terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 11, 2010

Kereta mewah bawah 2,000cc berhak subsidi???

Tak semua pemilik kenderaan enjin kuasa tinggi orang kaya

HARGA petrol berdasarkan kapasiti (cc) enjin kereta anda? Jika tidak kerana isu dan kesan keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah gereja yang hangat diperkatakan sekarang, mekanisme baru subsidi minyak mungkin menjadi tajuk perbualan hangat di kedai-kedai kopi dan laman-laman web. Harga minyak sentiasa menarik perhatian kerana turun naiknya mempengaruhi kehidupan semua orang sama ada secara langsung atau tidak. Justeru, apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri, dilaporkan berkata subsidi petrol bagi yang layak akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan mereka, ramai tertanya-tanya bagaimana kaedah itu akan dilaksanakan secara adil tanpa terlalu membebankan sesuatu golongan bagi meringankan satu golongan lain.

Mekanisme baru itu, yang dijadualkan bermula 1 Mei ini, akan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah yang kebiasaannya menggunakan kenderaan kapasiti enjin rendah. Pengumuman memperkenalkan mekanisme baru subsidi minyak ini pertama kali dibuat dalam Bajet 2010 lalu tetapi ketika itu, hanya kaedah penggunaan MyKad bagi memastikan hanya warga negara, bukannya rakyat asing, yang layak membeli petrol pada harga subsidi. Ismail Sabri ketika menjelaskan mekanisme itu minggu lalu berkata, ia akan dibahagikan kepada subkategori yang memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah. Selain itu, katanya, kerajaan mungkin mengenakan cukai yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan. Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei.

Sementara kita mengalu-alukan sebarang usaha untuk mengurangkan subsidi kerana wang yang dijimatkan daripada langkah itu boleh digunakan bagi projek lain untuk manfaat rakyat, mekanisme yang digunakan nanti biarlah benar-benar berkesan serta mencapai matlamatnya. Sistem subsidi petrol dan diesel yang dilaksanakan sebelum ini ternyata lebih banyak menyebabkan pembaziran daripada membantu golongan sasar, akibat penyelewengan, penipuan dan penyeludupan. Subsidi diesel sebagai contoh, selain ada pihak membelinya pada harga subsidi dan menjual kepada kilang/industri pada harga lebih tinggi, bantuan untuk nelayan hanya menguntungkan tauke bot. Kebanyakan nelayan tidak mempunyai bot dan kerana itu, subsidi dinikmati oleh tauke bot yang ada antara mereka menjual hasil tangkapan ke negara asing kerana harganya lebih tinggi. Dalam kata lain, subsidi sebelum ini turut menguntungkan orang luar.

Kerana itulah pengumuman terbaru mengenai mekanisme subsidi ini disambut kebanyakan rakyat dengan sedikit kebimbangan terutama dari aspek keberkesanan pelaksanaannya nanti. Walaupun mereka bersetuju bahawa penggunaan MyKad dapat membezakan antara rakyat asing dan warga tempatan, mereka juga khuatir ada pula nanti sindiket di Johor Bahru, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang yang menyewakan MyKad mereka untuk warga asing membeli petrol pada harga tempatan.

Namun kebimbangan utama mengenai mekanisme subsidi minyak ini ialah bagaimana mahu membezakan golongan yang layak atau menerima petrol subsidi hanya berdasarkan cc kenderaan mereka. Walaupun jumlah pemilik kenderaan berenjin 2,000cc ke bawah lebih ramai daripada kereta berenjin 2,000cc ke atas (yang dianggap tidak layak menikmati subsidi), bukan semua terdiri dalam golongan berada dan berkemampuan. Mereka memiliki kereta berkapasiti besar mungkin kerana mempunyai keluarga besar, tuntutan pekerjaan dan lebih penting lagi kerana harga kereta terpakai seperti Proton Perdana misalnya, jauh lebih rendah daripada Honda, Toyota atau Nissan 1,500cc. Sebuah SUV terpakai yang mempunyai tujuh tempat duduk berusia lebih lima tahun sekarang boleh dibeli sekitar RM30,000 hingga RM50,000. Bagi keluarga lebih lima orang dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, ini adalah pilihan terbaik. Apakah mereka ini tergolong berada?
Bagaimana pula dengan kenderaan yang melebihi usia 20 tahun seperti banyak digunakan oleh pesara dan warga emas untuk ke surau masjid menghabiskan sisa hidup? Apakah kumpulan ini dianggap berada, lalu tidak layak membeli petrol subsidi. Jika usia kereta diambil kira dengan andaian enjin 2,000 cc ke atas dianggap mewah, bagaimana dengan kereta mewah dan sememangnya hanya mampu dimiliki golongan berada mempunyai cc rendah. Kereta jenama mewah BMW 318i, Mercedes-Benz E200, Audi A4, Mini Cooper, Volkswagen Golf - walaupun harganya lebih RM200,000 ke atas, ada yang kapasiti enjinnya di bawah 2,000cc. Apakah pemilik kenderaan seperti ini layak menikmati subsidi.

Ramai berharap semua persoalan ini diambil kira oleh mereka yang menggubal mekanisme baru subsidi minyak nanti. Langkah kerajaan mengumumkan lebih awal hasrat memperkenalkan mekanisme baru itu harus dipuji kerana selain mempersiapkan rakyat untuk menghadapi kenaikan harga nanti, ia juga memberi peluang kepada mereka memberi pandangan. Hakikatnya kita tidak boleh selamanya bergantung kepada subsidi. Namun, dalam usaha kerajaan memastikan golongan sasar saja menikmati kemudahan itu, ia tidak seharusnya terlalu membebankan atau dilihat tidak adil kepada golongan lain walaupun yang dianggap berada hanya berdasarkan cc kenderaan mereka. Jika pun sebahagian besar pemilik kenderaan dianggap mewah ini memang berada, sebagai rakyat dan kumpulan pembayar cukai terbesar, mereka tidak harus selamanya menanggung beban untuk orang lain.

Oleh Manja Ismail



1 comment:

  1. Aku setuju tu sebab ada juga kereta baru melebihi 2000cc unmpamanya kereta jenis naza seperti citra dan rondo..kereta ini kebanyakannya digunaka oleh golongan yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai anak yang ramai..serta harganya pula lebih rendah daripada honda, toyota ataupun nissan yang karpisiti cc nya baru 1.5...cuba fikir2kan..wahai pak menteri..jangan main cakap je

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...