleh dinikmati oleh orang bukan Islam, sebaliknya makanan yang haram hanya terhad kepada bukan Islam. Jadi hakikatnya bukankah lebih mudah menyediakan juadah yang boleh dinikmati oleh semua kaum di negara ini daripada mengehadkannya kepada kaum tertentu.

Paling penting adalah keberkesanan fungsi Jakim untuk memantau perihal halal haram bukan sahaja di hotel-hotel malah di restoran-restoran seperti kopitiam yang turut mengundang keraguan umat Islam untuk berkunjung ke situ.

- sepatutnya kita berbuka di rumah saja.. bersederhanalah ketika berbuka.. berapa banyak juadah dapat dibeli di pasar ramadhan dengan budget sebegitu.. alangkah baiknya memberi makan orang yang berpuasa..

berhenti saja acara berbuka di hotel2..

Fatimah az-Zahra menuntut keadilan

FATIMAH az-Zahra adalah puteri bongsu nabi Muhammad, hasil perkahwinannya dengan Khatijah. Fatimah dilahirkan pada tahun ke-5 setelah nabi Muhammad diutus menjadi Nabi, bertepatan dengan tiga tahun setelah peristiwa Israk dan Mikraj.

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun 605 Masihi semasa masyarakat Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Siti Fatimah mendapat gelaran as-Siddiqah (wanita terpercaya); at-Tahirah (wanita suci), al-Mubarakah (yang diberkati Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-Zahra (yang cemerlang).

Beliau juga digelar Al-Batul, iaitu yang menumpukan perhatian kepada ibadah dan menjauhi keduniaan. Fatimah selalu bersujud ketika setiap kali berasa lapar dan berzikir setiap kali berasa susah.

Fatimah mencintai ayahandanya melebihi cintanya kepada siapa pun. Apabila ibunya meninggal dunia ketika berusia enam tahun, Fatimah sentiasa berusaha untuk menggantikan peranan ibunya.

Fatimah sentiasa mengajak nabi berbual-bual dengan kata-kata yang menggembirakan dan menyenangkan hati nabi.

Justeru nabi memanggilnya dengan panggilan manja Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh Fatimah kepada ayahnya.

Fatimah mempunyai tiga orang kakak iaitu Zainab, Rugayah dan Ummi Kalsum. Fatimah adalah anak yang paling dicintai dan dikasihi nabi sehingga beliau berkata, "Fatimah adalah darah daging saya, apa yang menyusahkannya juga menyusahkan saya dan apa yang mengganggunya juga mengganggu saya".

Fatimah menyerupai ayahnya dari sisi rupa dan akhlaknya. Ummu Salamah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah.

Demikian juga dengan Aishah yang pernah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya.

Zaman kanak-kanaknya diwarnai oleh pelbagai penentangan yang ditujukan kepada agama Islam yang dibawa oleh ayahnya.

Penyeksaan, celaan yang keji, gangguan mental dan fizikal dan fitnah dilakukan oleh golongan kafir Mekah terhadap umat Islam.

Allah telah mengurniakan Fatimah dengan sifat lemah-lembut, cerdas dan berani yang tidak dimiliki oleh kanak-kanak lain yang seusianya. Fatimah melihat cabaran dan dugaan yang menimpa keluarga terutama pengalaman pahit yang menimpa ayahnya.

Cabaran dan dugaan itu mampu difahami oleh Fatimah pada usia yang muda dan ini telah mendewasakan pemikiran Fatimah supaya cekal menghadapinya dengan lebih cekal dan berani.

"Uqbah bin Abi Muit menyimbah kotoran unta pada ayah kamu yang sedang bersujud di Kaabah!," kata seorang wanita kepada Fatimah yang sedang duduk di rumahnya.

"Apa! Sampai hati mereka berbuat demikian kepada ayah saya," jawab Fatimah yang bergegas keluar dari rumahnya.

Fatimah berlari sekuat hati menuju ke arah Kaabah. Jantungnya berdegup dengan pantas memikirkan apa yang telah berlaku pada ayahnya. Apabila sampai di hadapan Kaabah, Fatimah melihat pembesar-pembesar Quraisy sedang ketawa kuat sambil menunjuk jari mereka kepada ayahnya.

Beliau pantas menghampiri ayahnya yang tengah bersujud di Kaabah. Fatimah melihat perut-perut unta yang berdarah dan bernajis di atas kepala ayahnya. Beliau membersihkan kotoran itu dengan pantas.

Air mukanya kelihatan sedih bercampur geram kerana kotoran itu terpalit keseluruhan jubah ayahnya. Fatimah bangun dan menghampiri Uqbah bin Abi Muit dan pembesar Quraisy lain yang berdiri sombong bongkak tanpa perasaan takut.

Beliau menjeling tajam kepada semua wajah-wajah itu dengan air mukanya yang benar-benar marah dengan tindakan mereka terhadap ayahnya.

"Mengapa kamu melakukan perkara keji ini kepada ayah saya?" tanya Fatimah dengan nada keras dan marah.

"Suka hati kamilah. Mari kita tinggalkan tempat ini. Puas hati saya melihat jubah Muhammad penuh dengan kotoran unta," kata Uqbah lalu beredar dari situ bersama pembesar Quraisy lain meninggalkan Fatimah yang masih sedih dan marah.

Pada satu peristiwa lain pula, Fatimah sedang berjalan di sebuah lorong ketika berselisih dengan Abu Jahal yang terkenal dengan permusuhannya terhadap agama Islam.

Abu Jahal menahan Fatimah lalu menampar muka Fatimah beberapa kali. Fatimah terkejut dengan perbuatan Abu Jahal terus berlari menuju khemah pemimpin Quraisy yang sedang duduk berbincang.

"Ya Abu Sufian, ketua pemimpin Quraisy. Saya ingin mengadu tentang sikap buruk Abu Jahal yang tiba-tiba menampar muka saya tanpa sebab. Saya mahu keadilan!," kata Fatimah di hadapan Abu Sufian tanpa perasaan takut.

"Apa! Abu Jahal menampar kamu tanpa sebab. Pergi panggil Abu Jahal ke sini," arah Abu Sufian kepada pengawal di sebelahnya.

Abu Jahal pun datang dengan tergesa-gesa menuju khemah tempat pemimpin-pemimpin Quraisy sedang berbincang.

Dia tak menyangka Fatimah akan datang mengadu kepada Abu Sufian tentang perbuatannya terhadap Fatimah. Dia berharap Abu Sufian akan menyebelahinya dalam perkara itu.

Dia masuk ke dalam khemah itu dengan muka sombong memandang wajah Fatimah yang kelihatan tenang.

"Mengapa kamu menampar muka Fatimah tanpa sebab, Abu Jahal?," tanya Abu Sufian.

"Sahaja. Saya geram dengan ayahnya". Jawab Abu Jahal dengan bongkak.

"Kamu tak ada hak berbuat demikian terhadap budak kecil ini," kata Abu Sufian lalu memandang wajah Fatimah.

"Hulur muka kamu supaya Fatimah boleh menampar muka kamu," arah Abu Sufian kepada Abu Jahal yang kelihatan terkejut mendengar keputusan Abu Sufian itu.

Fatimah tidak melepaskan peluang itu untuk menampar muka Abu Jahal yang selama ini banyak menyakitkan hati ayahnya. Beliau menampar muka Abu Jahal dengan sekuat hati dan pulang dengan hati gembira ke rumahnya.

Fatimah menceritakan perkara yang berlaku itu kepada ayahnya. Nabi gembira kerana Abu Sufian telah memberikan keputusan yang adil kepada aduan anaknya.

Monday, August 24, 2009

Puasa selama 16 jam di Perancis




WARGA Arab Saudi berbuka puasa di Masjid Imam Turki Abdullah di Riyadh, semalam.

Kajian dapati 70 peratus daripada lima juta penduduk Islam rai Ramadan

PARIS: Masyarakat Islam di Perancis menghadapi cabaran hebat tahun ini kerana perlu berpuasa hampir 16 jam setiap hari pada Ramadan kali ini kerana waktu siang lebih panjang.

Sepanjang Ramadan, penduduk Islam mula menahan diri daripada makan dan minum mulai terbit fajar hingga terbenam matahari yang jatuh antara jam 5.15 pagi (waktu tempatan) hingga 9 malam di Paris.

Suhu musim panas juga dijangka menjadikan bulan puasa tahun ini lebih sukar kepada mereka kerana setiap tahun tarikh menyambut Ramadan adalah berbeza.

Hampir 70 peratus daripada anggaran lima juta penduduk Islam, tinggal di Paris dan meraikan Ramadan, menurut kajian pendapat yang disiarkan minggu lalu.

Sempena sambutan bulan mulia ini, kebanyakan masjid mengundang imam daripada negara lain yang juga mempunyai komuniti Perancis termasuk Maghribi, Turki dan Algeria.

Budaya letak jawatan


TAIPEI 19 Ogos - Menteri Pertahanan dan Setiausaha Kabinet mengakui tindak balas perlahan kerajaan dalam menangani kecemasan ketika Taufan Morakot membadai negara ini dan menawarkan untuk meletak jawatan.

Seorang pegawai Kabinet yang enggan dikenali berkata, Menteri Pertahanan, Chen Chao-min dan Setiausaha Agung Kabinet, Hsueh Hsiang-chuan yang bertanggungjawab dalam koordinasi antara kementerian, menawarkan peletakan jawatan hari ini berikutan kesilapan yang dilakukan dalam tindak balas kecemasan ketika Taufan Morakot melanda.

Seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, Perdana Menteri Liu Chao-shiuan sedang mempertimbangkan hal tersebut.

Sebelum ini, mangsa politik pertama akibat Taufan Morakot adalah Timbalan Menteri Luar, Andrew Hsia Li-yan yang meletak jawatan semalam kerana menolak bantuan asing.

Kementerian Pertahanan dikritik kerana menugaskan hanya 2,100 hingga 5,300 askar dalam operasi awal pada 9 dan 10 Ogos sebelum ia ditingkatkan kepada 43,300 orang pada 14 Ogos lalu.

Hsiang-chuan pula dicemuh selepas mengakui sedang menikmati makan malam di sebuah hotel lima bintang pada hari kejadian atas alasan ia adalah sambutan Hari Bapa di Taiwan.

- perkara seperti ini mungkin tidak akan berlaku di Malaysia..ada para pemimpin yg menyalahkan takdir..tepuk dada tanyalah selera..

Ramadan dan masa



umat islam disaran memanfaatkan masa senggang pada bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan termasuk membaca al-Quran.


DIRAFA'KAN kesyukuran kepada Allah SWT ramadhan menggamit lagi. Bulan yang penuh keberkatan dan pelbagai keistimewaan antaranya rahmat, maghfirah (keampunan) dan gandaan pahala.

Oleh kerana masa begitu pantas berlalu dan kita sentiasa terkejar-kejar dengan masa, di samping banyak membazirnya maka di sini suka diterangkan berkenaan dengan masa mengikut neraca Islam.

Daripada Ibn Abbas r.a berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) alam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6412, Imam Ahmad dalam musnadnya 1/344, al-Tirmizi dalam al-Zuhud 2304, Ibn Majah dalam a-Zuhd 4170 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 3/370.

Sheikh Abdullah Ba'lawi berkata: Saudara-saudaraku sesama Muslim sekelian, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguh walau sesaat pun, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singkat berbanding kehidupan di akhirat nanti.

Setiap hembusan dan tarikan nafas, setiap denyut nadi dan degup jantung, seluruhnya itu mustahil berlaku tanpa izin Allah SWT. Bahkan pada hembusan nafas anda yang terakhir, pada denyut nadi yang terakhir dan pada degup jantung anda yang terakhir hendaklah anda gunakan waktu itu untuk berbakti kepada Allah SWT, sama ada ketika jaga ataupun tidur.

Gunakanlah untuk sesuatu yang berfaedah dan jangan biarkan berlalu seminit pun dengan sia-sia. Jikalau anda keliru menggunakannya maka di kemudian hari anda pasti merasa penyesalan anda nanti. Inilah yang wajib anda perhatikan mulai sekarang.

Setelah meninggalkan dunia fana ini, barulah anda mengetahui betapa ruginya mensia-siakan waktu sekalipun hanya seminit sahaja. Anda semua pasti akan mengalaminya sendiri nanti dan pasti pula anda akan meyakini serta membenarkan apa yang saya katakan ini.

Sheikh Abdullah Ba'lawi menambah: Akan diperhatikan kepada setiap manusia di akhirat nanti semua hari dan malamnya dalam bentuk almari. Setiap hari dan malam terdapat dua puluh empat almari sesuai dengan jumlah hitungan hari dan malam itu.

Manusia itu akan melihat sendiri setiap jam yang digunakan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, nampaklah almari itu penuh cahaya, sedang setiap jam yang digunakan untuk bermaksiat kepada Allah SWT nampaklah almari itu dalam keadaan gelap gelita.

Seterusnya jikalau ia mendapati almarinya sendiri itu berisi kegelapan yang hitam pekat, maka sekiranya ia dibenarkan memilih untuk mati. Nescaya ia akan rela mati serta merta ketika melihatnya. Namun tiada kematian lagi di alam akhirat.

Justeru, seseorang yang selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, sudah tentu amat gembira dan ingin sekali menjadi manusia gembira, malahan terus bertambah kegembiraan dan sukacitanya itu sepanjang masa (atau lebih gembira lagi sekiranya dapat menambahkan amal solehnya).

Sebaliknya manusia yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah SWT, maka itulah manusia yang benar-benar berdukaita serta merasa takut, malahan kesedihan dan dukacitanya itu makin bertambah, tanpa ada penghabisannya sama sekali.

Katanya lagi: Saudaraku sesama muslim yang tercinta, kini tinggal bagaimana kamu memilih salah satu daripada dua hal. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi anugerah dan rahmat-Nya kepadamu.

Adakanlah pilihan untuk anda sendiri selagi anda masih berada di alam yang di dalamnya masih diberi kebebasan untuk memilih. Saya hanya menganjurkan yang baik-baik sahaja, pilihan anda jangan sampai keliru dan tersesat.

Pilihan yang baik dalam mengamalkan segala sesuatu yang dapat mendatangkan manfaat, sebab hanya inilah yang akan meninggalkan darjat selagi masih hidup di dunia atau setelah di akhirat nanti. Anda mesti selalu ingat bahawa waktu yang sudah anda lalui itu tidak akan kembali lagi.

Ini kerana jika sudah berlalu tidak mungkin kembali maka pilihan untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan pun sudah tidak ada lagi, yang sudah berjalan dan berupa kebaikan tetap menjadi amal yang soleh bagi anda, sedang yang buruk tetap menjadi buruk dan tidak boleh dilenyapkan kecuali dengan bertaubat.

Oleh itu bersegeralah, jangan menangguh-nangguh melakukan perbuatan yang diredai Allah SWT kerana ia suatu keburukan tersendiri. Padahal kita semua tahu manusia itu terlalu terganggu oleh bermacam-macam keadaan berbahaya serta banyaknya pekerjaan yang mesti segera diselesaikan hingga kesempatan yang semestinya boleh digunakan untuk beramal soleh akhirnya hilang sia-sia tanpa ada manfaat sedikitpun.

Marilah sama-sama kita mengambil semangat Ramadan dengan melakukan ibadat sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Semoga dengan amalan tersebut melayakkan kita mendapat ketakwaan. Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...