terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 5, 2010

Cerita Isteri Curang


NAMA saya Muna, suami saya Hisham. Perkahwinan kami pada 2008 atas dasar suka sama suka. Bahagia, dia seorang suami yang baik, penyayang dan cukup sempurna. Silapnya di sini adalah, saya kerana tidak tahan dugaan ketika berjauhan. Sejak mula kami menikah memang sudah duduk berjauhan.

Suami bekerja di Kuala Lumpur sementara saya di Sabah. Memanglah hidup saya tidak sama seperti isteri-isteri lain, ada suami datang menjemput, bila balik rumah boleh duduk sama-sama dan berbual. Saya tidak lalui itu semua, setiap hari saya berseorangan, hanya telefon yang menjadi pengantara.

Setahun berlalu, mula timbul rasa bosan tinggal berseorangan dan sunyi. Saya cuba meminta tukar ke Kuala Lumpur tapi tidak berjaya kerana tidak ada kekosongan. Terus juga berjauhan, masa yang banyak terluang saya habiskan bersama kawan-kawan, keluar minum dan melepak di kafe. Bila sudah selalu keluar bersama, akhirnya saya tercerita juga tentang masalah rumah tangga dan kesunyian.

Rupa-rupanya itulah kesilapan besar yang telah saya lakukan dan saya berasa sangat menyesal.

Ini kerana kawan baik saya itu seorang lelaki bujang. Bila dengar cerita saya itu, dia mula menaruh simpati dan selalu menemani saya, menjadi pendengar setia. Bila selalu bersama, timbul rasa sayang hingga membawa kepada keterlanjuran. Waktu itu tanpa saya sedari rupanya saya sudah mengandung enam minggu.

Ketika itu saya rasa sangat bersalah kerana menduakan suami sedangkan dia seorang yang baik. Saya menangis kesal, tapi semuanya sudah terlewat. Bila dapat tahu mengandung, saya mula menjauhkan diri. Saya rasa inilah titik bahawa saya harus menghentikan semuanya, tapi saya sering saja tewas.

Ketika kandungan berusia lima bulan, saya ditukarkan ke Kuala Lumpur. Saya rasa lega kerana berjaya melepaskan diri daripada terus membuat benda tidak senonoh. Duduk di samping suami memang suatu yang amat membahagiakan.

Namun selepas dua bulan hidup sebumbung, perangai suami berubah sangat, jarang balik ke rumah dan sering marah-marah. Saya bertambah sedih apabila suami mengaku ada menjalin hubungan dengan seorang perempuan yang baru dua bulan dikenali.

Dia pulang ke rumah pun hanya kerana rasa kasihnya pada saya yang sedang sarat mengandung. Apabila matahari jatuh, perasaannya pada saya berubah menjadi benci untuk mengelakkan dari terus memarahi saya dia lebih sanggup tidur di pejabat.

bersyukur

Apabila dirujuk kepada ustaz, rupa-rupanya suami saya telah diberi makan benda kotor oleh perempuan yang baru dikenali itu bertujuan untuk membodohkannya. Alhamdulillah, saya masih bersyukur kerana masih ada satu titik putih di dalam hati suami untuk merasa belas kepada saya. Suami meminta saya pulang ke kampung halaman sementara dia berusaha untuk mengubati dirinya.

Allah Maha Mengetahui, saya percaya inilah balasan-Nya di atas perbuatan curang selama ini. Suami tidak tahu pun apa yang saya lakukan, dia kata apa yang saya lakukan tanpa pengetahuannya, walau sebesar mana pun salah saya dia sudah ampunkan dan dia tidak mahu tahu apa itu.

Sekarang saya yang rasa bagaimana sakitnya bila suami menduakan saya. Tuhan itu Maha Adil, saya perlu jalani 'hukuman-Nya' ini.

APA yang anda baca sebentar tadi adalah pengakuan seorang isteri curang sewaktu ditemu bual oleh wartawan majalah Al Islam, baru-baru ini. Selain Muna, dua orang lagi wanita turut tampil membuat pengakuan serupa.

Apakah yang sedang berlaku? Adakah kini sedang berlaku trend curang di kalangan isteri, supaya mereka kelihatan setaraf dengan suami, atau lebih tepat lagi lelaki, yang sudah tidak pelik lagi dengan sikap curangnya itu?

Sememangnya sejak kebelakangan ini sudah beberapa kali media massa menyiarkan kes isteri curang. Antaranya, pada 24 September 2009, apabila seorang wanita ditangkap pegawai Jabatan Agama Islam Perlis pada hari jadinya yang ke 31, kerana disyaki berkhalwat. Apa yang menyedihkan, penangkapan ibu yang mempunyai dua orang anak itu turut disertai oleh suaminya, dan suaminya itu pula telah menyediakan kek istimewa untuk si isteri tadi.

Sebulan kemudian, di Kajang pada 25 Oktober 2009, seorang ibu berusia 37 tahun dan mempunyai lima anak pula telah ditangkap oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor kerana disyaki berkhalwat. Lelaki yang disyaki menjadi pasangannya berusia 31 tahun.

Pada 3 Disember 2009 pula, media massa tempatan menyiarkan pula kisah seorang isteri yang didakwa telah meninggalkan suami yang baru dua minggu dikahwininya. Sebelum meninggalkan suaminya pada dinihari 6 November lalu, wanita berusia 20 tahun itu didakwa asyik melayan Sistem Pesanan Ringkas (SMS), hatta semasa sedang bersanding sekali pun. Berita-berita susulan kemudiannya lebih 'gempar'. Isteri muda ini dikatakan telah ditangkap khalwat.

Itu kes-kes yang dilaporkan oleh media. Bagaimana pula yang tidak dilaporkan?

Persoalannya sekali lagi, adakah curang kini menjadi satu trend? Apakah pandangan Islam dalam isu curang? Dan, apa pula peranan kerajaan, khususnya Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani gejala tersebut?

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...