terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 4, 2010

Kenapa AP gula hanya pada seorang..luaskan permit gula

SELURUH penduduk dunia tahu akan bahayanya jika memakan gula secara berlebihan. Peningkatan gula di dalam darah manusia akan mengakibatkan pelbagai penyakit yang timbul seperti diabetis, kerosakan fungsi buah pinggang dan pelbagai penyakit yang berpunca gula berlebihan.

Bagi rakyat Kelantan dan kebanyakan rakyat di luar bandar atau pedalaman, gula atau manisan amat digemari dan disukai serta dihidangkan di dalam setiap masakan mereka. Walaupun kerajaan telah mengeluarkan belanja yang besar bagi mempromosikan ‘Bahayanya Gula’, namun ia langsung tidak memberikan kesan yang besar terhadap sebahagian rakyat Malaysia.

Malah, saya diberitahu oleh sumber yang rapat dengan pihak hospital bahawa penyakit diabetis serta kerosakan fungsi buah pinggang sudah sampai ke tahap yang amat kritikal dan bahaya serta paling ramai dihidapi oleh orang Melayu.

Dalam pada itu, baru-baru ini terdapat beberapa NGO menghantar pelbagai memorandum kepada pihak kerajaan antaranya mencadangkan pemberhentian subsidi termasuklah kepada gula.

Antara beberapa sebab dan alasan ialah bilangan pesakit diabetis semakin meningkat. Malah sasaran sebenar subsidi tidak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sebaliknya diseludup keluar secara tidak sedar kepada negara jiran.

Subsidi ialah bermaksud, satu bentuk bantuan khas yang diberikan oleh kerajaan kepada pengimport terhadap sesuatu barangan kawalan agar harganya dapat dikawal serta agar dapat rakyat Malaysia membeli atau memilikinya dengan harga yang murah.

Namun tidak semua keuntungan subsidi dapat disasarkan kepada rakyat Malaysia malah hanya segelintir sahaja rakyat yang mendapat faedah dan malah ianya juga dapat dinikmati oleh rakyat di negara jiran.

Sejak hampir 40 tahun lalu sehingga kini hanya seorang sahaja rakyat Malaysia atau syarikat yang diberikan permit import khas (AP) gula.

Walaupun telah beberapa kali perkara ini dibangkitkan dan ditimbulkan mengenai keterbukaan pemberian AP gula, namun masih tidak ada tindakan yang dibuat oleh kerajaan untuk membuka peluang mengimport gula kepada syarikat lain.

Jika sesuatu barang itu dikawal hanya seorang atau sebuah syarikat sahaja, maka harga tersebut boleh dinaikkan atau ditentukan dengan sewenang-wenangnya.

Namun, jika terdapat ramai pengimport gula diberikan permit import, saya yakin mereka dapat mencari sumber-sumber bahan tersebut dari negara lain pada harga lebih murah dan menawarkan harga yang lebih murah kepada rakyat Malaysia. Sekali gus pihak kerajaan tidak perlu lagi memberikan subsidi kepada barangan tersebut.

Tanpa pemberian subsidi gula, kerajaan dapat mengagihkan dana tersebut kepada perkara yang lebih utama seperti pemberian pelajaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia atau menambah baik kemudahan awam. Manfaat ini dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

Saya amat terkejut dengan keputusan pihak kerajaan pada malam 31 Disember 2009 iaitu harga gula telah dipersetujui untuk dinaikkan lagi sebanyak 20 sen sekilogram yang kini harga bagi sekilogram ialah RM1.65.

Nampaknya pihak kerajaan tidak sanggup menerima tekanan yang telah dibuat oleh pengimport dan pemborong gula untuk menaikkan harga tanpa melihat kesan dan kesempitan yang dihadapi oleh peniaga kuih-

muih serta rakyat yang meminati kuih tradisional.

Rakyat di pedalaman atau di luar bandar akan merasa lebih tertekan terhadap kenaikan harga gula ini. Mereka tidak mempunyai pendapatan tetap, malah kebanyakan penduduk berniaga kecil-kecilan seperti menjual kuih-muih tradisional.

Bagaimana mereka hendak menghadapi arus kehidupan yang semakin meningkat jika kekurangan pembeli serta kemampuan untuk berniaga.

Persoalannya, kenapa kerajaan masih tidak membuka lesen AP gula dan masih tegas mengekalkan pemberian AP import gula ini terhadap sebuah syarikat sahaja. Malah, kerajaan tetap membayar sejumlah besar subsidi terhadap syarikat tersebut.

Apakah selama ini pengimport gula tunggal ini sentiasa mengalami kerugian sehingga sanggup memberikan tekanan kepada kerajaan untuk menaikkan harga?


Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...