terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 17, 2010

BAHANA SURAT BERANTAI

Bersandar sesuatu perkara kepada khayalan menyeleweng daripada landasan Islam
APAKAH hukum mempercayai surat atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berantai bahawa sesiapa yang sudah membaca tetapi tidak menyebarkannya akan ditimpa musibah besar? Kandungan mesej dalam surat dan SMS itu turut memberitahu tarikh berlakunya kiamat.

ALI,
Kuala Selangor.

WASIAT dengan segala isi kandungnya dalam surat atau SMS itu tidak ada erti dan nilainya sama sekali dalam perspektif agama. Ini disebabkan kesempurnaan Islam sudah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat ke-5 yang bermaksud: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Oleh kerana Islam sudah disempurnakan Allah SWT maka kita tidak memerlukan lagi keterangan yang diwasiatkan oleh sesiapa lagi. Apabila kita menerimanya daripada golongan seperti ini, bererti kita turut meragui kesempurnaan Islam.

Wasiat ataupun SMS berantai ini juga sebenarnya mengandungi banyak tanda kepalsuan. Pertama, sumber awalnya tidak diketahui, apakah benar penyampainya yang hanya dinamakan sebagai Syeikh Ahmad itu benar-benar wujud?

Kedua, sebab penghantar wasiat itu sudah mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai yang tidak mahu menyebarkannya bahawa mereka akan ditimpa musibah. Hal ini tidak akan dikatakan oleh seseorang manusia yang normal fikirannya apatah lagi seorang rasul terhadap al-Quran dan hadis.

Tiada satu pun ayat suci al-Quran yang memerintahkan agar ditulis dan disebarkan untuk mengelakkan sesuatu malapetaka atau bencana. Begitu juga tiada perintah terhadap yang membaca kitab hadis untuk menjalankan kerja itu.

Jika al-Quran dan sunnah Nabi pun tidak memerintahkan begitu, maka apatah lagi wasiat yang bersifat khurafat yang tidak jelas sumbernya ini.

Keraguan berikutnya dalam surat itu diterangkan bahawa seseorang yang sudah menyebarkan warkah Syeikh Ahmad itu mendapat rezeki yang melimpah-ruah, manakala sesetengah yang lain beroleh jawatan tinggi dalam masyarakat. Semua itu adalah khurafat dan penyesatan terhadap umat Islam dari jalan yang benar dan terpesong daripada mengikuti sunnah Rasulullah.

Ini disebabkan dalam Islam, Allah SWT menetapkan sesuatu itu berlaku kerana sebab musabab yang tertentu mengikut aturannya sedangkan bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti itu adalah usaha menyesatkan dan menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenar.

Seterusnya, jangkaan tarikh kiamat yang sering kali disebut dalam kandungan warkah ini juga bukti satu lagi pembohongan yang ketara kerana tarikh tepatnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Malah Allah SWT sudah menjelaskan dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat ke- 187 yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan ayat di atas, walaupun Nabi SAW yang dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat serta menjadi rasul terakhir, namun baginda sendiri tidak mengetahui tarikh kiamat yang sebenarnya.

Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kaum Muslimin agar tidak mempercayai perkara khurafat seperti surat dan SMS berantai ini dengan anggapan bahawa mereka yang menyebarkannya akan mendapat syafaat Nabi SAW.

Orang yang akan mendapat syafaat Nabi adalah mereka yang beriman kepada Allah SWT dengan cara yang betul dan ikhlas, bukannya kalangan yang meyakini perkara syirik seperti yang ditetapkan dalam kandungan mesej surat atau SMS palsu itu. Sabda Nabi SAW, maksudnya: "Orang yang paling berbahagia yang mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah seseorang yang mengikrarkan kalimah 'Lailahailallah' dengan perasaan ikhlas dari dalam hatinya. � Riwayat al-Bukhari.

Semoga Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya menjadikan kita manusia yang memahami agama mereka dan terselamat dari mempercayai berbagai perkara khurafat, khayalan dan kebatilan.


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...