terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 11, 2010

Bukan bebanan besar


KENAIKAN harga gula seperti yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) baru-baru ini bukanlah satu bebanan besar kepada orang ramai.
Dengan anggaran sebuah keluarga yang dihuni lima orang menggunakan sekitar dua kilogram gula sebulan, kita sebenarnya hanya menambah perbelanjaan 40 sen sebulan kerana gula bukanlah makanan ruji.
Di sebalik itu, kerajaan masih menanggung bebanan yang besar iaitu sekitar RM1.008 bilion setahun untuk menampung subsidi harga gula sebanyak 60 sen sekilogram demi kesejahteraan rakyat.
Kenaikan harga pasaran gula dunia yang semakin menyesakkan telah menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain bertindak menarik subsidi sebanyak 20 sen. Jika tidak, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1 untuk sekilogram gula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di Putrajaya Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika subsidi tidak ditarik balik sebanyak 20 sen, kosnya akan meningkat kepada RM1.26 bilion. Itu satu jumlah yang amat tinggi.
Rakyat, tegas beliau, realitinya masih beruntung kerana kerajaan tetap mengotakan janjinya untuk tidak menghapuskan subsidi gula tetapi mengurangkannya daripada RM1 kepada 80 sen, manakala 20 sen lagi ditanggung oleh rakyat.
Berbanding negara jiran lain, harga gula di Malaysia jauh lebih rendah kerana di Indonesia sekilogram adalah RM3.40, Filipina (RM3.62), Singapura (RM3.05), manakala negara pengeluar gula utama di rantau ini, Thailand pada harga RM2.50 sekilogram.
Menyedari bahaya pengambilan gula secara berlebihan serta keberkesanan kempen-kempen Kementerian Kesihatan, KPDNKK bersama-sama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) percaya rakyat boleh menerima hakikat bahawa kenaikan harga gula bukanlah satu isu yang harus dibantah.
''Malaysia bukanlah negara pengeluar gula utama kerana hanya 20,000 metrik tan sahaja dapat dikeluarkan setahun oleh empat buah syarikat pengeluar gula tempatan sedangkan rakyat menggunakan 1.2 juta tan gula sebulan.
''Justeru bagi menampung kekurangan bekalan gula, negara terpaksa mengimport lebih 12 juta tan gula setahun dari negara pembekal utama termasuk Brazil dan Thailand," katanya.
Kerajaan bagaimanapun bersedia menyemak semula harga gula jika harga pasaran dunia menurun.
Mengulas kebimbangan rakyat bahawa harga minuman dan makanan akan dinaikkan oleh peniaga dan pengusaha industri, beliau lantas memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku. Kerajaan, kata beliau, sedia berunding dengan pihak berkenaan untuk mendapatkan gambaran kesan daripada kenaikan harga bekalan itu.
''Kerajaan sebenarnya sudah membuat perkiraan, harga makanan dan minuman berasaskan gula tidak sepatutnya naik kerana kos pengeluaran akibat kenaikan harga hanya sekitar satu sen sahaja, jadi tiada sebab untuk peniaga mengaut keuntungan.
''Kalau naik juga, maknanya dia (peniaga) menipulah sebab hendak untung lebih, kalau berlaku dia pembohong," katanya.
Hukuman mengikut Akta Kawalan Harga ke atas peniaga yang menaikkan harga gula melebihi paras ditetapkan iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak bakal dikenakan jika perbuatan itu dilakukan.
Mengulas spekulasi pihak tertentu bahawa harga petrol akan dinaikkan sebanyak RM3 pada Mac depan, beliau menafikan laporan tersebut.
''Petrol takkan naik, saya bagi jaminan selagi harga minyak kekal seperti dalam keadaan hari ini, harga minyak tidak akan naik melebihi sekarang ini.
''Tetapi perlu diingatkan bahawa kerajaan beri subsidi sebanyak 30 sen untuk setiap liter minyak, dari segi harga yang ditetapkan oleh agensi yang membuat perkiraan dalam menentukan naik turun harga iaitu Mean of Platt Singapore (MOPS), kalau harga MOPS melebihi subsidi 30 sen, barulah kerajaan boleh naikkan harga.
''Katakanlah harga minyak RM2.10, tetapi selepas diberikan subsidi 30 sen, rakyat perlu membayar RM1.80 untuk seliter minyak seperti yang dinikmati sekarang," kata beliau.
Namun, jika secara tiba-tiba berlaku peperangan sehingga mendorong harga minyak naik dan melebihi tahap tanggungan 30 sen, barulah kerajaan perlu menyemaknya semula.
Setakat hari ini, kata Ismail Sabri, tiada niat di pihak kerajaan untuk menaikkan harga petrol.
Malah perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi Negara baru-baru ini.
Oleh ZULKIFLI JALIL
dan NORLIZA ABD. RAHMAN
1. memang la gula naik tu xmembebankan..naik la 50 sen pun..masalah yang jadi harga barang lain pun ikut sama naik..takkan tu pun tak paham2..
2. kuih naik, minuman naik..nak kencing pun rate tandas naik..!!

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...