terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 12, 2010

Graduan pendidikan UPSI kecewa kementerian utamakan guru sandaran, DPLI



SEBAGAI graduan pendidikan saya ingin berkongsi isu penempatan guru dan lambakan graduan pendidikan yang sering digembar-gemburkan.

Melihat realiti di sekolah, jumlah Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih (GSTT) terlalu ramai. Ketika saya menjalani praktikum di Kuala Lumpur, ada sekolah mempunyai lebih 15 GSTT.

Mereka ialah graduan yang tiada iktisas dalam bidang pendidikan iaitu tiada kemahiran dan kaedah pengajaran (pedagogi) khusus.

Mengapa mereka diberi tempat sedangkan graduan yang ada iktisas khas dalam bidang perguruan masih menunggu penempatan. Apa yang musykil, GSTT hanya diberi kontrak setahun, namun baru-baru ini (Januari 2010) ia diteruskan sehingga Disember.

Unjuran pengambilan graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) terlalu ramai. Saya ialah graduan sulung subjek Pendidikan Moral dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program Pendidikan Moral di UPSI mempunyai lebih 600 mahasiswa (tahun pertama sehingga keempat).

Tahun depan hampir 100 mahasiswa tamat pengajian. Persoalannya, pada pengambilan Julai lalu, 500 graduan DPLI program Pendidikan Moral diambil Kementerian Pelajaran.

Ia mewujudkan saingan bagi junior saya, sedangkan jumlah penempatan diunjurkan sedikit. Kementerian memaklumkan hanya subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris diberi keutamaan. Justeru, pengambilan DPLI harus diunjur pada kadar munasabah.

Bukan takutkan persaingan, namun jika kita memiliki graduan khusus yang memiliki pedagogi empat tahun dalam jurusan pendidikan, mengapa 500 DPLI diberi keutamaan.

Semua DPLI adalah tajaan biasiswa kementerian, sudah tentu penempatan mereka diutamakan. Inilah persaingan sengit menjadi 'laba' kepada jumlah 'lambakan'.

Daripada dua isu yang saya berikan, kementerian harus mengkaji kaedah terbaik mengenai unjuran dan penempatan. Saya menyokongnya namun agak meragukan apabila jawapan menteri hanya: "semua graduan harus bersaing untuk dapat tempat dalam bidang perguruan."

Ini bermakna graduan institusi pengajian tinggi yang memiliki ijazah khusus dalam jurusan pendidikan harus bersaing dengan anak susuan yang terlalu ramai seperti DPLI dan GSTT yang diberi keutamaan.

Bukan niat mengagungkan graduan pendidikan atau menidakkan potensi DPLI atau GSTT, namun saya terpanggil untuk meluahkan rasa tidak puasa hati graduan pendidikan yang memiliki ilmu pedagogi selama empat tahun.

Sudahlah gigih belajar, kini terpaksa pula bersaing dengan mereka yang hanya memiliki iktisas kurang setahun (DPLI) atau guru kontrak di sekolah (GSTT). Timbang taranya mudah, kurangkan DPLI dan GSTT bagi memberi laluan kepada graduan pendidikan.

HAIRUL FAIEZI LOKMAN,
Graduan Pendidikan Moral, UPSI 2005-2009.


2 comments:

  1. Cik hairul,

    learn to be independent!

    ReplyDelete
  2. Nak jimat kos kut, selalunya perkerja contract tidak mempunyai benefits seperti perkerja tetap. Adekah ini berbeza antara kerajaan dan suasta.

    Kut ...

    Nani Cheras

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...