terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 7, 2010

Kenaikan harga gula untuk kemanisan hidup

Rakyat Malaysia perlu anggap penjimatan subsidi bantu perangi penyakit, obesiti

TIADA alasan bagi mana-mana peniaga menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga gula, kerana kenaikan kos dalam pengeluaran berasaskan gula hanya sekitar satu sen.

"Kita sudah mengkaji mekanisme kenaikan harga, terutama membabitkan pengeluaran sesuatu makanan... kos kenaikan setiap barang tidak lebih satu sen.

"Contoh terbaik adalah teh tarik. Kita kaji dari segi harga air, teh, susu, gas iaitu semua komponen untuk menghasilkan segelas teh tarik, kenaikan kosnya hanya 0.8 sen segelas... jadi tiada alasan langsung untuk peniaga menaikkan harga," tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, kementerian sudah mendapat kerjasama industri untuk tidak menaikkan harga barangan dan beberapa pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapat jaminan daripada mereka.

"Kita kena tengok peserta industri ini daripada dua aspek, satu pengeluar makanan tempatan dan satu lagi untuk eksport. Bagi pengeluaran domestik, kos pengeluaran tidak banyak perbezaan kerana itu tiada sebab untuk mereka menaikkan harga.

"Bagi pengeksport pula mereka masih mengaut keuntungan besar kerana Malaysia adalah satu-satu negara membenarkan mereka membeli gula pada harga subsidi tetapi menjual produk pada harga pasaran dunia," katanya.

Bagi pengguna domestik, kenaikan harga gula pada kadar 20 sen sekilogram tidak patut membebankan mereka, kerana ia bukan seperti minyak yang perlu diguna dan dibeli hampir setiap hari.

"Paling maksimum, setiap isi rumah menggunakan tiga kilogram gula sebulan... jadi kenaikan yang 'terpaksa ditanggung' hanya 60 sen. Apalah beban sangat kepada rakyat, termasuk berpendapatan rendah kerana penjimatan subsidi RM250 juta daripadanya boleh memberi lebih banyak faedah lain," katanya.

Jika dibuat perbandingan harga, Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang memberi subsidi dan mencatat harga paling rendah berbanding negara lain.

Dengan harga baru pada RM1.65 sekilogram di Semenanjung serta RM1.75 di Sabah dan Sarawak, ia jauh lebih rendah berbanding Thailand (RM2.50), Singapura (RM3.05), Indonesia (RM3.40) dan Filipina (RM3.62).

Yang dirisaukan ialah harga yang terlalu murah turut menarik usaha penyeludupan besar-besaran dan ini adalah satu tugas yang terpaksa diuruskan dengan lebih kemas.

Ismail tertawa apabila dikata cuba 'melarikan diri' daripada membuat pengumuman pada 31 Disember lalu, sebaliknya menyerahkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, kerana memang sudah meneka akan ada membuat dakwaan seumpamanya.

"Saya bercuti dan berada di luar negara. Kabinet memutuskan pengumuman perlu dibuat pada hari terakhir 2009, kerana jika dibuat awal akan ada yang menyorok gula. Pengumuman pada 31 Disember dan kenaikan pada 1 Januari, akan memberi masa pada peniaga untuk meletak harga baru.

"Masalah kekurangan berlaku, apabila pengumuman dibuat ramai keluar membeli gula sebanyak mungkin seolah-olah ia adalah satu kenaikan membebankan. Lebih serius dengan tiga hari cuti, pembekal hanya menghantar bekalan pada Isnin.

"Kalau saya yang membuat pengumuman, lebih banyak soal jawab akan berlaku dan akhirnya akan menjurus cerita politik. Bila KSU yang membuat pengumuman, dia hanya menerima dua soalan. Apa yang penting, kenaikan harga ini sudah dibentang pada sesi Parlimen lalu dan ramai Ahli Parlimen termasuk pembangkang, menyedari hakikat sebenar dan menyokong kenaikan harga.

"Ada orang kata masa pengumuman tidak sesuai. Cuba beritahu saya di Malaysia ini bilakah masa paling sesuai? Kita ada perayaan hampir setiap bulan... sekarang kata masa 'budak' masuk sekolah, lepas ini Tahun Baru Cina, lepas itu Hari Kaamatan, Hari Gawai, bulan puasa, Aidilfitri dan macam-macam perayaan lain."

Kerajaan hanya memberi subsidi mulai 2009 berikutan kenaikan mendadak harga gula di pasaran dunia. Peruntukan tahun lalu hanya RM720 juta, tapi kenaikan terbaru (jika harga gula tidak dinaikkan) kerajaan perlu membelanjakan RM1.26 bilion.

"Walaupun dengan kenaikan 20 sen diserahkan kepada rakyat, kerajaan masih perlu mengeluarkan lebih RM1 bilion untuk subsidi gula. Tetapi kita menjimatkan kira-kira RM250 juta yang boleh digunakan untuk projek pembangunan yang lain," jelas Ismail Sabri.

Pada masa sama, Malaysia bernasib baik kerana 70 peratus daripada kontrak pembelian gula adalah pada harga tetap, hanya 30 peratus dibeli pada harga pasaran.

Ketika ini lima syarikat menjadi pembekal gula ke Malaysia iaitu Sucres Et Denress, Queensland Sugar Ltd, Cargil International SA, Noble Group Lt, Louis Dreyfus Group dan hanya empat pengilang gula berkemampuan dibenar mengimport.

"Kita memang menilai permintaan untuk menambah permit import (AP) gula tetapi hakikatnya ialah jika import gula tidak dikawal kerajaan, dikhuatiri pengimport tidak akan mengimport gula ketika harga gula mentah atau gula bertapis tinggi di pasaran antarabangsa.

"Ini akan mencetus kekurangan dan ketidaktentuan bekalan di pasaran tempatan, memberi masalah kepada industri pemprosesan makanan dan pengusaha restoran dan membebankan rakyat sebagai pengguna akhir," jelas Ismail Sabri.

Ismail Sabri memberi jaminan kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan subsidi, mahu melaksanakan liberalisasi harga gula kerana tindakan ini akan membebankan rakyat.

Sebaliknya, kerajaan akan memperkenalkan peruntukan Antikeuntungan Berlebihan yang akan dimasukkan dalam Akta Kawalan Bekalan 1961, bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenang setiap kali berlaku kenaikan harga barangan.

Tetapi apa yang lebih penting tegas Ismail Sabri, kenaikan harga mempunyai hikmah kepada rakyat Malaysia yang sekarang mempunyai paling ramai penduduk dengan berat badan berlebihan dan gemuk di Asia, dan jumlah pesakit kencing manis keempat tertinggi di dunia.

"Statistik menunjukkan 11.6 juta daripada penduduk dewasa Malaysia mengalami penyakit sukar diubati sama ada kencing manis, tekanan darah tinggi atau kanser. Hakikatnya di sini ialah empat daripada lima pesakit kencing manis akan mati akibat sakit jantung... kerana saya sendiri menganggap kenaikan gula ini bukan suatu beban tapi hikmah kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...