terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 13, 2010

DEDAH NAMA KONTRAKTOR "SAKIT" UNTUK TATAPAN UMUM

SIKAP berani dan tegas pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyiarkan nama peminjam yang liat melunaskan pinjaman amat dipuji dan seharusnya dicontohi oleh agensi kerajaan yang lain jika menghadapi masalah yang lebih kurang serupa. Sekurang-sekurangnya langkah tersebut memberi pengajaran kepada peminjam dan penjamin baru skim pelajaran tersebut.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan kerana sejak kebelakangan ini banyak sekali projek sakit yang disiarkan dalam akhbar dan TV. Misalnya bumbung runtuh, sekolah lambat siap dan yang terkini beberapa projek dewan bedah hospital di Trengganu dikategori sebagai 'projek sakit.'

Dalam konteks ini, saya bersimpati dengan kenyataan Menteri Besar Trengganu, Datuk Ahmad Said menyatakan beberapa projek dewan bedah, hospital yang sedang dibina sekarang mutu pembinaannya mendukacitakan dan tidak siap mengikut jadual. Beliau menambah, bahawa kuasa menamatkan kontraktor sakit adalah terletak di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Sedangkan rakyat menyalahkan kerajaan negeri kerana kelewatan dan kecuaian tersebut.

Walau bagaimanapun, biasanya mesyuarat pembangunan negeri dipengerusikan oleh Menteri Besar dan laporan status projek turut dibincangkan. Justeru MB disarankan mencapai kata sepakat dengan Menteri Kerja Raya supaya mengambil tindakan yang tegas ke atas kontraktor yang berpenyakit dan amat menyusahkan pelbagai pihak tanpa memilih bulu.

Pada hemat saya, elok kontraktor yang telah disenaraihitam dan diklasifikasi projek sakit oleh pihak JKR dan kerajaan negeri disiarkan dalam akhbar tempatan atau laman web agensi berkaitan untuk tatapan orang ramai. Ia termasuk nama syarikat, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat yang terlibat. Biar rakyat sendiri tahu siapakah yang bertanggungjawab di atas kelewatan dan kegagalan sesuatu projek pembangunan.

Tujuannya bukanlah untuk meletakkan pasir dalam periuk nasi kontraktor berkaitan tetapi memberi peringatan khasnya kepada mereka yang bakal ditawarkan projek dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) supaya lebih berhati-hati.

Sesungguhnya, rakyat sudah muak isu sebegini yang tiada noktahnya. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil tindakan yang telus dan tegas kepada kontraktor yang tidak bertanggungjawab itu.

Di luar sana ramai kontraktor yang berdaya saing sedang menanti giliran untuk dipilih. Pembayar cukai pula tidak berkompromi dengan sebarang bentuk pembaziran. Usah biarkan rakyat sengsara kerana menunggu lama dan mengguna pakai bangunan tidak berkualiti.

PENCINTA RAKYAT

Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...