terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 23, 2010

Kasihani si kecil ini


HIDUP adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ibarat air laut, hidup juga punya pasang surut dan segala rintangan yang mendatang mungkin ujian terhadap keteguhan iman dan kesabaran seseorang.

Bagi Zuraida Abdul Rahman, 24, dan suaminya Idris Mat Jadi, 29, walaupun sukar menerima kenyataan bahawa anak yang baru dilahirkan tidak sesempurna seperti kanak-kanak lain, mereka pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Begitupun sesekali hati tetap diburu sayu melihat penderitaan yang terpaksa diharungi oleh tubuh kecil itu.

Walaupun baru berusia 11 bulan, bayi yang diberi nama Izzati Idris ini diuji dengan pelbagai komplikasi kesihatan.

Bukan sahaja kadar tumbesaran yang tidak normal, lebih memilukan anak kecil itu juga terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana keadaan paru-paru dan jantungnya yang lemah.

Tetapi si kecil ini mampu terus berjuang meneruskan kehidupan walau terpaksa menahan kesengsaraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

''Ibu mana tidak sedih melihat anak yang dikandung selama sembilan bulan tidak seperti anak-anak orang lain.

"Pada usia 11 bulan, dia masih belum boleh merangkak hanya mampu mengiring sahaja malah berat badannya cuma 4.3 kilogram.

''Lebih menyedihkan makan minumnya menggunakan tiub yang disalur terus pada hidung. Izzati juga tidak boleh diberi susu terlalu banyak kerana boleh menyebabkan dia tersedak dan dikhuatiri susu memasuki paru-paru,'' ujar ibu muda ini memulakan bicara.

Mengimbas cerita ketika hamil, kata Zuraida, sepanjang tempoh tersebut dia tidak merasai apa-apa kelainan malah kandungannya membesar normal seperti orang lain.

Begitupun, sebaik melahirkan bayinya terus dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana masalah pernafasan.

''Biasanya bayi yang baru lahir akan menangis tetapi Izzati langsung tidak berbunyi dan badannya menjadi kebiruan, langsung terus dibawa ke ICU,'' katanya.

Waktu itu naluri keibuan Zuraida amat mengharapkan tidak ada apa-apa yang buruk menimpa bayinya walaupun jauh di sudut hati terdetik kemungkinan ada sesuatu tidak kena.

Detik hatinya nyata benar belaka apabila doktor yang merawat Izzati mengesahkan bayi kecil itu mengidap pelbagai komplikasi termasuk bengkak hati, masalah jantung serta kadar pertumbuhan tidak normal.

Sejak daripada itu, bermulalah episod baru kehidupan tiga beranak ini yang terpaksa keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bahkan hospital menjadi rumah kedua bagi pasangan suami isteri itu.

''Bulan puasa lalu hampir sebulan saya berkampung di hospital untuk menemani Izzati yang ditahan di wad kerana jangkitan kuman pada paru-parunya,'' kata Zuraida.

Buat masa sekarang, Izzati bergantung hidup dengan mesin oksigen kerana tidak mampu bernafas sendiri.

Bahkan mesin oksigen ini ibarat kawan rapat Izzati kerana ke mana saja mereka pergi ia mesti dibawa bersama.

"Pernah satu ketika degupan jantungnya terhenti secara tiba-tiba membuatkan badannya kebiruan.

''Pada saat itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya dan suami. Masa itu, saya panik dan tidak tahu hendak buat apa, mujurlah suami cepat bawanya ke hospital,'' ujarnya.

Menurut Zuraida, sepatutnya Izzati menjalani pembedahan untuk memulihkan masalah jantung yang dialami tetapi disebabkan bayi itu mengalami sawan yang agak teruk terpaksa ditangguhkan.

Izzati juga perlu menjalani beberapa pemeriksaan susulan untuk mendapatkan kepastian tentang punca penyakit yang dihidapi.

''Saya rindukan tawa riang anak sendiri. Kini walaupun ada anak tetapi dia derita, saya inginkan suasana seperti ibu lain yang girang bermain dan bergurau dengan anak sendiri,'' ujarnya dengan nada sebak.

Sebagai ibu, harapan Zuraida untuk melihat bayinya kembali sihat begitu tinggi.

"Tidak apalah kalau perkembangan dia agak lambat berbanding anak-anak lain asalkan dia kembali sihat. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya hidup menderita sebegini rupa.

''Biarlah kami susah tidak makan tak apa, tetapi bukan anak kami kerana dia masih kecil dan tidak mengetahui apa-apa. kepadanya, biarlah hanya sekali tetapi ia cukup bermakna buat.

''Saya anggap ini sebagai dugaan hidup yang terpaksa di tempuh, saya dan suami reda dan pasrah dengan ketentuan Illahi.

''Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Kami hanya mampu berdoa moga-moga Allah panjangkan umur untuk kami terus memberikan kasih sayang kepadanya dan saya akan terus menanti saat dia boleh memanggil saya 'ibu' ,'' katanya .

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kehidupan wanita berasal dari Jengka, Pahang ini, semakin teruji apabila suaminya dibuang kerja ekoran sering mengambil cuti.

''Dulu suami saya bekerja di kedai makan tetapi selalu sangat mengambil cuti, jadi diberhentikan kerja. Keadaan itu menyebabkan kami menghadapi masalah kewangan,'' ujarnya.

Kini mereka suami isteri berniaga kecil-kecil di rumahnya serta menjual nasi lemak dan jagung bagi menampung kos rawatan Izzati dan perbelanjaan harian.

"Sebelum ini pernah juga saya mengambil upah membuat sarung tangan yang dibekalkan oleh kilang berdekatan tetapi memandangkan Izzati sering berulang alik ke hospital keja tersebut terpaksa dihentikan sementara.

''Upahnya hanya RM1.50 sekilogram, cukuplah sekadar untuk makan minum anak beranak.

''Kami juga ada menerima bantuan wang zakat sebanyak RM400 sebulan tetapi tidak cukup untuk menanggung kos perubatan Izzati,'' jelasnya.

Sementara itu menurut Idris, ekoran terlalu terdesak untuk membayar kos perubatan di hospital, dia nekad membuat pinjaman melalui 'ah long' sehingga nyawanya terancam.

''Masa itu, kami memang nekad, demi anak kami sanggup buat apa saja. Saya pinjam RM1,000 dan ah long datang ke rumah mengutip hutang," katanya.

Mujurlah ibunya yang bersimpati terhadap nasibnya memberi bantuan dengan menggadaikan tanahnya untuk mencari wang bagi membayar balik hutang tersebut.

Idris kini amat mengharapkan ada pihak-pihak yang tertentu tampil membantu anaknya.

Dia kini juga sedang menunggu pengesahan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

''Jika kami berdua sahaja susah tak apa, tetapi saya tidak sanggup melihat anak kecil ini juga menderita,'' ujarnya yang turut menjaga ibunya, Ainun Ramli, 64, yang tidak sihat.

Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Idris di talian 012-219 0127.

Oleh ZUHAYATI YAZID

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...