terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 6, 2010

BROADBAND DI JEPUN HANYA RM 1 SEBULAN!!


PENGUMUMAN kerajaan untuk mengkaji semula kadar bayaran perkhidmatan jalur lebar (broadband) di negara ini agar ia mampu dilanggan oleh lebih ramai pelanggan sememangnya suatu pengumuman yang sangat ditunggu-tunggu.

Ini kerana melanggan perkhidmatan Internet terutama rangkaian jalur lebar boleh dianggap seperti suatu keperluan asas masa kini seperti mana kita memerlukan perkhidmatan bekalan elektrik, air dan perkhidmatan telefon.

Jika dahulu, ketiga-tiga perkhidmatan itu perlu ada dalam setiap rumah tetapi kini akses Internet menjadi salah satu elemen baru kerana kepentingannya dalam memudahkan urusan kehidupan kita.

Tanpa Internet di rumah, tentu kita terpaksa ke pejabat dahulu atau ke restoran dengan kemudahan WiFi untuk memeriksa e-mel, mendapatkan maklumat mengenai cuaca, trafik, membuat kerja sekolah, berkomunikasi dengan rakan-rakan melalui rangkaian sosial dan sebagainya.

Sememangnya jika hendak memperkatakan mengenai kadar langganan Internet di negara ini, tahapnya boleh dikatakan agak tinggi berbanding beberapa negara jiran.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia sehingga suku ketiga tahun lalu adalah 27 peratus berbanding 100 isi rumah.

Untuk kadar jalur lebar ini juga, kedudukan kita masih di hadapan berbanding negara-negara jiran (kecuali Singapura) tetapi ia sebenarnya masih perlu dipertingkatkan.

Ini kerana jika dilihat kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar dunia, negara kita tidak termasuk pun dalam senarai 25 negara dalam kedudukan teratas.

Ini kerana kebanyakan daripada pengguna Internet di negara ini masih bergantung kepada talian dial-up, telefon 3G atau menggunakan perkhidmatan WiFi percuma di restoran-restoran.

Mengapa keadaan ini berlaku? Ada yang berpendapat kerana harga langganan jalur lebar di negara ini masih tinggi walaupun trendnya telah memperlihatkan penurunan.

Secara ringkasnya, harga langganan jalur lebar asas di negara ini bermula dari pakej RM58 sebulan ke atas untuk perkhidmatan akses menggunakan talian tetap atau tanpa wayar.

Kadar ini walaupun kelihatannya sudah agak rendah tetapi ia masih boleh diturunkan jika negara benar-benar hendak menjadikan Internet sebagai satu cara hidup seperti rakyat di negara maju.

Di Jepun misalnya, kadar langganan jalur lebar untuk talian asas iaitu dengan kelajuan 1 Megabit sesaat (Mbps), pengguna hanya dikenakan bayaran langganan bulanan kira-kira RM1 sahaja!.

Manakala di Korea Selatan, pengguna jalur lebar dikenakan bayaran RM1.50 sebulan dan Sweden menggenakan bayaran RM2.20 sebulan. Mungkin syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP) di negara kita tidak mampu menawarkan harga seumpama itu kerana kos penyediaan prasarana rangkaian sememangnya agak tinggi.

Bagaimanapun sesuatu harus dilakukan sama ada oleh kerajaan atau ISP sendiri bagi merendahkan lagi kadar sedia ada kerana sememangnya rakyat negara ini telah sebati hidup mereka dengan Internet.

Masyarakat negara ini juga telah menjadikan Internet sebagai medium aktiviti ekonomi mereka dengan menggunakan Internet untuk urusan perbankan, jual beli, membaca akhbar dan sebagainya.

Mungkin faktor harga adalah salah satu daya penarik sahaja untuk meningkatkan kadar langganan jalur lebar di negara ini tetapi faktor-faktor lain juga seharusnya diambil kira.

Antaranya ialah menggalakkan lebih banyak kewujudan laman-laman web dan kandungan yang menarik untuk dilawati, menggunakan Internet sebagai media berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, meningkatkan kadar pemilikan komputer peribadi dan juga menjalankan kempen kesedaran yang berterusan.

Jika ibu bapa kita yang boleh dikatakan 'buta teknologi' kini mampu menggunakan kad mesin autoteller (ATM) untuk mengeluarkan wang, sudah tentu generasi kita dan anak-anak kita tiada masalah untuk menjadikan Internet sebagai salah satu keperluan dalam kehidupan masa kini.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...