terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 14, 2010

Hapuskan sahaja VOA

KEMENTERIAN Pelancongan barangkali boleh berbangga kerana berjaya melepasi sasaran kedatangan pelancong seperti yang diunjurkan tahun lalu. Jumlah pelancong seramai 23.65 juta orang yang dicatatkan tahun lalu jauh melepasi sasaran seramai 19 juta orang seperti yang disasarkan.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua di kalangan negara yang melebih sasaran kemasukan pelancong tahun lalu selepas Korea Selatan. Tidak dinafikan, peningkatan pelancong tahun lalu yang turut mengatasi jumlah pelancong pada 2008 (22 juta orang) adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Apatah lagi industri pelancongan di kebanyakan negara agak terjejas lewat dua tahun kebelakangan ini kerana krisis ekonomi global. Maka, industri pelancongan negara boleh dilihat sangat kompetitif ketika negara lain bergelut mempromosikan pelancongan di negara masing-masing. Ironinya, ketika Kementerian Pelancongan meraikan kejayaan melepasi sasaran itu, seramai hampir 40,000 warga India pula dilaporkan hilang secara misteri.

Mereka ini didakwa menyalahgunakan visa pelancongan dan tinggal di negara ini secara tidak sah. Perkara itu didedahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ternyata bimbang dengan senario itu. Isu penyalahgunaan visa ketibaan (VOA) ini sebenarnya pernah beberapa kali mendapat perhatian pelbagai pihak kerana peningkatan mendadak kes penyalahgunaan hanya selepas beberapa tahun diperkenalkan.

Mula dilaksanakan pada 1 September 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia, VOA bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong asing melawat negara ini seterusnya merancakkan pelbagai rantaian ekonomi. Namun, ia dijadikan kesempatan oleh beberapa rakyat asing untuk memasuki negara ini secara sah, tetapi enggan pulang meskipun selepas tamat tempoh visa pelancongan tersebut.

Sehingga akhir 2008 misalnya, iaitu selepas kira-kira dua tahun VOA diperkenalkan, hampir 30 peratus daripada 251,908 visa yang dikeluarkan telah disalah guna. Ia membabitkan lebih 70,000 pelancong yang kebanyakannya berasal dari negara-negara konflik dan miskin. Mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk mencari pekerjaan serta sebagai transit sebelum ke negara lain terutamanya Australia dan New Zealand. Warganegara India, Pakistan, Bangladesh, China dan Sri Lanka adalah antara yang dikenal pasti paling ramai menyalahgunakan visa tersebut.

Beberapa kes juga dikesan di kalangan pelancong dari Myanmar, Nepal, Afghanistan, Bhutan , Hong Kong dan Taiwan. Penyelewengan VOA itu semakin memburukkan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelumnya sudah pun menjadi isu negara. Apatah lagi, Malaysia juga sudah sedia dibanjiri dengan buruh asing sah yang bekerja di kawasan ladang dan tapak pembinaan.

Itu belum lagi mengambil kira warga asing yang menyalahgunakan visa pelajar untuk tinggal lebih masa. Warganegara Afrika paling ramai yang dikesan memasuki negara ini menggunakan visa pelajar tetapi tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Kelibat warga asing yang boleh dilihat dengan mudah di kebanyakan kawasan mengundang kebimbangan dan rasa tidak selesa di kalangan rakyat tempatan.

Peningkatan kes jenayah membabitkan warga asing, penyakit berjangkit dan kewujudan komuniti yang tidak seimbang adalah risiko yang dikaitkan dengan kebanjiran warga asing itu. Isu keselamatan ini juga yang mendesak kepada tindakan serius oleh kerajaan termasuk menghapuskan pelaksanaan VOA.

Apatah lagi selepas beberapa langkah yang diambil oleh Jabatan Imigresen dalam menangani perkara itu tidak menunjukkan kejayaan sepenuhnya. Jabatan Imigresen sebelum ini pernah memperketatkan pengeluaran visa ketibaan kepada sesetengah negara, selain menaikkan kadar bayaran untuk mendapatkan visa daripada RM30 kepada RM300.

Butiran terperinci pelancong asing yang memohon visa juga diambil bagi memudahkan kerajaan mengesan pemohon itu sekiranya berlaku kes kecemasan. Malangnya, butiran itu masih gagal membantu barangkali kerana tidak ada penyelarasan dalam perkongsian maklumat itu di kalangan agensi yang terbabit.

Dalam masa yang sama, kekuatan anggota juga dipertingkatkan bagi memburu pelancong yang tinggal lebih masa ini. Namun kita perlu mengakui bahawa dengan kekuatan anggota keselamatan yang tidak seberapa, adalah sukar untuk menjejak kesemua pelancong lebih masa itu di seluruh negara. Sementelah, mereka ini juga sangat licik bersembunyi bagi mengelak dikesan.

Mereka mungkin tidak seperti pekerja sah lain yang bekerja di tempat terbuka seperti di pusat membeli-belah, bangunan korporat dan sebagainya. Sebaliknya, kebanyakan pelancong lebih masa ini bekerja di kawasan-kawasan kampung dan kejiranan yang kecil.

Mereka bekerja di kedai runcit, restoran, kedai gunting dan kedai jahit mengikut kemahiran masing-masing. Disebabkan sudah terlalu biasa pula, rakyat tempatan pula tidak mempersoalkan kehadiran warga asing ini selagi mereka tidak menimbulkan masalah dan mengganggu ketenteraman awam.

Sikap rakyat tempatan ini menyebabkan warga asing semakin selesa sehingga ada yang berkahwin dengan rakyat tempatan. Kes-kes ini bukan lagi terpencil kerana masalah anak-anak kaum tertentu yang tidak memiliki sijil kelahiran kerap dilaporkan berlaku. Besar kemungkinan, anak-anak ini merupakan anak warga asing dan kerajaan perlu memberikan taraf kerakyatan atas pertimbangan politik dan kemanusiaan.

Kerajaan juga perlu mengelak pelbagai beban sosial lain sekiranya anak-anak tanpa taraf warganegara ini semakin ramai. Maka, dengan pertimbangan kesan buruk yang bakal dihadapi oleh negara dalam jangka masa panjang, adalah wajar sekiranya visa ketibaan itu dimansuhkan.

Sebaliknya, urusan kemasukan pelancong ke negara ini perlu melalui dokumentasi yang lebih selamat dan terjamin iaitu menerusi penggunaan pasport antarabangsa. Jika visa ketibaan itu dilihat masih wajar dilaksanakan, maka kerajaan perlu merujuk kepada kaedah pengeluaran visa ketibaan yang digunakan oleh beberapa negara lain terutamanya United Kingdom.

Di sana, pemegang visa yang tidak boleh berbahasa Inggeris perlu pulang ke negara asal pada penerbangan yang paling awal. Kredibiliti pemegang visa juga disaring dengan merujuk kepada pihak bank dan majikan bagi memastikan pelancong itu benar-benar melancong pada kemampuan mereka. Ini adalah antara yang boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan dalam memastikan visa negara ini tidak lagi disalahgunakan dengan mudah.

Kaedah lain yang dilihat munasabah juga adalah dengan memendekkan tempoh visa ketibaan kepada hanya beberapa hari, sesuai dengan tujuan untuk melancong. Pelancong dengan visa ketibaan juga wajar mempunyai tiket penerbangan pergi balik yang sah dan dikemukakan kepada pegawai imigresen sewaktu mendaftar masuk ke negara ini.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...