terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 7, 2010

Jangan biarkan 'penjajahan budaya' Indonesia

SAYA amat bersetuju dengan pendapat pembaca yang disiarkan pada 7 September 2009 dalam ruangan ini. Sememangnya stesen-stesen televisyen (RTM, TV3, TV9) di Malaysia perlu peka dengan situasi yang amat menyedihkan ini. Jangan sampai dituduh ketandusan drama atau sinetron, baru hendak bertindak. Sememangnya satu pembaziran dalam menyiarkan drama dari Indonesia yang jalan ceritanya hanya melalaikan.

Cukuplah Astro sahaja yang mewujudkan bermacam-macam rangkaian Indonesia.

Saya juga ingin berkongsi masalah yang dihadapi oleh seluruh ahli keluarga saya akibat sikap warga Indonesia yang tidak tahu mengenang budi. Sudah lebih enam tahun keluarga saya dalam kesedihan setelah anak sulung perempuan keluarga kami (kakak saya) dilarikan ke Lombok, Indonesia.

Tetapi apakan daya pada masa itu kes ini ialah kes terpencil, maka kami sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa.

Kakak saya ialah seorang yang sangat baik. Dia tidak bercinta dengan warga Indonesia itu. Warga Indonesia ini hanyalah pekerja kontrak yang membantu membuat pagar di rumah keluarga saya. Ibu bapa saya telah menjadi 'majikan' kepada ramai pekerja Indonesia di belakang rumah (rumah kongsi) dalam memberikan bekalan makanan, kemudahan telefon rumah dan wang pendahuluan untuk mereka (15 orang) kerana mereka kesempitan wang.

Masalah ini timbul kerana mereka tidak dibayar gaji lebih tiga bulan oleh majikan mereka. Ibu saya hanya seorang tukang cuci di padang golf (depan rumah) manakala bapa saya seorang nelayan.

Pendapatan hanya sederhana. Emak saya sendiri sanggup menggadai barang kemasnya untuk membantu warga Indonesia itu. Bapa saya pula memberikan khidmat urutan kampung percuma. Malah kami sekeluarga turut menyambut hari raya bersama-sama mereka. Saya bukannya berniat mengungkit tetapi sekadar luahan perasaan.

Amat mendukacitakan apabila kakak tersayang saya telah dibawa lari ke Indonesia sampai sekarang. Kawan-kawan pemuda Indonesia yang melarikan kakak saya turut melarikan diri keluar dari daerah kerana tidak mahu dipersalahkan.

Saya berjaya menghubungi pemuda yang mengahwini kakak saya, tetapi sangat mudah jawapannya. Kalau mahu jumpa kakak saya, datanglah ke Lombok kerana di Lombok juga ramai orang Malaysia yang menetap di sana dan tidak mahu lagi kembali ke Malaysia. Betapa hancurkan hati kami sekeluarga.

Akhir kata, saya amat berharap semua pihak terutamanya pihak media agar lebih peka dan membantu mengurangkan 'penjajahan' budaya Indonesia yang terlampau dalam masyarakat kita.

Tidak rugi kita tidak disajikan dengan drama, lagu atau sebarang berita hiburan artis seberang.

Tidak perlu diwujudkan ruangan khas dalam sisipan hiburan. Gantikan dengan perkembangan artis tempatan.

AZMAN MAMAT

Kampung Marhum, Pekan, Pahang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...