terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 13, 2010

Apabila majlis perkahwinan bertukar jadi pesta komersial

MAJLIS perkahwinan sekarang sudah tiada musim, bukan macam dulu lebih bertumpu pada cuti sekolah saja. Disember paling banyak undangan diterima, maklum saja cuti sekolah panjang. Itu belum lagi undangan diterima setiap hujung minggu. Kalau di sebelah Pantai Timur, tentunya Jumaat menjadi hari pilihan untuk diadakan kenduri-kendara. Selepas solat Jumaat, tetamu terus singgah ke rumah pengantin. Apabila kenyang baru balik rumah. Begitu juga di Pantai Barat, apabila Sabtu dan Ahad bingit dengan paluan kompang. Kalau tak di rumah pengantin, dewan orang ramai jadi pilihan. Kalau majlis diadakan di taman perumahan pula, banyak laluan ditutup. Jiran yang berdepan masalah keluar masuk, awal lagi letak kereta jauh dari tempat majlis, mudah bergerak jika diperlukan. Semangat kejiranan menebal apabila wujud toleransi memberikan laluan untuk jayakan majlis kenduri.

Ketika menghadiri satu majlis kahwin di utara tanah air, baru-baru ini, ada antara tetamu buka cerita mengenai rombongan meminang yang jadi macam majlis 'jual anak'. Isu bertumpu kepada wang hantaran. Ketika berbincang secara rasmi sempena majlis pertunangan, kedua-dua belah pihak bersetuju menetapkan hantaran atau belanja hangus RM5,000. Majlis dalam suasana harmoni itu berakhir dengan jamuan.

Ketika rombongan pihak lelaki mahu meninggalkan majlis, tiba-tiba wakil perempuan mencuit wakil pihak lelaki memaklumkan ada perubahan mengenai wang hantaran. Pihak perempuan putuskan wang hantaran dinaikkan menjadi RM10,000. Dalam beberapa detik saja, perjanjian yang dikotakan tadi sudah terbubar.

Mendengar jumlah wang hantaran baru, terkejutlah wakil lelaki tetapi sebagai adat orang mendatang, perbincangan terpaksa juga dibuat semula demi menunaikan hasrat pasangan mendirikan masjid. Selepas berbincang lagi dan beberapa kali perubahan angka wang hantaran, pihak perempuan akhirnya bertolak ansur dan akhirnya mengambil jalan tengah menetapkan wang hantaran baru RM7,000. Alasan yang diberikan kerana belanja untuk mengadakan majlis perkahwinan semakin meningkat.

Apa yang mahu ditimbulkan di sini mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sepatutnya soal tawar-menawar wang hantaran tidak patut berlaku jika tidak dipengaruhi orang lain dalam perbincangan. Biasalah apabila mengadakan majlis pertunangan dan menetapkan wang hantaran, kedua-dua pihak sama ada lelaki atau wanita melantik wakil masing-masing untuk menjadi jurucakap. Di belakang kedua-dua wakil bakal pengantin itu, ada pula kaum kerabat yang kadang-kadang mahu masuk campur hingga si wakil pihak perempuan tadi bercelaru untuk membuat keputusan.

Biasanya status keluarga, akademik dan kerjaya pengantin akan jadi asas dalam menentukan wang hantaran. Bagi lepasan universiti dan berkerjaya eksekutif, ukuran wang hantaran sekarang melebihi RM10,000. Wang hantaran paling minimum sekarang ialah RM5,000, itupun mungkin di kampung saja. Kalau di bandar jumlah begitu dianggap terlalu kecil.

Bagi pasangan bekerjaya, tentu tak mahu kalah dalam meletakkan wang hantaran dan inilah yang menjadi punca membawa kepada tawar-menawar mengenai wang hantaran yang tak seharus berlaku jika bakal pengantin sudah berbincang dan memberi kata putus sebelum diserahkan majlis kepada wakil keluarga. Kes menjadi lebih parah apabila sesetengah bakal pengantin menjadikan artis atau selebriti sebagai penanda aras mengatur majlis perkahwinan.

Majlis yang bertujuan mengisytiharkan ikatan suci pasangan suami isteri untuk mengelak fitnah jika berkahwin secara senyap, bertukar menjadi pesta komersial. Jika artis, selebriti bermegah dengan wang hantaran berpuluh ribu ringgit malah ada yang menjangkau jutaan ringgit, ia sedikit sebanyak mempengaruhi masyarakat untuk mengikutinya. Boleh dikatakan dunia glamor artis mahu dirasai pasangan biasa yang menjadi raja sehari.

Soal bagaimana pengantin itu mendapatkan wang bagi menguruskan perkahwinan tidak diambil kira, asalkan hasrat melalui detik bahagia sebagai raja sehari dan memenuhi tema semasa lebih diutamakan sehingga lupa konsep perkahwinan yang disaran Islam.

Perkahwinan menyatukan dua jiwa secara sah, elak kemaksiatan dan tujuan perkahwinan juga bagi melahirkan zuriat untuk meneruskan kesinambungan keturunan. Mengapa dalam melaksanakan tanggungjawab ini perlu dibelenggu dengan hutang sehingga membebankan diri? Ada pasangan yang berhabis ketika kahwin sampai sudah beranak-pinak, masih belum terlepas hutang majlis kahwin. Ada sesetengah pula, detik manis perkahwinan belum lagi hilang tetapi rumah tangga berantakan gara-gara berdepan masalah kewangan.

Pasangan yang ingin berumah tangga perlu berpandangan jauh. Mengharungi kehidupan berumah tangga bukan sekadar menjadi raja sehari tetapi perlu melalui detik susah, senang bersama pasangan sepanjang hayat. Ikatan kasih sayang perlu dipupuk setiap masa semoga kemanisan hidup dapat berterusan dengan harapan generasi mendatang tidak kehilangan arah.


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...