terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 6, 2010

ANTARA GURU DAN PIBG

KALI pertama menghantar anak ke sekolah untuk mendaftar ke tahun satu mengingatkan saya kenangan semasa bersekolah dahulu. Yuran sekolah dan duit buku masa kini boleh dibuat belanja dapur seminggu.

Sebagai ibu bapa muda yang kali pertama merasakan pengalaman menghantar anak ke sekolah, pelbagai perkara dapat didengari apabila bercampur dengan ibu bapa yang sudah berpengalaman.

Selain kisah ekonomi yang dibualkan semasa menunggu anak di hari pertama, kebanyakan ibu bapa juga prihatin dengan masalah disiplin anak-anak muda lepasan sekolah yang disifatkan pintar tetapi nakal.

Menyalahkan pihak sekolah 100 peratus rasanya tidak patut kerana apa guna menjadi ibu bapa jika melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang lain. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan dengan mengadakan pertemuan secara malar untuk mengatasi disiplin murid sejak dari tahun satu lagi.

Apabila melihat keletah anak-anak yang seronok di dalam kelas dan hanya seorang guru yang lemah-lembut mengajar 30 orang anak murid, kadang-kadang terasa kita sebagai ibu bapa terlalu meletakkan seluruh kepercayaan kepada guru.

Kita juga mudah menyalahkan guru apabila anak kita gagal mencapai gred yang bagus. Dalam masa yang sama, guru perlu menjaga kesemua anak murid secara adil. Ibu bapa yang hadir ada yang tersenyum dan ada yang resah melihat anak yang masih rebung cuba dilentur sebaik mungkin. Itu baru 40 minit berlalu.

Apabila ibu bapa sudah kembali bekerja, bagaimana pula cara guru itu mengajar anak kita menjadi orang dalam erti kata sebenar. Ibu bapa wajar mengambil berat disiplin anak-anak dengan selalu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada guru-guru untuk bertanyakan tentang sahsiah diri anak-anak.

Kita sebagai ibu bapa faham guru juga ada keluarga untuk dijaga. Namun tanggungjawab sebagai guru yang bersama anak-anak kita selama hampir lapan jam sehari adalah besar kerana disiplin mereka amat perlu dibentuk sebagai bayangan masa depan mereka yang akan mewarisi kepimpinan negara. Hari ini teknologi canggih adakalanya menyebabkan anak-anak cepat menjadi pintar dan ada guru yang jauh ketinggalan sehingga setiap kerja yang diberi mampu diselesaikan sebaik mungkin.

Justeru itu, guru-guru perlu berlari seiring dengan kepantasan teknologi agar anak-anak murid lebih menghormati mereka. PIBG perlu bekerjasama erat dalam menangani anak-anak murid yang nakal tetapi pintar. Mungkin mereka boleh melompat masuk ke tahun dua atau tiga dengan satu ujian khas supaya masa mereka tidak dibazirkan dengan belajar perkara yang sama.

Ibu bapa sudah pasti mampu mengenal pasti perangai dan kemampuan anak mereka dalam pelajaran.

PIBG juga perlu aktif mengadakan pertemuan untuk mengenal potensi anak-anak ini untuk melangkau kelas supaya mereka cepat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dengan ini, kita tidak lagi membazirkan waktu membentuk pelajar-pelajar yang nakal tetapi pintar kerana bosan berada dalam suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Kita ada anak-anak pintar yang sudah terbukti. Walau apa pun kaedah membentuk anak-anak ini, yang penting adalah perkembangan rohani mereka mestilah seiring dengan kejayaan akademik agar tidak tergelincir dari norma-norma masyarakat timur.

PIBG perlu bekerjasama dalam membentuk murid yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dan dalam masa yang sama, disiplin mereka dapat ditingkatkan sebaik mungkin agar tidak terlibat dengan masalah sosial.

Guru-guru juga perlu bermuhasabah diri jika ada anak murid yang membuatkan minda intelek mereka tercabar. Seeloknya guru mampu menambah nilai ilmu seiring dengan zaman siber. Hanya kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dapat membentuk masa depan murid yang lebih cemerlang di masa depan.

Selain itu, pemantauan disiplin mampu menjana minda murid agar prestasi pembelajaran mereka terus meningkat. Justeru itu, PIBG perlu bersatu demi masa depan negara yang lebih baik.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...